Ahad, 5 April 2015

Pengguna Kenderaan Akan Dibebankan lagi Apabila GST Dilaksanakan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 29 Mac 2015 di Kuala Lumpur



GST akan dikenakan terhadap pembelian polisi Insurans Am mulai 1 April 2015. Pelaksanaan GST 6% terhadap Insurans Am akan meningkatkan beban kepada pelanggan-pelanggan.

GST terhadap premium insurans ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong pada awal bulan Januari tahun ini.

Cukai baru ini tidak patut dikenakan terhadap insurans am terutamanya insurans motor yang telah mengalami kenaikan dalam premium beberapa kali kebelakangan ini.

Bank Negara Malaysia telah mengumumkan bahawa penyelarasan kadar premium tarif motor akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 16 Januari 2012 dalam tempoh empat tahun. Sejak pengumuman ini tarif tersebut telah dinaikan beberapa kali walaupun dijanjikan oleh Bank Negara Malaysia bahawa jumlahnya tidak besar dan tidak membebankan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia, perlindungan pihak ketiga, motorsikal yang berkapasiti 110cc akan mengalami kenaikan premium antara RM1-RM3.50 setahun (maksimum 30 sen sebulan) dalam jangka masa empat tahun. Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400cc, pelarasan premium adalah antara RM6-RM34 setahun (maksimum RM2.80 sebulan) bagi jangka masa yang sama.

Yang terakhir, pada 15 Februari 2014, tarif insurans motor telah dinaikan. Kadar baru ini melibatkan pelarasan tarif asas premium untuk perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian. Ini mencakupi insurans kenderaan yang baru dibeli dan juga insurans yang diperbaharui semula. Tarif telah meningkat dari RM 2 hingga RM23 bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan.

GST yang dikenakan kepada premium insurans am bukanlah satu bebanan kepada syarikat-syarikat insurans tetapi beban yang dipindahkan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli insurans.

Insurans Am memberi perlindungan jangka pendek bagi harta benda dan liabiliti daripada kehilangan ataupun kerosakkan. Insurans Am ini adalah tertakluk kepada GST dalam kadar yang biasa iaitu 6%.

Pada masa ini memang terdapat banyak rungutan daripada rakyat kita kerana premium insurans am yang semakin meningkat.Nyata sekali pengguna-pengguna kenderaan adalah diwajibkan insurans motor.

Adalah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang jika kita memandu mana-mana kenderaan bermotor tanpa memiliki insurans yang sah. Dalam perspektif ini, pengguna tidak mempunyai pilihan lain. Mereka terpaksa membeli insurans motor untuk kenderaan yang mereka miliki.

Oleh yang demikian, peningkatan dalam kadar premium secara terus menerus akan membebankan pelanggan-pelanggan. Tambahan lagi apabila GST dilaksanakan pada tahun ini akan menambahkan lagi beban mereka. Pada pandangan saya, insurans adalah alat untuk menghadapi ketidak pastian atau sesuatu kemungkinan.

Insurans adalah mekanisme untuk membantu seseorang apabila berlaku sesuatu kecelakaan ataupun kehilangan. Maka kerajaan harus menggalakkan lebih ramai orang memiliki pelbagai insurans untuk menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Ini juga akan membantu kerajaan apabila rakyat mempunyai auto mekanisme untuk menjaga kebajikan sendiri apabila berlaku sesuatu kemudaratan .

Saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan GST terhadap Insurans Am. Pengecualian GST untuk insurans am boleh dianggap sebagai satu galakan kerajaan untuk mempromosikan industri ini. Kerajaan harus mencari jalan untuk mempromosikan dan mengembangkan industri insurans untuk kepentingan bersama. Kerajaan juga tidak boleh menafikan bahawa industri insurans adalah salah satu sektor kewangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ada juga pandangan-pandangan yang berlainan seperti yang dibuat oleh Persatuan Insurans Am Malaysia yang menyokong pengenaan GST bagi insurans am. Pada hemat saya, itu adalah pandangan yang dilihat dari perspektif syarikat-syarikat insurans am yang mempunyai kepentingan dan manfaat daripadanya. Tetapi, saya merasakan perkara ini seharusnya dilihat dalam konteks pelanggan jika kita benar-benar berpegang kepada prinsip 'rakyat didahulukan'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan