Isnin, 4 November 2013

Diskriminasi Adalah Punca Polarisasi Dan Kegagalan Mencapai Integrasi Kaum di Malaysia

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3/11/2013 di Pengkalan Metro, Batu Gajah



 Kerajaan bercadang untuk menubuhkan Unit Pembangunan Bumiputera di peringkat kementerian. Ada maklumat yang mengatakan bahawa unit khas ini akan dibuka di setiap kementerian. Walau bagaimanapun kesahihan maklumat ini belum dapat dipastikan. Kita masih tidak tahu samada kerajaan berniat untuk menubuhkan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian atau di beberapa kementerian yang terpilih sahaja.

Matlamat Unit Pembagunan Bumiputera ini adalah untuk mengariskan  strategi  untuk memperkasakan ekonomi bumiputera . Unit ini diletakkan di bawah kawal selia Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Pada 14 September 2013.

Memperkasakan golongan bumiputera adalah satu usaha yang murni. Tetapi kerajaan juga tidak boleh mengabaikan masyarakat bukan bumiputera  di negara ini. Sumbangan mereka kepada kemajuan dan pembangunan negara ini tidak boleh diperkecilkan dan diabaikan. Rata-rata semua kaum di negara ini mempunyai golongan berpendapatan rendah yang boleh dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar.

Kerajaan tidak memasukkan golongan miskin bukan bumiputera ini dalam agenda nasional. Ini adalah satu daripada kelemahan BN yang berterusan sejak kemerdekaan. Kaum bukan bumiputera sentiasa dianak tirikan apabila terutama sekali apabila merangka dasar ataupun polisi mempekasakan ekonomi sesuatu kaum.

Inilah menjadi punca kepada polarisasi kaum di negara kita. Tindakan kerajaan untuk menganak tirikan kaum- kaum tertentu sudah pasti akan menimbulkan perasaan tidak senang dan kebencian terhadap BN. Ini juga merupakan faktor utama kegagalan MCA, Gerakan , MIC dan PPP dalam PRU13 yang lalu.

Dasar BN yang terang-terang menampakkan unsur diskriminasi kaum adalah punca kemerosotan integrasi diantara pelbagai masyarakat. Apa salahnya kerajaaan menubuhkna Unit Pembangunan Rakyat dalam semua kementerian bagi membantu golongan miskin tanpa mengira keturunan dan agama? Bukankah ini boleh dianggap sebagai Transformasi Nasional yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri dan selaras dengan slogan BN, 1Malaysia?

Apa yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini ialah memperbesarkan lagi jurang diantara kaum di negara kita. Kerajaan tidak akan mencapai matlamat intergrasi nasional selagi kaum bukan bumiputera juga dimasukkan dalam agenda nasional kerajaan BN. Kerajaan seharusnya memberi fokus dalam menghapuskan kemiskinan secara keseluruhan.

Parti- parti politik bukan bumiputera seperti MCA,  Gerakan dan MIC tidak mempunyai ruang dalam arena politik negara ini selagi terdapat diskriminasi yang ketara dan dapat dirasai oleh kaum yang mereka wakili. UNMO tidak boleh mengharapkan 'magic' ataupun silap mata dalam PRU14 dengan mengabaikan masyarakat bukan bumiputera.

Kerajaan harus membentangkan satu program yang menyeluruh untuk membasmi kemiskinan rakyat Malaysia. Sikap kerajaan yang lebih 'inclusive' akan mendatangkan  keuntungan yang lumayan kepada rakyat dan negara. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan