Terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Yang
Dipertua kerana memberi peluang kepada saya mengambil bahagian dalam perbahasan
Belanjawan 2014.
Salam Sejahtera dan Salam Ubah.
Belanjawan 2014 adalah satu belanjawan pasca
pilihanraya yang pasti akan membebankan rakyat jelata. Cukai baru GST
diperkenalkan dan subsidi gula pula dihapuskan. Ini sudah tentu akan membawa
implikasi kewangan yang drastik kepada rakyat.
Sebuah kerajaan kebajikan sudah pasti tidak
akan membebankan rakyat dengan cukai yang berlebihan dan pada masa yang sama
akan memberi subsidi pada kadar yang berpatutan untuk membantu rakyat
terutamanya golongan miskin.
Tetapi, kerajaan BN telah mengkhianati rakyat
dengan meningkatkan cukai dalam bentuk GST dan mengurangkan subsidi gula pada
26 Oktober 2013 dan RON 95 pada 3 September 2013 sebaik sahaja memenangi PRU-13
dengan pelbagai tipu muslihat.
Penghapusan subsidi ini akan mengurangkan
pendapatan boleh guna oleh setiap isirumah. Ini adalah kerana tidak ada
peningkatan dalam pendapatan, pada masa yang sama terdapat tanggung baru iaitu
GST.
Pada hemat saya, tindakan kerajaan
memperkenalkan GST dan mengurangkan subsidi gula dan petrol adalah bertujuan
memindahkan tanggungan atau liabiliti kerajaan kepada rakyat.
Penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan yang
diganti oleh GST akan membawa perolehan tambahan kepada kerajaan sebanyak
RM11bilion. Jumlah wang yang begitu besar itu datangnya dari mana kalau bukan
daripada rakyat, termasuk rakyat miskin dan miskin tegar.
Wang inilah akan bakal digunakan oleh
kerajaan untuk membayar faedah/bunga/riba hutang luar negara.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat,
mengikut kajian yang dibuat oleh Penang Institute, mendapati golongan yang
berpendapatan sederhana iaitu RM30ribu hingga RM150ribu setahun adalah golongan
yang paling terjejas akibat daripada cukai regresif GST. Kajian juga
menunjukkan bahawa golongan kaya-raya adalah kelompok yang kurang merasai
kepahitan GST.
Saya amat tertarik dengan ucapan Bagan Serai
yang memberi penjelasan tentang bahaya gula dan penyakit kencing manis. Penjelasan
beliau dari aspek perubatan mungkin boleh diterima. Tetapi, dari segi logiknya,
dari segi rasionalnya, adakah penghapusan subsidi gula sebanyak 34sen itu akan
mengurangkan kadar pesakit diabetis di Malaysia?
Tidak ada korelasi yang nyata di antara
peningkatan harga gula sebanyak 34sen itu akan mengakibatkan pengurangan
permintaan isirumah untuk gula. Gula bukanlah barangan biasa yang terikat
dengan teori permintaan, malah ia harus dianggap sebagai bahan mesti. Permintaan
untuk gula adalah tidak anjal. Walaupun ada peningkatan harga tetapi,
permintaan akan kekal pada kuantiti yang sama ataupun sedikit perubahan yang
tidak signifikan.
Oleh yang demikian, adalah tidak jitu dari
segi pengiraan ekonomi untuk memberi alasan kesihatan bagi menghapuskan subsidi
gula. Pandangan kesihatan adalah satu helah kerajaan untuk mengalih pandangan
rakyat mengenai isu pengurangan subsidi gula yang sebenarnya bertujuan
menyelesaikan masalah keparahan defisit fiskal kerajaan.
Saya tidak sehaluan dengan Bagan Serai dan
Pekan yang cuba menutup kebenaran ini.
Saya juga amat kecewa di atas pengumuman Menteri
Kewangan untuk menghapuskan subsidi gula sebanyak 34sen dengan serta-merta
tanpa mengambil kira sensitiviti dan keprihatinan terhadap masyarakat India
yang telah menyambut perayaan Deepavali seminggu sejurus pembentangan bajet
2014.
Dalam ucapan belanjawan ada disebut bahawa
Perdana Menteri telah melancarkan Dasar Transformasi Negara pada tahun 2010
sebagai pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020.
Bolehkah Negara mencapai Wawasan 2020?
Setiap tahun sebanyak 17 kali berturut-turut
kerajaan BN telah membentangkan bajet defisit dalam Dewan yang mulia ini. Apakah
gunanya mengisytiharkan Negara kita sebagai sebuah Negara yang berpendapatan
tinggi tetapi hutang Negara juga telah turut melonjak tinggi bagaikan telur di
hujung tanduk.
Saya amat pasti dan berani mencabar kerajaan
BN tidak akan berjaya membentangkan bajet imbang atau bajet lebihan dalam 7
tahun akan datang kecuali jikalau Pakatan Rakyat berjaya melangkah masuk
Putrajaya dalam PRU-14 nanti.
Saya khuatir rakyat akan dihampakan oleh
Kerajaan BN dengan omong-omong kosong Wawasan 2020.
Saya amat tertarik dengan Agenda Pemerkasaan
Ekonomi Bumiputra. Tetapi adakah sejumlah wang yang diperuntukkan itu akan sampai kepada sasaran atau terus diselewengkan
seperti biasa dan hanya memperkasakan UMNO-PUTERA dan kroni-kroninya? Banyak
program ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan gagal kerana peruntukkan tidak
sampai ke peringkat akar-umbi.
Dalam teks ucapan Belanjawan 2014, Menteri
Kewangan menyatakan bahawa setiap kaum dan suku tidak kira peratusannya adalah
mustahak dan penting untuk kejayaan Negara. Saya 100% bersetuju dengan
kenyataan tersebut.
Tetapi dalam bajet yang sama kelihatan
kekontangan dari segi peruntukan bagi masyarakat Cina. Pada masa yang sama
hanya nampak RM100 juta diperuntukkan untuk kaum India yang berjumlah 2 juta
orang iaitu 7.2% daripada jumlah rakyat Malaysia.
Pada hemat saya jumlah yang diperuntukkan ini
adalah terlalu kecil untuk pembangunan ekonomi masyarakat India yang sebahagian
besarnya hidup dalam kemiskinan dan serba kesederhanaan. Kerajaan sentiasa
menganak-tirikan masyarakat India yang keringat dan darahnya menjadi baja
kepada pertumbuhan ekonomi Negara sejak sebelum Merdeka lagi.
Masyarakat India juga berbakti kepada Negara
ini dan tidak pernah berganjak seinci pun kesetiaan dan kesayangan kepada tanah
air ini. Tetapi, kerajaan BN hanya memberi peruntukkan RM100 juta diiringi dengan
satu ungkapan sinis ‘nandri’ oleh Perdana Menteri. Saya fikir ini adalah satu
sindiran atau gurauan semata-mata. Kalau nak buat biarlah ikhlas, jangan
mencurah garam dalam laut. Tiada siapa yang akan mendapat faedah.
Kalau RM30bilion boleh diperuntukkan untuk
Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputra, apakah salahnya jika kerajaan juga
melancarkan Agenda Memperkasakan Ekonomi Kaum India dengan peruntukkan sejumlah
lebih kurang RM2bilion yang sejajar dengan kadar populasi kaum India 7.2%?
Saya pasti pihak MIC ataupun pemimpin-pemimpin
India lain dalam komponen BN tidak berani untuk mendesak kerajaan berbuat
sedemikian.
Di mana perginya pejuang kaum India, seorang
wira yang kononnya mewakili HINDRAF, dan pernah membuat 8 tuntutan? Kerajaan BN
bersetuju dan berjanji menunaikan 8 tuntutan tersebut. Apakah sudah jadi dengan
MOU yang ditandatangani oleh HINDRAF dan BN pada 18 April 2013 iaitu sebelum
PRU-13?
Apakah pencapaian HINDRAF setakat ini?
Berapakah tuntutan yang telah ditunaikan oleh kerajaan BN kecuali P.
Waythamoorthy telah diberikan jawatan Senator dan dilantik sebagai Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri?
Sebenarnya, beliau adalah seorang pemimpin
yang telah mengotori perjuangan murni kerana kepentingan politiknya. Kononnya,
masyarakat India akan nampak perubahan dalam 100 hari selepas Pilihanraya Umum
ke-13. Apakah perubahan yang telah dibuat olehnya? Saya tidak nampak apa-apa
perubahan pun setakat ini walaupun tempoh 100 hari sudah pun dilepasi.
- tiada
peningkatan dalam pengambilan kakitangan berbangsa India dalam sektor
perkhidmatan awam
- tiada
perubahan dari segi biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan di dalam dan luar
negeri
- tiada
perubahan dari segi peluang perniagaan dan kontrak kerajaan
- tiada
perubahan dari segi kenaikan pangkat dalam sektor awam
- tiada
perubahan dari segi perolehan pinjaman bank atau bantuan kewangan lain
untuk perniagaan
- tiada
perubahan dalam pengambilan pelajar untuk program matrikulasi
- tiada
perubahan dari segi ekuiti
- tiada
perubahan dalam bilangan banduan berbangsa India dalam tahanan
- tiada
perubahan dari segi masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat
India
- tiada
perubahan dari segi bilangan sekolah Tamil atau peruntukan pembangunan
yang ditawarkan
- tiada
perubahan dari segi memperkasakan seni, budaya, bahasa dan sebagainya
Semuanya sama! Kecuali beliau disedekahkan
jawatan Timbalan Menteri!
Kerajaan Pulau Pinang sanggup memberi 2 ekar
tanah untuk membina sebuah Sekolah Menengah Tamil di kawasan Seberang Perai.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang prihatin mengambil inisiatif untuk memberi
tanah di negeri itu, tetapi Kerajaan Persekutuan pula mengabaikan tawaran tersebut.
Adakah sesiapa di antara Ahli Yang Berhormat BN yang berani menyahut cabaran
saya untuk mendesak Kerajaan Persekutuan membina Sekolah Menengah Tamil yang
pertama di Negara kita, di Pulau Pinang?
Kerajaan berbangga dengan rizab antarabangsa
yang bernilai RM444.9bilion. Tetapi kerajaan juga harus sedar bahawa hutang
luar Negara sebanyak RM531.6bilion boleh menelan keseluruhan nilai rizab
antarabangsa kita. Angka ini tidak perlulah dibanggakan. Secara analogi, ini
seperti seorang budak ada RM10 dikoceknya tetapi juga berhutang kepada kawannya
RM15. Bolehkah budak itu berdiri megah dengan berkata hari ini saya berasa
senang kerana ada RM10 dalam kocek padahal hutangnya lebih?
Pendapatan per kapita tahun 2014 pula,
dijangka akan mencecah RM34,126. Indikator ekonomi ini tidak memberi satu
gambaran yang sebenar mengenai kekukuhan Negara. Adalah kurang bijak untuk
menjadikan indikator ini sebagai satu kayu pengukur bagi menilai prestasi
ekonomi Negara kita.
(Dengan izin), it is a mean value, it does not reflect income distribution. A
small-wealthy class (macam UMNO-PUTERA) can increase per capita income far
above that of the majority of the population.
Kenyataan ini mencerminkan pengagihan
pendapatan negara kita yang sebenar. Yang kaya menjadi semakin kaya, yang
miskin menjadi semakin miskin. Jurang pendapatan di antara yang kaya dan miskin
semakin melebar.
Dalam keadaan itu, jumlah pendapatan per
kapita RM34,126 hanya satu angka bayangan yang tidak memberi apa-apa makna
kepada kedudukan ekonomi sebilangan besar rakyat Negara kita.
Kerajaan mensasarkan 5000 usahawan muda
dilatih setiap tahun di bawah 1MeT. Walaupun saya tidak begitu cenderung
menyokong program itu, tetapi saya ingin menasihatkan kerajaan supaya peluang
diberikan kepada semua golongan muda warga Malaysia yang layak tanpa mengira
agama, bangsa, gender dan fahaman politik. Ini adalah kerana program 1Met
bersama-sama dengan Magic akan menelan belanja lebih daripada RM50juta.
Amat memeranjatkan kita dengan kenyataan yang
dibuat oleh Merrill Lynch dari Bank of America iaitu hutang Malaysia telah
meningkat kepada 53.8% pada penggal pertama 2013 dan seterusnya meningkat
kepada 54.6% daripada KDNK pada penggal kedua 2013. Ia juga berpendapat bahawa
kemungkinan besar Malaysia akan mencecah silingnya iaitu 55% daripada KDNK.
Agensi penilaian Global Fitch Ratings juga telah membuat laporan yang lebih
kurang sama, malah memberi status ‘negatif’ kepada kedudukan kewangan Negara. Kini,
kerajaan cuba memperbaiki kesilapan lampau setelah nasi sudah menjadi bubur.
Saya juga tidak faham apakah rasional untuk
kerajaan memperuntukkan RM50juta untuk golongan siswazah menceburi bidang
keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Ada baik dan ada buruknya
dalam program seperti ini.
Tetapi, kita haruslah berwaspada kerana
golongan ini tidak mempunyai pengalaman dan mungkin juga tidak terlatih dalam
bidang perniagaan.
Dana pinjaman mudah sehingga RM500ribu diberi
dengan kadar faedah 4%. Jika siswazah yang meminjam itu tersalah-urus dana atau
perniagaannya tercicir dari landasan, maka beliau mungkin akan menjadi bankrap
dan sukar untuk melepaskan diri daripada cengkaman kredit yang akan
menghantuinya sepanjang hayat.
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri
Kewangan bahawa kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah iaitu di paras
2% dan ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST. Tiada sesiapa pun
akan mempercayai bahawa kadar inflasi Negara adalah 2%.
Saya tidak tahu apakah kaedah atau
methodology yang digunakan oleh kerajaan untuk menetapkan kadar inflasi Negara
adalah 2%. Satu kenyataan yang cukup ganjil dan tiada asas ekonomi.
Kalau inflasi Negara hanya 2% cubitan itu
tidak akan dirasai oleh rakyat jelata. Pada masa ini, rakyat merasakan kesakitan
yang parah akibat inflasi yang semakin membengkak. Apatah lagi selepas GST
dilaksanakan dan subsidi terus dikurangkan oleh kerajaan.
Pada tahun 2012 dan 2013, sebanyak RM1bilion
setiap tahun diberikan untuk Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan
Penyelengaraan Sekolah. Bagi tahun 2014 pula, RM450juta ditambahkan dalam
tabung ini. Saya mohon kepada Menteri Pendidikan untuk mendedah senarai nama
sekolah-sekolah yang dibaikpulih bangunan, penyelenggaraan, pembelian peralatan
dan pembinaan blok tambahan dengan peruntukan bagi tahun 2012 dan 2013. Saya
juga mohon supaya Menteri Pendidikan mengumumkan senarai sekolah-sekolah yang
akan mendapatkan peruntukan daripada tabung ini bersama-sama projek dan kos
yang terlibat bagi tahun 2014. Ini adalah penting untuk menjamin transparensi
dalam menguruskan dana yang begitu besar oleh Kementerian Pendidikan.
Bagi bidang sukan, Belanjawan 2012
memperuntukkan RM179juta, pada tahun 2013 pula sebanyak RM738juta diperuntukkan
manakala bagi tahun hadapan peruntukkan ini telah diturunkan kepada RM239juta. Apakah
rasional Kerajaan BN menurunkan peruntukkan sukan dengan drastik sedangkan
prestasi sukan negara masih di tahap tidak memuaskan. Belanjawan sukan 2013
melonjak tinggi adakah kerana ia adalah tahun pilihanraya dan bertujuan untuk memancing
undi golongan muda? Adalah amat sedih melihatkan sukan juga telah dipolitikkan
oleh kerajaan BN.
Berhubung dengan kawasan parlimen saya, Batu
Gajah, masalah banjir sering berlaku di beberapa tempat seperti Taman Tien
Shen, Siputeh, Kg Baru Nalla dan juga beberapa kawasan kediaman di Pusing.
Walaupun perkara ini telah dibawa kepada perhatian JPS dan pihak-pihak berkuasa
tempatan yang lain, tiada tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah
ini. Alasan yang diberikan ialah tidak ada peruntukkan kerajaan untuk
membaikpulih atau naik taraf sungai-sungai yang terlibat seperti Sg Resam, Sg
Selinsing dan Sg Menderus. Harap Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan
peruntukan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah banjir dan keluhan rakyat
Batu Gajah.
Hospital Batu Gajah juga menghadapi masalah
kekurangan doktor dan jururawat yang sangat serius. Harap Menteri Kesihatan
akan memberi perhatian dalam isu ini. Saya sendiri telah melihat bahawa tidak
ada seorang pun doktor di dalam wad pesakit pada waktu malam walaupun dalam
keadaan kecemasan. Alasan yang diberi adalah tidak munasabah dan merunsingkan.
Masalah ini perlu diselesaikan dengan segera.
Saya tidak boleh menyokong bajet ini kerana
saya pasti kerajaan akan membentangkan satu lagi rang pembekalan tambahan pada
tahun hadapan seperti tahun-tahun sebelum ini. Oleh itu, Belanjawan 2014 ini
bukanlah sesuatu yang muktamad malah boleh dianggap sebagai belanjawan
olok-olok sahaja.
Sepanjang pentadbiran kerajaan di bawah Yang
Berhormat Pekan, pengurusan kewangan Negara menyaksikan pembentangan dan
belanjawan tambahan secara konsisten berikutan setiap pembentangan asal Negara.
Dalam konteks kewangan berada dalam defisit fiskal pembentangan perbekalan
tambahan akan menonjolkan suatu sikap tadbir urus kewangan Negara yang tidak
berhemat. Berikut adalah statistik belanjawan asal dan perbekalan tambahan dari
tahun 2009-2013 :
TAHUN
|
BELANJAWAN ASAL
(BILION)
|
PERBEKALAN TAMBAHAN 1
|
PERBEKALAN TAMBAHAN 2
|
2009
|
207.8
|
10 bilion
|
11.3 bilion
|
2010
|
191.4
|
12 bilion
|
15.2 bilion
|
2011
|
213.9
|
13.1 bilion
|
10.2 bilion
|
2012
|
232.8
|
15.2 bilion
|
12.7 bilion
|
2013
|
251.6
|
15 bilion
|
|
Sebagai akhir kata, saya juga ingin
merakamkan dalam Dewan yang Mulia ini desakan saya dan rakan-rakan seperjuangan
saya supaya Perdana Menteri tidak menghadiri mesyuarat CHOGM yang bakal
diadakan pada pertengahan bulan November tahun ini di Colombo, Sri Lanka iaitu
sebuah Negara yang tidak menghormati hak asasi manusia dan membunuh ribuan
orang awam, wanita, kanak-kanak termasuk orang Muslim, secara kejam tanpa
keperimanusiaan.
Sekian, terima kasih.