Ahad, 5 April 2015

BN Cekik Darah Rakyat Dengan GST 6%




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 28/3/2015 di Batu Gajah



Pada hakikatnya DAP membantah GST bukan kerana ianya tidak baik. GST telah diamalkan di banyak negara. Tetapi, DAP berpendapat bahawa ini bukanlah masanya untuk melaksanakan GST. DAP tidak mahu kerajaan melaksanakan GST secara terburu-buru.




Kita masih ada peluang lain untuk selamatkan ekonomi negara kita tanpa
melaksanakan GST. Kita harus mencari jalan untuk berhenti pemborosan, pembaziran, ketirisan dan rasuah di negara kita. Ini merupakan langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.

Tetapi, kerajaan hari ini gagal melaksanakan perkara-perkara tersebut sebagai langkah baik pulih ekonomi negara. Sebaliknya telah memilih GST, iaitu satu bentuk cukai yang pasti membebankan seluruh rakyat negara terutamanya golongan miskin dan berpendapatan sederhana.

Walaupun DAP telah memberi amaran kuat dari awal-awal lagi tetapi kerajaan Barisan Nasional amat degil untuk melaksanakan GST untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya. Akhirnya rakyat telah dimangsakan dalam percaturan ekonomi Barisan Nasional. Prinsip 'Rakyat Diutamakan' hanya satu slogan retorik untuk memenangi hati rakyat sewaktu pilihanraya.

Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai 6% GST adalah amat membebankan rakyat. Kita tidak sepatutnya memulakan GST dengan kadar yang begitu tinggi. Ia sepatutnya dilakukan secara progresif supaya beban cukai itu tidak dirasai oleh rakyat. Ini adalah penting supaya kebajikan rakyat tidak tergugat akibat cukai yang tinggi dan mendadak.

Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan GST pada 1 April 1994 pada kadar 3%. Kemudian, kadar itu dinaikkan kepada 4% pada 1 Januari 2003 iaitu selepas 8 tahun. Pada 1 Januari 2004 GST dinaikan lagi kepada 5%. Akhirnya pada 1 Julai 2007, Singapura mengenakan GST pada kadar 7%. Manakala di Malaysia pula, GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 adalah pada kadar yang cukup tinggi iaitu 6%.

Pendapatan Per Kapita bagi Malaysia adalah dalam lingkungan RM37,000. Manakala Pendapatan Per Kapita Singapura adalah lebih daripada RM 197, 000 iaitu 5 kali ganda Pendapatan Per Kapita Malaysia. Sebuah negara yang mempunyai Pendapatan Per Kapita yang tinggi tetapi hanya mengenakan GST pada kadar 7%.

Tetapi, Malaysia dengan Pendapatan Per Kapita yang rendah mahu mengenakan GST pada kadar 6%. Jika dibandingkan dengan Pendapatan Per Kapita Singapura, kita hanya layak untuk dikenakan GST pada kadar 1.5% . Tetapi, kerajaan Barisan Nasional yang tidak prihatin mencekik darah rakyat apabila mengenakan GST 6% iatu 4.5% lebih daripada yang sepatutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan