Terlebih dahulu, saya ucapkan ‘tahniah’ kepada Menteri Kewangan YB Pekan atas kejayaan beliau membentangkan satu perbelanjaan yang bersejarah … yang akan membawakan penderitaan dan kesengsaraan yang bersejarah kepada rakyat Malaysia.
Bajet 2014 yang dibentangkan pada minggu lepas bertajuk “ Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji”. Saya rasa lebih tepat jikalau bajet itu ditajukkan sebagai “Ketirisan tidak ditangani, Janji Dimungkiri dan Rakyat Menyesali”
Saya akan memberi fokus kepada tiga isu penting dalam perbahasan saya – yang pertama, cukai barangan dan perkhidmatan ataupun GST; yang kedua, kegagalan kerajaan untuk mengawal perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus ( operational expenditure) ; yang ketiga, Kedudukan Kewangan Perusahaan Awam Buka Kewangan (PABK) ataupun Non- Financial Public Enterprises ( NFPEs).
1) GST
Penggantian SST dengan GST tidak akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan
Pakatan Rakyat bantah perlaksanaan GST kerana kami rasa bahawa masanya belum sesuai lagi untuk dilaksanakan di Malaysia pada masa ini. Hanya 15% daripada pekerja mampu membayar cukai pendapatan. 85% daripada rakyat pendapatannya tidak mencukupi untuk membayar cukai pendapatan. Jikalau GST dilaksanakan, sebahagian daripada beban cukai tentu akan diagihkan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan juga yang berpendapatan sederhana.
Ada daripada pihak sebelah sana yang akan membalas dengan jawapan sebegini – “ Sekarang, 85% pun ada bayar cukai – cukai jualan ataupun sales tax dan cukai perkhidmatan ataupun service tax. Jikalau GST yang akan dikenakan pada kadar 6% menggantikan cukai jualan (10% ) dan cukai perkhidmatan (6%) (SST ataupun sales and service tax), harga untuk kebanyakan barang akan turun, bukan naik, selepas GST!” Pendapat ini saya telah baca beberapa kali di suratkhabar, di laman web, di twitter dan di facebook.” Ini adalah satu pendapat yang tidak tepat dan adalah satu tipu muslihat yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Untuk maklumat Tuan Speaker, saya telah buat suatu kajian untuk membandingkan barang- barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dan GST. Senarai Penuh barang yang dikecualikan daripada cukai jualan boleh didapati dalam Jadual 1 “Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No.2) 2012” ataupun Sales Tax ( Rates of Tax No.2) (2012) dalam Warta Kerajaan Persekutuan ataupun Federal Government Gazette.
Saya bukan pakar cukai tetapi mengikut Jadual 1, antara contoh barangan yang dikecualikan daripada Sales Tax adalah susu berkrim, teh, kopi, jem, buah-buahan di dalam tin, air mineral, teh dan kopi, barangan dapur, beg sekolah, majalah, surat khabar, telefon bimbit, macam- macam lagi. Kebanyakan daripada barangan ini bukan barangan ‘luxury’. Tetapi barangan tersebut yang sebelum ini tidak dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6% kerana yang dikecualikan daripada GST. Ada juga barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5% seperti simen dan buah-buahan dan kadar cukai ini akan dinaikkan kepada 6% selepas GST.
Saya merujuk kepada laman web MATRADE yang telah memberi penjelasan yang lebih lanjut tentang barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan, dengan izin:
Certain categories of goods are exempted from sales tax at both the input and output stages. These include all goods (inclusive of packaging materials) used in the manufacture of controlled articles, pharmaceutical products, milk products, batik fabrics, perfumes, beauty or make up preparations, photographic cameras, wrist watches, pens, computers and computer peripherals, parts and accessories, carton boxes/ cases, products in the printing industry, agricultural or horticultural sprayers, plywood, rethreaded tyres, uninterruptible power systems, machinery and manufactured goods for export. "
Kebanyakan daripada barangan yang disebut yang dikecualikan jualan cukai akan dikenakan GST.
Sebagai bandingan, barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan mengambil 250 muka surat tetapi barangan yang dikecualikan daripada GST hanya mengambil 21 muka surat sahaja.
Saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada barang yang dikecualikan daripada cukai jualan ini jauh lebih daripada apa yang dikecualikan daripada GST. Jikalau ini adalah tepat, saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada harga kebanyakan barangan akan naik selepas perlaksanaan GST.
Ada juga pihak yang kata bahawa barangan dan perkhidmatan asas seperti kediaman, perkhidmatan kewangan, kesihatan dan pengangkutan yang akan dikecualikan GST. Dan oleh kerana ini, harga barangan dan perkhidmatan asas tidak akan meningkat akibat daripada GST. Ini juga bukan satu penjelasan yang tepat.
Walaupun barangan dan perkhidmatan tersebut dikecualikan daripada cukai ( tax exempt) tetapi input yang digunakan untuk membuat barangan dan perkhidmatan tersebut bukan semua dikecualikan daripada cukai. Misalnya, penjualan rumah kediaman dikecualikan daripada cukai tetapi ‘ construction materials’ yang digunakan untuk membina rumah kediaman ini tidak dikecualikan. Jadi, kalau kos pembinaan itu meningkat kerana kos barangan pembinaan itu meningkat akibat daripada GST, tentunya harga rumah kediaman itu akan meningkat!
Saya menggunakan perkataan seorang pemaju yang terkenal iaitu Tan Sri Liew Kee Sin, Presiden dan CEO SP Setia Bhd, sebagai penjelasan yang lebih lanjut. Dengan izin:
“While the government has said that residential properties will be exempted from the GST, it does not mean that the cost of supplying such homes is free from GST. This is because developers would still have to pay 6% GST on nearly all the inputs required to construct the home, which could further increase the cost of construction quite substantially.”
(The Edge, October 28 to November 3, 2013, pg. 75)
Saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada kos barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST (tax-exempt) akan mengalami kenaikan harga akibat daripada GST yang dikenakan ke atas input yang digunakan dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan ini.
GST akan mengutip lebih banyak cukai berbanding dengan SST
Sebenarnya, kenyataan bahawa cukai yang akan dibayar oleh pengguna akan turun selepas GST memang tidak masuk akal. Jikalau cukai yang akan dibayar akan turun, kenapa GST perlu dilaksanakan? Bukannya antara sebab yang penting GST perlu dilaksanakan adalah penambahan cukai yang akan dikutip di bawah GST berbanding dengan cukai yang lain? Saya juga minta penjelasan daripada Menteri sama ada cukai yang akan dikutip di bawah GST ini adalah lebih daripada apa yang sedah dikutip daripada cukai jualan dan perkhidmatan.
GST adalah cukai regresif
Tuan Speaker, kebanyakan pakar ekonomi bersetuju bahawa cukai GST ini adalah cukai regresif. Ini bermakna bahawa golongan yang berpendapatan rendah akan membayar peratusan yang lebih besar daripada pendapatan mereka selepas pelaksanaan GST berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi. Ini juga salah satu sebab penting Pakatan Rakyat membantah pelaksanaan GST pada masa ini.
Mengikut kajian Jabatan Perangkaan, 4.5% daripada pendapatan golongan yang berpendapatan rendah akan dibelanjakan ke atas GST berbanding dengan 2.9% untuk golongan yang berpendapatan sederhana dan 2.1% untuk golongan yang berpendapatan tinggi. Penang Institute juga telah mengeluarkan satu kertas kerja yang menunjukkan bahawa golongan yang berpendapatan rendah akan membayar peratusan daripada pendapatan yang lebih tinggi kepada GST berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi. Tambahan, oleh kerana golongan berpendapatan rendah kebanyakannya adalah Bumiputera, maka merekalah yang akan paling merasai kesan kenaikan kos beban hidup akibat daripada pelaksanaan GST.
Walaupun Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Price Control and Anti-Profiteering Act 2011), tetapi saya meragui sedikit sebanyak tentang kemampuan Kementerian untuk memantau beratus ribu peniaga yang akan meningkatkan harga akibat daripada GST. Jikalau Akta ini tidak boleh menghentikan kenaikan harga yang tidak berpatutan terutamanya di kawasan bandar yang begitu tinggi, adakah ia akan berhasil apabila beratus- ratus ribu peniaga akan menaikkan harga sejurus selepas GST diperkenalkan? Saya harap Menteri boleh member penjelasan tentang langkah-langkah spesifik untuk menangani masalah ini yang tentu akan berlaku selepas dan juga sebelum 1hb April 2015.
2) Mengawal Perbelanjaan Kerajaan
Tuan Speaker, sekarang saya beralih untuk membahaskan isu kegagalan kerajaan Barisan Nasional untuk mengawal perbelanjaan kerajaan.
Setiap tahun, semasa sesi belanjawan, Menteri Kewangan mengumumkan sesuatu angka perbelanjaan yang tertentu dan pada tahun berikutnya, tanpa gagal, Menteri akan kembali ke dewan yang mulia ini dan melaporkan perbelanjaan sebenar yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, perbelanjaan yang diumumkan untuk belanjawan 2012 adalah RM230.8 bilion tetapi perbelanjaan sebenar adalah RM249.5 bilion, iaitu perbezaan sebanyak RM18.7 bilion, bukan satu jumlah yang kecil. (Lihat Jadual 1)
Jadual 1: Perbezaan di antara Belanjawan yang dianggarkan dan sebenarnya (2009 sehingga 2012)
(RM juta)
|
2009
|
2010
|
2011
|
2012
|
Belanjaan yang dianggarkan
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan