Isnin, 26 Julai 2021

Dewan Rakyat Bukan Dewan Sandiwara

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 26 Julai 2021. 

Saya sebagai Ahli Dewan Rakyat berasa cukup kecewa dengan sidang Parlimen hari ini. Persidangan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia adalah bukan lain daripada sesi taklimat semata-mata. 

Parlimen yang bersidang tidak  membuat apa-apa keputusan. Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat. Disamping itu, beberapa orang Ahli Parlimen diberi ruangan untuk memberi pendapat mereka. Tetapi, perkara yang dibangkitkan itu tidak diusulkan untuk pengundian. 
                         V. Sivakumar 
    
Ini bermakna, persidangan yang berlangsung pada hari ini hanyalah sekadar perbincangan yang tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak. 

Proses pengundian adalah perlu untuk memutuskan penyelesaian bagi sesuatu masalah yang dibangkitkan di Dewan Rakyat. Suara majoriti adalah penting dalam memuktamadkan sesuatu keputusan. Jika tidak, persidangan yang diadakan itu merugikan masa, tenaga dan dana secara sia-sia sahaja. Ini bukanlah fungsi Parlimen. 

Saya pasti sidang Parlimen bagi  4 hari seterusnya juga akan dikendalikan dengan cara yang sama. Adakah persidangan seperti ini yang diharapkan oleh rakyat? 

Kerajaan Perikatan Nasional sekali lagi telah menipu rakyat dengan sandiwara politik dengan memperalatkan Dewan Yang Mulia. Persidangan tanpa perbahasan dan usul pengundian 
adalah tidak bermakna. Jelas sekali, kerajaan dengan gigih mahu mengelak daripada proses pengundian diadakan di Dewan Rakyat. 

Setakat ini,  semua pelan-pelan pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional telah gagal. Darurat yang diisythiharkan pada bukan Januari tahun ini juga telah gagal. Realitinya, dalam tempoh masa pelan-pelan ini dilaksanakan penularan Covid-19 terus meningkat. 

Daripada ratusan kes, kini jumlah kes jangkitan baru sudah mencecah 5 angka. Semalam kes baru adalah sebanyak 17,045 iaitu jumlah yang paling tinggi direkodkan setakat ini. 
Bukankah ini bermakna segala pelan-pelan kerajaan telah gagal? 

Apakah perlunya untuk Ahli-ahli Parlimen untuk terus mendengar Pelan Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh Perdana Menteri? Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa pelan yang dicadangkan itu akan gagal. Kerajaan telah hilang kredibiliti. Rakyat sudah tidak yakin dengan rancangan-rancangan kerajaan yang merugikan rakyat dan negara. 

Ramai yang percaya bahawa penularan kes Covid-19 akan terus meningkat sehingga mencapai 25,000 kes sehari. Kerajaan Perikatan Nasional gagal mengawal keadaan setelah membelajakan lebih daripada 350 bilion setakat ini. Hakikatnya, kes baru Covid-19 dan jumlah kematian telah meningkat secara mendadak. 

Hari ini, Perdana Menteri dan kabinetnya mempersendakan Dewan Yang Mulia dan dalam usaha untuk mengkaburi mata rakyat dengan mengadakan persidangan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi Parlimen. Kali ini, kerajaan Perikatan Nasional cuba menggunakan ‘pintu belakang’ Parlimen untuk terus berkuasa. Kedaulatan Parlimen juga telah dicemari dengan motif politik. 

Kerajaan Perikatan Nasional adalah punca kesengsaraan rakyat. Kerajaan ini gagal menangani penularan Covid-19 secara efektif. Rakyat harus menolak kerajaan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan