Selasa, 7 April 2015

Jika Tiada Pampasan, Mangsa Banjir Taman Arkid Akan Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Pemaju



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada 5 April 2015



Banjir kilat telah berlaku di Taman Arkid, Menglembu pada 1 Mac 2013. Penduduk Taman Arkid mengalami kerosakan barang-barang yang banyak di dalam rumah termasuk kenderaan. Banjir kilat ini berpunca daripada projek pembangunan di kawasan itu yang melibatkan pembinaan Universti Kolej SEGI iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi swasta.

Ketika banjir kilat itu berlaku pada tahun 2013, saya telah berjumpa dengan pegawai-pegawai berkuasa Majlis Bandaraya Ipoh beberapa kali berhubung dengan masalah tersebut. Saya telah menyerahkan laporan polis dan gambar-gambar keadaan banjir di Taman Arkid. Saya juga telah menuntut pampasan daripada pihak pemaju untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Tetapi, pihak berkuasa tempatan dan pemaju gagal memberi pampasan kepada mangsa-mangsa banjir walaupun malapetaka itu adalah kecuaian pihak pemaju dan Majlis Bandaraya Ipoh. Ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Taman Arkid. Pihak Majlis Bandaraya Ipoh pula telah menjanjikan bahawa masalah banjir kilat seumpama ini tidak akan berulang lagi. Pihak Majlis Bandaraya akan mengambil segala langkah dan pemantauan supaya dapat menghindari masalah ini daripada berulang.

 Tetapi, pada 30 Mac 2015, lebih kurang 4pm sekali lagi banjir kilat berlaku. Pada kali ini, air bah naiki paras yang lebih tinggi berbanding dengan keadaan pada tahun 2013. Lebih banyak rumah terlibat, lebih banyak harta benda rosak. Air yang mengalir masuk ini datangnya dari kawasan projek pembangunan yang sama. Ini membuktikan tidak ada apa-apa langkah yang diambil oleh pihak pemaju dan Majlis Bandaraya Ipoh. Kecuaian pihak-pihak ini memudaratkan keselamatan dan keselesaan penduduk Taman Arkid.

 Saya nampak dengan jelas pihak berkuasa dan pemaju telah mengabaikan tanggungjawab sosial. Adakah pembangunan lebih penting daripada keselamatan dan keselesaan rakyat? Pihak Majlis Bandaraya Ipoh harus bertanggungjawab dalam hal yang dibangkitkan.

Saya telah menulis surat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Bandar Ipoh, Pegawai Daerah Kinta dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya mendesak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera supaya tidak berulang lagi. Penduduk Taman Arkid kecewa, bimbang dan berasa takut bahawa banjir kilat ini akan berlaku lagi jika tiada sebarang tindakan diambil.

Pada masa yang sama, saya bersama YB Lim Pek Har, Ahli Dewan Negeri Menglembu dan Jawatankuasa Masalah Banjir Taman Arkid akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju pada hari Jumaat ini. Antara perkara-perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan dengan pampasan dan tindakan-tindakan teknikal yang boleh menyelesaikan masalah banjir kilat pada masa hadapan.




Jika sekiranya perbincangan dengan pemaju gagal, penduduk Taman Arkid telah menyuarakan pendapat supaya tindakan mahkamah diambil terhadap pihak pemaju dan kerajaan yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan