Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah &
Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9 Oktober 2015 di Tronoh.
Suruhanjaya Pilihanraya berlaku tidak adil dalam urusan
pengendalian pendaftaran pengundi. Sebelum PRU13, parti-parti politik boleh
membuat pendaftaran pengundi baru. Ini membolehkan parti-parti politik secara
giat membantu SPR membuat pendaftaran pengundi baru. Walaupun pihak SPR tidak
membenarkan penolong-penolong pendaftar parti politik membuat pertukaran
alamat, tetapi sekurang-kurangnya boleh membuat pendaftaran pengundi baru.
Parti-parti politik merupakan kumpulan berkepentingan dalam hal
ini. Oleh yang demikian adalah wajar untuk membenarkan wakil-wakil parti politik
untuk dilantik sebagai penolong-penolong pendaftar SPR.
Selepas PRU13, tiba-tiba SPR tidak lagi mahu melantik semula
penolong pendaftar parti politik. SPR memberi alasan yang tidak munasabah. Kononnya, SPR sedang membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan kaedah-kaedah
yang sedia ada. Ini adalah satu jawapan yang tidak rasional. SPR boleh membuat
kerja-kerja penyelarasan disamping penolong-penolong pendaftar
menjalankan kerja-kerja pendaftaran pemilih baru.
Kerja-kerja pendaftaran pemilih baru tidak boleh diberhentikan.
Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pendaftaran sekiranya seseorang
warganegara yang mencapai umur 21 tahun ingin menjadi pengundi. Oleh itu,
kerja-kerja pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat masih dilaksanakan
oleh SPR selepas PRU13. Tetapi, peliknya, SPR tidak mahu melantik
penolong-penolong pendaftar dari kalangan wakil-wakil parti politik.
SPR juga telah melantik jabatan-jabatan kerajaan dan
agensi-agensi kerajaan tertentu untuk membantu membuat kerja-kerja pendaftaran pengundi
baru. Selain itu, ketua-ketua kampung dan Ketua-ketua kampung baru
juga dilantik untuk membuat tugas yang sama. Pejabat-pejabat SPR Majlis Daerah,
Pejabat Tanah dan Pejabat Pos juga turut dijadikan pusat-pusat untuk mendaftar
pengundi baru dan bertukar alamat. Jika pihak-pihak ini boleh membuat
kerja-kerja pendaftaran pemilih, kenapa tidak wakil-wakil parti politik?
Nyata sekali Barisan Nasional telah takut kepada kekuatan pihak
pembangkang yang secara giat membuat pendaftaran pengundi sebelum ini. Selepas
prestasi Barisan Nasional turun dalam PRU13, SPR telah diarahkan supaya tidak
melantik lagi wakil-wakil parti politik sebagai penolong-penolong pendaftar.
SPR juga nampaknya tidak ada tulang belakang untuk berfungsi sebagai sebuah
badan yang berkecuali.
Imej SPR semakin tercemar apabila fungsinya diganggu oleh
kerajaan. SPR sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada
semua parti politik yang ada di negara ini. Malangnya, SPR telah lupa peranan
utamanya sebagai badan neutral dan sentiasa mengikut telunjuk Barisan Nasional.
SPR perlu kembali kepada landasan yang asal. Rakyat harus
diutamakan dan bukannya pemimpin-pemimpin kerajaan yang memperkudakan institusi
ini. SPR harus melantik semula wakil-wakil parti politik sebagai penolong
pendaftar. Ini akan memberi ruangan dan peluang kepada lebih ramai
pengundi-pengundi muda untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan