Ahad, 5 April 2015

Kedai RM2 Pun Kena GST



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3 April 2015 di Batu Gajah


Terdapat banyak 'Kedai RM2' di seluruh negara yang menjual barang-barang pada harga yang cukup murah. Konsep yang diamalkan adalah mana-mana satu barang yang dipilih adalah berharga RM2 sahaja. Ini telah menarik perhatian ramai pelanggan untuk mengunjungi kedai-kedai seperti ini. Sesiapa juga mampu membeli barangan bernilai RM2 berbanding barangan lain yang sama jenis dan nilai yang berada di pasaran.

Memang tidak dapat dinafikan, 'Kedai RM2' mempunyai banyak jenis barangan keperluan yang dijual dengan harga yang murah. Walaupun kualiti barangan dari kedai-kedai itu tidak dapat dijamin, tetapi ramai juga memilih untuk membeli belah di kedai-kedai ini.

Pada kebiasaanya 'Kedai RM2' ini adalah pusat langganan dari kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Barang-barang yang dijual juga adalah untuk memenuhi keperluan dan citarasa golongan ini.

Tetapi, adalah pelik apabila GST juga dikenakan terhadap barang-barang yang dijual di 'Kedai RM2' yang menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini terbukti bahawa golongan miskin juga tidak terlepas daripada membayar GST.

Walaupun kerajaan dalam pelbagai media cuba meyakinkan bahawa cukai ini tidak akan membebankan golongan miskin tetapi pada realitinya perkara ini tidak dilaksanakan. Kerajaan mengenakan cukai ini termasuk barang-barang yang dibeli oleh golongan miskin. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional harus berhenti menipu rakyat dengan dakwaan bahawa GST tidak akan membebankan golongan miskin.

Setiap barang yang dibeli dengan harga RM2 dari kedai-kedai itu adalah tertakluk kepada GST sebanyak RM0.12.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan