Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 27
Oktober 2015 di Dewan Rakyat
Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) adalah undang-undang zalim.
Kerajaan harus meminda semula undang-undang ini supaya kes-kes yang disiasat di
bawah Akta ini diberi peluang pembelaan kepada orang kena tangkap. Apa guna
kita ada kanun Keseksaan dan undang-undang lain jika pihak polis menggunakan
jalan pintas untuk menangkap seseorang di bawah POCA.
Seseorang yang ditahan di bawah POCA tidak akan didakwa di
Mahkamah. Orang yang kena tangkap boleh direman sehingga 60 hari. Penyiasatan
akan dibuat oleh pegawai penyiasat dalam tempoh tahanan itu. Satu laporan
disediakan oleh pegawai penyiasatan. Pendakwa raya akan mengadakan temu
bual dengan orang kena tangkap berdasarkan laporan yang disediakan oleh pegawai
penyiasat. Orang kena tangkap tidak boleh diwakili oleh peguam untuk
pembelaan. Ini adalah tidak adil kerana nasib orang kena tangkap itu terletak
di tangan pegawai penyiasat.
Saya cukup bimbang kerana pihak polis boleh menyalahgunakan
kuasa apabila menangkap seseorang di bawah undang-undang yang zalim ini. Saya
juga risau pegawai-pegawai polis akan didorong oleh undang-undang ini untuk
terlibat dengan gejala rasuah.
Saya telah bertanya soalan lisan kepada Menteri Dalam Negeri
berhubung dengan perkara ini. Soalan saya adalah berbunyi seperti berikut:
“…menyatakan jumlah kes yang ditangkap dan disiasat di bawah
Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak undang-undang itu dipinda pada tahun
2013. Nyatakan juga jenis-jenis jenayah berat yang telah disiasat di bawah akta
ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil. “
Jawapan Kementerian Dalam Negeri (27 Oktober 2015)
Berdasarkan rekod Polis Diraja
Malaysia (PDRM), semenjak pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)
dikuatkuasakan mulai 2 April 2014 hingga 1 Oktober 2015,
seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat di bawah POCA.
Di antara jenayah berat yang
telah disiasat di bawah Akta ini adalah jenayah kongsi gelap, jenayah
kekerasan, jenayah harta benda, dadah, pelacuran, perjudian dan penyeludupan
migran.
Seterusnya, tindakan-tindakan
yang telah diambil terhadap mereka yang telah ditangkap adalah seramai 143
orang telah dikenakan Perintah Tahanan, 480 orang dikenakan Perintah Pengawasan
Polis dengan 68 orang daripadanya dikenakan syarat pemakaian Peranti Pengawasan
Elektronik (EMD) yang mula digunapakai mulai 3 Ogos 2015, 28 orang telah
dituduh di Mahkamah, 131 orang telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan
manakala baki seramai 193 orang masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut.
Daripada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam
Negeri didapati seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat di bawah POCA.
Kerajaan telah menjanjikan bahawa hanya kes-kes yang berat sahaja akan disiasat
di bawah POCA. Tetapi, saya ada bukti bahawa kes-kes kecurian yang kecil
juga ditangkap, disiasat dan diambil tindakan oleh pihak polis.
Sebagai contoh, pada 2 Ogos 2015, seramai 8 orang ditangkap
kerana terlibat dalam kes curi ikan dari kolam. Sama ada mereka benar-benar
terlibat dalam kes ini tidak ada kepastian. 6 orang ditangkap kerana mencuri
ikan dari kolam milik orang lain. 2 orang lagi ditangkap kerana membeli
ikan untuk dijual di pasar. Saya difahamkan tidak ada apa-apa laporan polis
dibuat oleh mana-mana pihak berhubung dengan kes ini. Walau bagaimanapun,
8 orang itu ditahan reman untuk 21 hari dan kemudiannya ditambah lagi 38 hari.
Selepas penyiasatan dan temubual dengan pendakwaraya tanpa diberi ruangan untuk
membela diri, 7 orang kena tangkap itu dibuang daerah dan seorang dibuang
negeri.
Kononnya, tindakan diambil berdasarkan risikan polis. Saya juga
tidak faham kenapa pihak polis begitu bersemangat untuk menyiasat kes curi ikan
yang tidak ada sebarang laporan polis. Sedangkan, terdapat banyak aduan
dan laporan polis yang tidak diambil apa-apa tindakan. Kenapa kes curi
ikan ini tidak disiasat di bawah Kanun Keseksaan? Bukankah Kanun Keseksaan
lebih relevan dan patut digunapakai bagi kes-kes seperti ini?
Saya berasa kesian dan bersimpati terhadap keluarga orang-orang
yang telah dihukum di bawah POCA tanpa diberi peluang untuk membela diri.
Saya telah memohon jasa baik Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat kes yang saya
bangkitkan secara teliti supaya orang yang tidak bersalah dihukum
sewenang-wenangnya. Jika bersalah pun, biarlah mahkamah mendengar kes tersebut
dan menjatuhkan hukuman. Ini adalah penting untuk menjamin hak asasi dan
berkeperimanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan