Rabu, 25 Januari 2017

Banjir Di Kampung Baru Nalla; Sungai Cetek & Kelubong Kecil Adalah Puncanya

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 24 Januari 2017 di Kampung Baru Nalla, Tronoh.



Air Sungai Selinsing di Kampung Baru Nalla telah melimpah lebih kurang jam 3.00 pagi. Air bah memasuki beberapa rumah di Kampung Baru Nalla selepas satu jam. Kampung Kurnia yang berada di sebelah Kampung Baru Nalla juga turut dilanda banjir.

Walaupun tidak ada sebarang kemalangan nyawa ataupun kecederaan tetapi harta benda di dalam rumah telah rosak. Jumlah kerugian belum diketahui. Setakat ini mangsa-mangsa banjir tidak dipindahkan ke mana-mana pusat kerana mereka enggan keluar dari rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, pihak polis dan pihak Angkatan Pertahanan Awam bersiap sedia untuk membantu memindahkan mereka jika hujan tidak berhenti dan paras air naik lagi.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dihubungi untuk menyediakan tempat perlindungan dan makanan jika mangsa-mangsa perlu dipindahkan. Saya bersama YB Paul Yong ADUN Tronoh telah melawat kawasan banjir pagi tadi. Banjir kali ini adalah paling teruk dalam 10 tahun yang lalu di kawasan Kampung Baru Nalla, Tronoh.

Jalan Besar yang menjadi jalan utama memasuki kampung itu telah dinaiki air setinggi lebih kurang 4 kaki. Ini menyebabkan orang-orang kampung tidak boleh keluar masuk.


Sungai Selinsing adalah terlalu kecil untuk menampung jumlah air yang besar terutamanya semasa hujan lebat. Selain daripada itu, kelubong di Jalan Besar Kampung Baru Nalla adalah terlalu kecil. Kelubong ini perlu digantikan dengan jambatan yang dibina pada paras yang lebih tinggi.

Saya pernah membawa isu ini di Dewan Negeri Perak beberapa tahun yang lalu. ADUN Tronoh YB Paul Yong juga pernah membangkitkan isu kecetekan sungai di Dewan Negeri Perak.


Saya memohon kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengambil tindakan segera membesarkan dan mendalamkan Sungai Selinsing. Selain daripada itu, menyediakan peruntukan khas untuk membina jambatan menggantikan kelubong di Jalan Besar, Kampung Baru Nalla. Hanya dengan cara ini masalah banjir di kawasan ini dapat diatasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan