Ahad, 5 April 2015

Inflasi Pasti Meningkat Selepas GST, Kerajaan Akan Gagal Mengawal Kenaikan Harga, Rakyat Akan Lebih Menderita.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18 Mac 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Selepas GST dilaksanakan pada 1 April 2015, kenaikan harga barangan pasti tidak dapat dikawal oleh kerajaan. Walaupun kerajaan sentiasa berjanji akan mengambil segala langkah untuk mengawal kenaikan harga tetapi perkara ini tidak semudah itu untuk dilaksanakan.

Kita perlu sedar bahawa tujuan sesuatu perniagaan ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memaksimakan keuntungan. Ini adalah prinsip asas ekonomi yang difahami oleh semua. Jika kos perniagaan meningkat, adalah menjadi lumrah untuk peniaga memindahkan kos itu kepada pelanggan-pelanggannya. Peniaga-peniaga tidak akan menanggung kos tambahan yang boleh mengurangkan keuntungan yang diperolehi.

Adalah sukar untuk kita memaksa peniaga-peniaga supaya tidak menaikan harga barangan apabila kos meningkat. Jika kita memaksa juga, maka itu akan menjadi gangguan yang melampau kepada iklim perniagaan itu sendiri. Suasana ini juga tidak baik untuk proses pembangunan negara yang seharusnya menjaga semua pihak termasuk para peniaga.

Saya sedar bahawa kemungkinan akan berlaku kenaikan harga oleh pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab dan cenderung mengambil kesempatan mengeksploitasi keadaan melalui pelaksanaan GST. Walaupun kita ada undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 dan Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatuan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014, tetapi masalah kenaikan harga selepas GST tidak mudah dikawal.

Kerajaan mungkin cuba memberi keyakianan kepada rakyat bahawa undang-undang yang sedia ada dan beberapa langkah lain dapat mengawal kenaikan harga. Tetapi, pada pandangan saya apa jua mekanisme kawalan yang akan diguna pakai oleh kerajaan akan menjadi sia-sia sahaja. Janji-janji yang dibuat oleh kerajaan adalah semata-mata kosmetik untuk menenangkan hati rakyat. Saya pasti dalam keadaan ekonomi yang agak tenat, inflasi lebih daripada 5% akan melanda negara kita pada tahun ini.

Saya maklum bahawa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan OPS CATUT bermula 15 Januari 2015. Sehingga 4 Mac 2015 sebanyak 335, 647 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara. Sebanyak 1,185 kesalahan ditangkap dengan jumlah rampasan sebanyak RM384,834.64 dan nilai kompaun sebanyak RM235,986.70 dikenakan.

Walaupun operasi dibuat dan tindakan diambil, tetapi cubitan kenaikan harga itu sudahpun dirasai oleh semua lapisan masyarakat walaupun GST masih belum diamalkan lagi. Memerangi kenaikan harga bukanlah semudah seperti yang dijangkakan oleh kerajaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan