YB.V. Sivakumar |
Perlu Kebebasan Media Dalam Dewan Negeri Perak
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Dato SK Devamani telah memohon maaf kerana tidak membenarkan wartawan untuk mengambil gambar sewaktu persidangan Dewan Negeri Perak berlangsung. Beliau menuduh atau menyalahkan pihak pengawal yang ditugaskan di Dewan tersebut kerana kesilapan itu. Saya ingin mengingatkan Dato SK Devamani bahawa ini bukanlah perkara baru. Sejak rampasan kuasa kerajaan Perak pada tahun 2009, banyak halangan diberikan oleh Barisan Nasional dan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada pihak wartawan.
Dato SK Devamani |
Wantawan seharusnya bebas merakam setiap adengan yang berlaku dalam persidangan. Oleh yang demikian mereka seharusnya ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukannya di galeri pemerhati. Sebelum 2009, semua wartawan diberi tempat duduk di dalam Dewan Negeri untuk merakamkan persidangan. Sekarang, mereka telah ditempatkan di galeri awam yang tidak sesuai untuk mengambil gambar dan perakaman semua percakapan dalam Dewan Negeri. Gambar-gambar yang diambil dari galeri pemerhati tidak berkualiti kerana terdapat cermin yang agak gelap.
Selain daripada itu, apabila sistem pembesar suara dipadamkan ketika berlaku perbahasan sengit atau kontroversi maka wartawan yang berada dalam galeri itu tidak dapat merakam apa-apa kerana bilik itu adalah kalis bunyi. Perkara ini sering kali berlaku dalam Dewan Negeri Perak. Wartawan tidak dapat mendengar perkara yang sebenar yang berlaku dalam Dewan. Ini menyusahkan pihak wartawan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Oleh yang demikan, saya mencadangkan supaya pihak media seharusnya ditempatkan dalam Dewan Negeri dan bukannya di galeri pemerhati. Ini adalah untuk menjamin kebebasan media. BN tidak sepatutnya takut kepada media yang melaporkan perkara yang sebenar kepada rakyat. Tambahan pula, media perdana dan media alternatif juga sepatutnya dibenarkan untuk membuat rakaman video. Saya ingin menegur Dato SK Devamani untuk bertindak adil kepada semua pihak terutamanya pihak media untuk menjamin ketelusan dan menegakkan demokrasi di Negeri Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan