Sabtu, 1 Mei 2010

Permainan Politik BN di Perak


Tuduhan Rasuah Agenda BN Jatuhkan Kerajaan PR Di Perak

Barisan Nasional (BN) didakwa mempunyai agenda terselindung untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Perak dengan mensabitkan 16 pertuduhan rasuah ke atas ahli Exco Dewan Undangan Negeri (ADUN), Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Ironinya dua bekas exco serta tiga individu lain yang terlibat dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh 23 April lalu tanpa dipanggil bagi membela diri.

Pembebasan mereka jelas ekoran pendakwaan gagal membuktikan kes ‘prima facie’ dan mahkamah mengarahkan mereka dibebaskan serta merta.

Menurut Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Khoo Ham, peguam bela Abdul Roni Rahman yang mewakili kedua-dua exco terbabit mengaku bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mensabitkan anak guamnya.

"Mengikut kenyataan peguam bela, Abdul Roni beliau mendedahkan kenyataan anak guamnya (Osman Jailu dan Jamaluddin) mengakui bahawa BN mempunyai agenda tertentu untuk mengenakan mereka.

"Sedangkan pertuduhan dikenakan ke atas mereka tidak berasas sama sekali," kata Ngeh yang juga Adun Sitiawan ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Ngeh mendakwa pertuduhan rasuah terhadap mereka berdua hanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semata-mata.

Strategi jatuhkan Pakatan

Beliau berkata, "saya bersetuju dengan Abdul Roni, BN cuba merangka strategi untuk jatuhkan Pakatan dengan dakwaan ke atas bekas exco terbabit.

"Malah menyalah gunakan kuasa dengan menggunakan institusi mahkamah dan kehakiman dengan membuat pertuduhan yang tiada asas. Mereka melakukan sedemikian hanya untuk menjatuhkan Pakatan," kata beliau lagi.

Ngeh berkata tuduhan ke atas bekas exco terbabit berunsurkan ‘tuduhan politik’ kerana tiada asas pendakwaan untuk disabitkan.

Maka beliau menggesa agar Peguam Negara lebih meneliti ‘asas pertuduhan’ agar tidak mengheret individu yang tidak bersalah dalam hal tersebut.

"Pada hemat saya, jika mereka bersalah atas tuduhan rasuah itu, maka perlu bukti kukuh untuk sabitkan mereka. Semua asas pertuduhan perlu dibuktikan," jelas Ngeh.

"Maka sebagai Peguam Negara beliau perlu meneliti asas pertuduhan. Jika ada asas maka boleh melakukan pendakwaan di mahkamah.

Namun dalam kes ini katanya, tiada asas pertuduhan tetapi lebih kepada ‘tuduhan politik’ semata-mata.

"Situasi ini amat bahaya kerana individu yang dituduh didakwa di mahkamah sedangkan mereka tidak bersalah," katanya. -FMT / GB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan