Ahad, 3 November 2013

Penganggur Berdaftar Gagal Ditempatkan Oleh Agensi Pekerjaan

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Setiausaha Antarabangsa  DAP Kebangsaan, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 November 2013 di Ipoh



Malaysia menghadapi masalah pengangguran yang serius tetapi kerajaan bersikap seolah-olah kita mencapai gunatenaga penuh. Penganggur yang mencari kerja akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memperolehi  perkerjaan mengikut citarasa dan kelayakan yang dimiliki. Salah satu kaedah yang popular di negara kita ialah mencari pekerjaan melalui agensi pekerjaan. Agensi pekerjaan swasta sering menjadi pilihan kepada penganggur walaupun terdapat bayaran tertentu dan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Mengikut statistik Jabatan Tenaga Kerja (JKT) sehingga 30 September 2013 terdapat 2502 buah agensi telah berdaftar sebagai Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah peruntukan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.  Daripada jumlah itu hanya 1178 APS yang bergiat aktif pada masa ini.  Walaubagaimanapun pihak kerajaan telah menerima 81 permohonan baru dan 663 pembaharuan lesen  APS dari bulan Januari hingga September 2013.

Adakah APS yang sedia wujud memainkan peranan atau tanggunjawab dengan berkesan? Statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia tidak memberi satu gambaran yang baik berhubung dengan APS ini. Didapati 279,348 pendaftaran pekerjaan dibuat di keseluruhan APS negara kita dari bulan Januari hingga September tahun ini. Daripada jumlah besar ini, hanya 14, 802 orang yang berjaya ditempatkan oleh APS. Ini hanyalah 4.97% daripada jumlah yang didaftarkan oleh APS.  Lebih daripada 95% yang didaftarkan oleh APS tidak dapat ditempatkan lagi.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah APS negara kita tidak cekap? Ataupun ada alasan-alasan lain berhubung dengan perkara ini? Kerajaan harus mengkaji semula peranan APS dan mencari jalan untuk mempertingkatkan kemampuan APS supaya dapat menempatkan orang-orang yang berdaftar dibawahnya secara efektif. Jika tidak,  APS tidak akan diberi  kepercayaan  oleh orang yang berdaftar mahupun pihak majikan. Kerajaan harus mengkaji semula undang-undang yang sedia ada untuk mempergiatkan lagi industri ini. Kewibawaan APS ini adalah penting untuk menyelesaikan masalah pengangguran di negara kita.

Kategori kerja yang paling banyak ditempatkan oleh APS ialah Profesional iaitu 3189 daripada 56,997 yang didaftarkan.  Manakala yang kedua terbanyak ialah kerja perkeranian iaitu 3156 daripada 42, 085 yang didaftarkan untuk tempoh Januari hingga September 2013.

Statistik-statistik yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia adalah amat memakjubkan kerana terdapat  ramai dari kalangan rakyat negara kita mencari pekerjaan tetapi pada masa yang sama warga asing pula telah melanda di bumi ini. Dimanakah kesilapan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan