Rabu, 29 April 2015

Berapakah Bilangan Pegawai Daerah Dari Kaum India Di seluruh Negara?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah 17/4/2015



Adakah benar bahawa MIC benar-benar memperjuangkan hak kaum India?Saya tidak tahu apa perjuangannya yang sebenar. Baru-baru ini kita semua masih mengikuti pergolakkan kuasa antara pemimpin-pemimpin utama MIC.

Tetapi kebanyakan diantara kaum India tidak berminat dengan isu ini lagi. Mereka merasakan parti MIC tidak lagi relevan untuk memperjuangkan hak kaum India yang jauh ketinggalan.

Selepas lebih 50 tahun merdeka, Barisan Nasional masih mengamalkan polisi-polisi diskriminasi kaum yang sangat ketara. Pada suatu ketika dahulu, kaum India ramai bekerja dalam sektor perkhidmatan awam. Perkara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Mereka juga pernah memegang jawatan-jawatan tinggi dalam sektor awam. Di manakah mereka ini semua? Selepas mereka ini bersara, tidak ada pengambilan baru dari kalangan kaum India untuk menggantikan mereka. Ini adalah hasil daripada polisi diskriminasi yang dilakukan secara senyap-senyap di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Walaupun pemimpin-pemimpin MIC mengetahui dasar yang berat sebelah dan merugikan kaum India, tetapi mereka telah mengambil sikap berdiam diri. Akibatnya kaum India telah kehilangan tempat dalam sektor awam.

Saya tahu MIC tidak akan mengaku kelemahan mereka. Tetapi, saya ingin bertanya kepada mereka berapakah jumlah Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di kalangan kaum India yang masih menjawat jawatan itu sekarang.

Jawatan-jawatan ini adalah penting dan saya percaya ada diantara kakitangan awam dikalangan kaum India layak memegang jawatan-jawatan tersebut. Kecuali pemimpin-pemimpin MIC berpendapat bahawa kaum India memang tidak layak untuk jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah.

Jika mereka menafikan dakwaan saya, adalah perlu untuk menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:-

1) Adakah mereka pernah membangkitkan isu jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di peringkat Kabinet?

2) Jika ya, apakah hasilnya? Adakah kerajaan pernah memberi apa-apa alasan berhubung dengan perkara ini. Nyatakan pendirian kerajaan mengenai perkara ini.

3) Adakah MIC mempunyai niat untuk mendesak kerajaan untuk jawatan-jawatan seperti ini. Jika ya, bagaimanakah ia akan dilaksanakan supaya orang ramai mengetahui perjuangan parti itu.

4) Apakah pendirian MIC mengenai meningkatkan bilangan kakitangan sektor awam dari kalangan kaum India.



Saya berharap pucuk kepimpinan MIC sekarang boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan meningkatkan pengambilan kaum India bekerja dalam sektor awam. Tetapi, jaminan itu seharusnya dalam bentuk 'blue print' kerajaan kepada kaum India. Jika tidak, sekali lagi masyarakat India akan tertipu seperti slogan 'Nambikai' sebelum PRU13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan