Rabu, 1 Julai 2009

Majlis Daerah Batu Gajah Mengecewakan Pekerja Di Taman Perindustrian Bemban



Pihak Berkuasa Tempatan harus peka terhadap masalah rakyat. Walaupun masalah yang kecil, ia perlu diberi perhatian dan tindakan perlu diambil dengan segera. Kebolehan untuk menyelesaikan masalah masalah-masalah yang kecil akan menggambarkan kewibawaan sesebuah kerajaan tempatan. Kerajaan tempatan merupakan badan kerajaan yang paling hampir dengan rakyat jelata. Tindak-tanduk kerajaan tempatan akan menentukan pilihan rakyat terhadap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Adalah amat menyedihkan apabila masalah-masalah kecil yang hanya melibatkan kos beberapa ratus ringgit sahaja pun diabaikan. Sebagai contoh, masalah pengadang longkang yang rosak tidak diperbaiki walaupun aduan telah dibuat beberapa kali. Ini menunjukkan sikap 'tidak apa' oleh pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan keselamatan kawasan masing-masing.

Terdapat berita di akhbar Sinar Harian(1 Julai 2009) mengenai pengadang besi longkang yang mengundang bahaya kepada pengguna di Taman Perindustrian Bemban di Jalan Bemban, Batu Gajah. Pekerja-pekerja di kawasan itu memohon supaya masalah ini diselesaikan dengan segera kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada pengguna jalan tersebut. Pengadang besi itu sudah mendak ke bawah menghasilkan satu lubang besar yang membahayakan terutamanya penunggang basikal dan motosikal pada waktu malam. Kawasan ini juga tidak mempunyai lampu jalan. Masalah ini sudah wujud lebih kurang satu tahun.

Didapati banyak kemalangan yang mengakibatkan kecederaan parah pernah berlaku di jalan tersebut, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa. Adakah pihak berkuasa tempatan masih menunggu untuk satu insiden yang meragut nyawa dan kemudian baru mahu mengambil tindakan. Sikap kecuaian seperti ini dikalangan pegawai-pegawai kerajaan tempatan amat dikesali.

Adakah membaiki pengadang longkang merupakan satu kerja yang merumitkan dan menelan kos yang banyak? Majlis Daerah Batu Gajah sanggup membelanjakan kos beribu-ribu ringgit untuk memasang lampu-lampu hiasan di pekan Batu Gajah baru-baru ini, tetapi tidak mempedulikan masalah pengadang longkang yang membahayakan pekerja-pekerja kilang. Majlis Daerah Batu Gajah memberi keutamaan untuk projek perhiasan daripada keselamatan.

Salah satu daripada misi Majlis Daerah Batu Gajah ialah "Menyedia dan memberikan perkhidmatan perbandaran yang efisen, kualiti dan komited". Bolehkan misi ini dicapai jika tidak ada tindakan susulan terhadap aduan yang diberikan oleh masyarakat setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan