Jumaat, 18 Disember 2015

Diskriminasi Kenaikan Pangkat Menyebabkan Penglibatan Bukan Melayu Dalam ATM Rendah, Bukan Kerana Tidak Patriotik.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 3 Disember 2015 di Dewan Rakyat.




Dalam perbahasan saya pada peringkat Jawatankuasa, Bajet 2016 Kementerian Pertahanan 30 November 2015, beberapa isu penting telah dibangkitkan. Satu daripada isu yang saya ketengahkan ialah mengenai penglibatan kaum bukan Melayu dalam menganggotai pasukan pertahanan negara yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Saya telah meminta Menteri Pertahanan memberi ulasan mengenai minat orang-orang bukan Melayu menjadi anggota Tentera. Saya juga telah memohonkan kepada Menteri Pertahanan memberikan statistik pengambilan anggota Angkatan Tentera Malaysia mengikut kaum bagi lima tahun yang terakhir.

Saya juga telah melontarkan pandangan pelbagai pihak yang mengatakan bahawa kenaikan pangkat di kalangan anggota tentera bukan Melayu adalah lambat dan sukar. Mungkin ini juga nerupakan satu faktor kenapa orang-orang bukan Melayu tidak begitu berminat untuk menjadi anggota tentera. Saya juga telah meminta Menteri untuk menyatakan jawatan-jawatan tertinggi dalam anggota tentera yang disandang dari kalangan kaum Cina, kaum India, kaum Orang Asli dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak.



Ketika memberi jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan berkata, 
"Kebanyakan kes-kesnya tentera ini memanglah Melayu. Jadi mempertahankan kedaulatan negara kita ini kebanyakan Melayulah”.

Kenyataan Menteri Pertahanan ini seolah-olah orang-orang bukan Melayu tidak ada semangat patriotisme mempertahankan ibu pertiwi. Saya telah menyangkal kenyataan Menteri Pertahanan yang secara tersirat mempersoalkan kesetiaan kaum bukan Melayu.

Saya rasa sungguh kecewa dengan kenyataan Menteri yang mempertikaikan semangat patriotisme  dan kesetiaan kaum bukan Melau kepada negara Malaysia.  Saya dengan tegasnya telah membidas kenyataan Menteri di Dewan Rakyat. Saya berkata, “ada faktor-faktor lain yang menyebabkan kaum bukan Melayu tidak mahu terlibat atau memasuki Angkatan Tentera Malaysia. Bukan sebab faktor patrotisme yang dimaksudkan.” 

Saya berhujah bahawa ini adalah rungutan daripada anggota-anggota tentera bukan Melayu yang mendakwa terdapat diskriminasi dalam soal kenaikan pangkat dan sebagainya. Ini merupakan salah satu faktor penolak  yang telah mengagalkan minat kaum bukan Melayu menyertai tentera.

Menteri Pertahanan telah berjanji untuk memberikan statistikmengenai pengambilan dan kenaikan pangkat kaum bukan Melayu secara bertulis. Walau bagaimanapun beliau juga berkata, “kenaikan pangkat di kalangan kaum bukan Melayu adalah sedikit kerana peratusan kaum bukan Melayu adalah sedikit”. Apa yang beliau maksudkan ialah bilangan penyertaan yang kecil menyebabkan kenaikan pangkat  juga kecil di kalangan kaum bukan Melayu.

Pada pandangan saya, kenyataan Menteri Pertahanan adalah tidak rasional. Apabila bilangan kaum Bukan Melayu adalah rendah, ini sepatutnya memberi peluang kenaikan pangkat yang lebih besar kepada golongan ini. Kementerian seharusnya memberi peluang yang lebih banyak kepada kumpulan minoriti.  Ini akan menonjolkan kerelaan pihak Kementerian Pertahanan untuk menggalakan lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai angkatan tentera. Ini juga boleh menjadi faktor penarik kepada mereka. Kerajaan telah gagal dalam aspek itu.  Alasan yang diberikan juga adalah tidak munasabah.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula dasar kenaikan pangkat ATM yang sedia ada untuk memberi peluang kenaikan pangkat tanpa diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan