Ahad, 5 April 2015

Kaum India Masih Ketinggalan Dalam Pegangan Aset Negara, BN Gagal Mewujudkan Strategi Pemerkasaan Ekonomi Kaum India



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18 Februari 2015 di Batu Gajah.


Pegangan aset di kalangan kaum India adalah paling kecil jika dibandingkan dengan Bumiputera dan kaum Cina. Walaupun sudah lebih 50 tahun kita merdeka, kaum India masih tidak mempunyai hala tuju meningkatkan pegangan aset mereka. Pegangan aset dikalangan kaum India adalah sesuatu yang tidak boleh dibanggakan.

Mungkin ada segelintir usahawan India yang berpengaruh telah berjaya memiliki sejumlah aset yang mengkagumkan, tetapi milikan mereka itu tidak memberi gambaran sebenar pegangan aset kaum India secara keseluruhanya. Sebilangan besar daripada orang-orang India tidak memiliki apa-apa aset. Lebih-lebih lagi, aset-aset komersial tidak boleh dimimpikan langsung oleh kaum tersebut.

Saya terpaksa mempersalahkan kerajaan Barisan Nasional dan pihak MIC yang kononnya berjuang untuk kaum India kerana gagal meningkatkan pegangan aset di kalangan kaum yang ketinggalan jauh ke belakang. Adalah amat menyedihkan kerana setakat ini tidak ada apa-apa rancangan ataupun pelaksanaan projek-projek tertentu untuk meningkatkan jumlah aset kaum India di negara ini. Kerajaan telah gagal mewujudkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Kaum India.

Kaum India hanya dilihat sebagai 'fix deposit' apabila tiba pilihanraya umum. Setiap kali kita berpilihanraya, pelbagai janji kosong ditaburkan untuk memikat hati orang-orang India. Sejurus selepas pilihanraya, kaum India tidak dipedulikan dan dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Kaum India tidak pernah dimasukkan dalam agenda utama ekonomi negara walaupun golongan ini amat memerlukan dan mengharapkan bantuan kerajaan.

Setakat ini, saya tidak nampak apa-apa hasrat murni kerajaan untuk membantu masyarakat India menambahkan nilai pegangan aset mereka. Saya juga tidak nampak apa-apa langkah yang telah diambil bagi tujuan tersebut seperti yang dilakukan secara serius dalam membantu Bumiputera. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan pegangan aset Bumiputera ialah penubuhan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

PHB telah membuat pelaburan sebanyak RM3.2 bilion melalui pembelian bangunan dan projek pembangunan hartanah , antaranya seperti berikut :

1) CP Tower, Seksyen 16, Petaling Jaya Selangor
2) Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya
3) Menara BT, Bangsar South, Kuala Lumpur
4) Lot G, Sentral Kuala Lumpur

Selain daripada itu, kerajaan juga mewujudkan UDA Holdings Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan banyak lagi agensi untuk meningkatkan pemilikan hartanah oleh Bumiputera, khususnya hartanah bernilai komersial.

Berapakah jumlah wang diperuntukkan oleh kerajaan untuk pembangunan ekonomi kaum India terutamanya dalam meningkatkan pegangan aset? Kenapakah kerajaan sentiasa menganak tirikan wargananegara Malaysia yang berbangsa India? Kenapakah MIC tidak pernah memperjuangkan hak-hak yang asas seperti ini?


V.Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan