Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah &
Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Oktober 2015 di Ipoh
Sungguh sedih dengan pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa
pengambilan guru-guru untuk mengajar kelas Pupil’s Own Language (POL) akan
diberhentikan untuk mengurangkan kos pengurusan kementerian. Kenapa pihak
kementerian tidak peka mengenai sensitiviti isu tersebut? Tindakan untuk
mengganggu kelas-kelas POL ini sudah pasti akan menimbulkan kemarahan dan
kebimbangan pelbagai pihak terutamanya ibubapa.
Pada dasarnya, pengumunan itu membuktikan kerajaan tidak ada
kesungguhan dalam pengajaran bahasa ibunda. Kerajaan sentiasa mencari jalan
untuk meniadakan pengajaran bahasa ibunda di sekolah-sekolah kebangsaan. Inilah
sebabnya kita risau dan tidak mahu berganjak daripada idea-idea untuk menutup
sekolah-sekolah vernakular di negara kita. Ramai yang mencadangkan supaya
sekolah-sekolah vernakular ditutup dan mewajibkan pengajaran bahasa ibunda di
sekolah kebangsaan.
Jika ini berlaku, adalah mudah untuk kerajaan yang tidak
prihatin ini untuk mengubah polisi bila-bila masa untuk memberhentikan
pengajaran bahasa ibunda di sekolah-sekolah kebangsaan. Perkara ini adalah
mudah dilakukan berbanding dengan usaha-usaha untuk menutup sekolah-sekolah
vernakular. Pandangan untuk menutup sekolah-sekolah vernakular dan mewajibkan
pembelajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan merupakan satu tipu muslihat
pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Pengumuman Kementerian Pendidikan mengenai POL membuktikan
kerajaan boleh menghapuskan pengajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan
dengan mudah sekali. Oleh yang demikian, kita tidak boleh tunduk kepada tekanan
mana-mana pihak untuk menutup sekolah-sekolah vernakular di negara ini.
Saya difahamkan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan mengenai
isu POL ini telah dibatalkan setelah Timbalan Menteri Pendidikan membuat
bantahan kepada Menteri Pendidikan. Peliknya, adakah keputusan ini dibuat oleh
pihak kementerian tanpa berunding dengan beliau. Adakah ini bermakna beliau
hanya mengetahui perkara tersebut setelah diumumkan oleh Setiausaha Kementerian
Pendidikan Tan Sri Madinah Mohamad pada hari selasa. Menurutnya, beliau
tidak terlibat dalam keputusan itu. Ini menjatuhkan lagi kredibiliti beliau
sebagai seorang Timbalan Menteri yang tidak dihormati dalam kementeriannya
sendiri.
Keputusan pihak kementerian untuk mengurangkan kos dengan
memberhentikan pengambilan guru-guru POL bukanlah satu keputusan yang bijak.
Keputusan ini mempunyai unsur-unsur niat jahat yang tersirat. Kementerian boleh
mengurangkan kos dalam banyak aspek yang lain dan bukannya dengan mengganggu
perjalanan kelas POL. Pada pandangan saya, kelas POL ini menyakitkan mata
pihak-pihak tertentu yang menyebabkan keputusan sedemikian dibuat tanpa
berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan, lebih-lebih lagi Timbalan
Menteri Pendidikan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan