Jumaat, 10 September 2021

Art Harun Perlu Nyatakan Pendirian atau Letak Jawatan

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harap Perak, Mantan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak pada 10 September 2021 di Ipoh. 



Dalam sistem demokrasi Malaysia, institusi Parlimen adalah yang paling mulia. Institusi ini tidak boleh dicemari supaya nama baik negara tidak tergugat di dalam dan di arena antarabangsa. 

                      V. Sivakumar 
Ketua cabang legislatif ialah Yang Dipertua Dewan Negara, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga dikenali sebagai Speaker Dewan Negara  dan Speaker Dewan Rakyat. Kedua-dua Yang Dipertua itu dibantu oleh Timbalan-timbalannya dalam urusan pengendalian Parlimen. 

Jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua adalah sangat dihormati bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli Parlimen malah oleh seluruh rakyat Malaysia. Baru-baru ini, satu kontrovesi telah mula menghantui pemikiran rakyat jelata apabila Perdana Menteri  YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mencalonkan Ahli Parlimen Pontian iaitu YB  Datuk Seri Ahmad Mazlan untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pencalonan ini bukan sahaja menimbulkan kontrovesi dari kalangan ahli-ahli politik tetapi menimbulkan kebimbangan dan kemarahan seluruh rakyat Malaysia. Ahmad Mazlan adalah diantara pemimpin-pemimpin “Kluster mahkamah” yang mempunyai tuduhan yang berat. 

Beliau didakwa mengikut seksyen 32 (8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 5 tahun atau denda RM 3 juta atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

Oleh itu, Ahmad Mazlan bukanlah calon yang layak untuk jawatan Timbalan Speaker bagi Dewan Rakyat yang mulia. Perdana Menteri Ismail Sabri telah membuat satu pilihan yang cukup janggal apabila beliau menamakan Ahmad Mazlan bagi mengisi jawatan tersebut.

Pandangan saya ini adalah seiring dengan YB Tan Sri Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara yang secara ikhlas membuat kenyataan bahawa jawatan Yang Dipertua  atau Timbalan Yang Dipertua  tidak boleh ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang dituduh dan  didakwa di mahkamah.

Beliau menegaskan lagi bahawa sesiapa yang dicalonkan untuk jawatan-jawatan itu mestilah bersih dari segi rekod jenayah atau sebarang pendakwaan di mahkamah. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang berpegang kepada prinsip demi menjaga nama baik institusi Parlimen.

Tetapi, saya rasa amat kecewa kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat YB Datuk Azhar Azizan Harun (Art Harun) masih membisu mengenai pencalonan ini. Sehingga detik ini beliau tidak membuka mulut memberi apa-apa komen tentang pencalonan Ahmad Mazlan. 

Suatu ketika dahulu, Art Harun dipercayai sebagai seorang reformis yang disegani. Tetapi hari ini, beliau telah kehilangan keperibadian dan  prinsip perjuangannya. Beliau tidak  berani membuat apa-apa kenyataan  mengenai pencalonan  jawatan Timbalan Yang Dipertua. 

Saya memohon kepada beliau supaya  membuat kenyataan terbuka mengenai pendiriannya seperti mana yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Negara. Jika tidak, adalah wajar untuk beliau meletakkan jawatannya secara terhormat dengan hati terbuka supaya kemuliaan institusi Parlimen tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

Rabu, 8 September 2021

How could Prime Minister Dato Seri Ismail Sabri nominate a “court cluster” as candidate for Dewan Rakyat Deputy Speaker?

MEDIA RELEASE 



1. Parliament is the symbol of independence and fountain of democracy for our country. 

2. It is shocking to note that Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri has been reportedly nominated an accuse who has been charged in court for corrupt practice & breaching money laundering Act  as candidate for Deputy Speaker. 

3. Ismail Sabri owed the nation an apology when he submitted Dato Seri Ahmad Maslan, MP for Pontian as candidate to be elected as Dewan Rakyat Deputy Speaker after the post was left vacant following the resignation by Dato Seri Azalina Othman, MP for Pengerang. 

4. Ahmad Maslan’s nomination not only did not augur well for our Parliament institution, it is also an open assault to the institution’s reputation. 

5. It is also worthy to note that whether the former Prime Minister, Tan Sri Mahaddian Yassin and his Bersatu party who has vowed not to work with the kleptocrat will instead breach their promise by voting for Ahmad Maslan when the motion comes up for voting on the 14th September, 2021. 

6. Parliament of Malaysia deserves a better candidate who has integrity & can make the institution proud, not some one who has been charged in court for corrupt practice and breaching money laundering Act. This will definitely tainted the reputation of our parliament. 

7. In view of the above, I hereby call on all 220 Members of Parliament NOT to vote for the candidate with tainted record otherwise it will bring enormous shame to our Parliament including all members of the august house too. 

Date : 8th September, 2021. 

V Sivakumar 


Member of Parliament for Batu Gajah

Former Speaker, Perak State Legislative Assembly

Khamis, 19 Ogos 2021

Kerajaan Harus Membenarkan Perniagaan Barang Lusuh Beroperasi

 V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausha Pakatan Harapan Negeri Perak pada 19 Ogos 2021 di Ipoh 

 
Satu daripada industri yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ialah perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula. Ramai dari kalangan peniaga-peniaga sektor ini mengalami kerugian besar kerana pendapatan mereka terjejas kerana penutupan operasi. 
                          V. Sivakumar 


Bukan sahaja mereka telah hilang pendapatan, malah terpaksa menanggung kos tapak premis, gaji pekerja dan lain-lain lagi. Tambahan pula, penutupan sektor ini juga turut menjejaskan pelbagai sektor ekonomi yang lain yang amat bergantung kepada barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula.Perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula bukanlah jenis perniagaan yang boleh menjemput puluhan pelanggan dalam satu masa yang sama. Adalah mudah bagi  perniagaan ini untuk mengawal dan mengikut SOP ketat yang diwajibkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Pekerja-pekerja yang terlibat dalam sesuatu premis perniagaan juga tidaklah begitu ramai. Tetapi, sumbagan sektor ini sebagai satu sektor ekonomi yang penting adalah signifikan dan tidak boleh diabaikan. 

Kerajaan harus meneliti dan mempertimbangkan  untuk memberi kebenaran kepada perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula untuk beroperasi dengan serta merta. Ini akan membantu ribuan peniaga-peniaga untuk mencari nafkah tanpa bergantung kepada mana-mana pihak. 

Tambahan pula, ini juga membolehkan pelanggan-pelanggan mereka memperolehi barangan keperluan mereka dengan mudah dan murah daripada peniaga-peniaga ini. Jika tidak, pelanggan-pelanggan ini terpaksa membeli barang baru dengan harga yang lebih mahal. 

Kerajaan seharusnya prihatin terhadap peniaga-peniaga ini. Jika sekiranya mereka tidak dibenarkan beroperasi, maka ramai dari kalangan pekerja-pekerja mereka akan kehilangan kerja. Bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah tidak memadai untuk peniaga-peniaga ini untuk membayar gaji pekerja-pekerja mereka. Akhirnya   ramai juga yang akan menggulung tikar. 

Kerajaan harus  membantu peniaga-peniaga ini dari segi bayaran ansuran dan faedah pinjaman perniagaan di bank, levi pekerja asing dan cukai pendapatan perniagaan mereka? 

Saya akan membangkitkan isu ini di sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 6 September 2021. 

YB V. Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah 
19 Ogos 2021

Ahad, 15 Ogos 2021

PN Gagal, PH Bersedia

Kenyataan Media V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah pada 15 Ogos 2021 di Ipoh 

Berita perletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tersebar luas dan menjadi buah mulut seluruh rakyat Malaysia. Dipercayai beliau akan menyerahkan surat perletakkan jawatan di Istana Negara esok. 

Apakah ini akan menamatkan kemelut politik dan krisis perlembagaan yang dihadapi oleh negara kita? Tentunya tidak. Selepas perletakkan jawatan Perdana Menteri oleh Muhyiddin Yassin, satu lagi episod baru akan bermula. Siapakah yang bakal mengetuai negara kita? Siapakah yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri yang ke 9? 
                      V. Sivakumar 

Masing-masing menyatakan pendapat atau teori yang berbeza-beza. Pelbagai analisa dikemukakan oleh pakar-pakar Sains Politik. Tetapi, pada hakikatnya, mengikut Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti dari kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Tuanku Yang Dipertuan Agong. 

Oleh yang demikian, siapakah yang akan berjaya memperolehi sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat? Persoalan ini adalah amat sukar untuk dijawab pada ketika ini. Pihak Perikatan Nasional mempunyai strateginya untuk menamakan calon Perdana Menteri. Begitu juga, pimpinan Pakatan Harapan mempunyai perancangannya tersendiri untuk menamakan calon Perdana Menteri. Siapakah yang akan berjaya dipilih menjadi Perdana Menteri akan diketahui umum dalam tempoh beberapa hari lagi. 

Pada pandangan saya, rakyat tidak akan menerima mana-mana pemimpin dari kerajaan Perikatan Nasional untuk mengetuai negara kita. Perdana Menteri dan Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional telah gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19. Setiap hari jumlah kes baru telah mencecah melebihi 20,000.00. Kematian akibat Covid-19 juga telah meningkat lebih daripada 200 kes setiap hari. 

Dalam pada itu, ekonomi negara juga telah lumpuh. Banyak kilang-kilang telah menutup operasinya. Inflasi semakin meningkat. Kos sara hidup telah melampau. Pengangguran juga telah melebihi 750,000 orang. Pelaburan asing telah terbantut. Malah, ramai dari kalangan pelabur-pelabur asing telah menarik pelaburan mereka dari Malaysia. Selain daripada itu, rakyat juga sengsara akibat kehilangan pendapatan bagi jangka masa yang panjang. Semua ini adalah kerana kegagalan kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara dengan dasar-dasar yang betul dan efektif. 

Jadi, adalah tidak wajar untuk memilih mana-mana pemimpin dari kalangan Perikatan Nasional untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke9. Perikatan Nasional harus berundur dan memberi jalan kepada pimpinan baru untuk mengambil alih kuasa pentadbiran negara ini. 

Kegagalan ini bukannya kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja. Malah, tanggungjawab ini harus dipikul secara kolektif oleh keseluruhan kabinet Perikatan Nasional. Oleh yang demikian,  penggantian Tan Sri Muhyiddin Yassin dengam muka baru dari kalangan Perikatan Nasional adalah tidak rasional. Ini akan memudaratkan lagi keadaan sekarang. Kemelut politik negara akan terus memburuk dan meruntuhkan kestabilan negara. 

Saya juga berpendapat bahawa peluang harus diberi kepada calon Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mempunyai potensi dan kreditbiliti yang mantap untuk memimpin negara kita sebagai Perdana Menteri yang ke9. Kita tidak boleh menafikan kewibawaannya ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan satu ketika dulu. 

Saya cukup yakin bahawa beliau boleh mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan untuk memerangi penularan Covid-19. Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai karisma untuk  memimpin negara dengan polisi-polisi ekonomi yang lebih mantap. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk wakil-wakil rakyat untuk mengenepikan segala agenda peribadi dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri yang Ke-9. Ini harus dilakukan demi menyelamatkan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhanya. 

Semoga pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa semula negara kita ke landasan yang betul dengan halatuju yang lebih progresif.

Isnin, 2 Ogos 2021

Perikatan Nasional Melakukan Jenayah Menghalang Wakil Rakyat

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 2 Ogos 2021 di Kuala Lumpur. 


Hari ini, kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan satu kesalahan jenayah apabila memperalatkan Polis Diraja Malaysia untuk menghalang Ahli-ahli Parlimen melaksanakan tugas  atau tanggung jawab yang diamanahkan. Kesalahan ini dilakukan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 

Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat mempunyai hak untuk pergi ke Parlimen bila-bila masa bagi melaksanakan apa-apa tugas yang difikirkan perlu. Kanun Keseksaan memberi jaminan bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimen daripada melangsungkan kewajipan. 
                       V. Sivakumar 

Pada pagi ini, sebilangan besar Ahli-ahli Parlimen termasuk diri saya sendiri telah berniat untuk pergi ke bangunan Parlimen atas urusan tertentu. Tetapi,  jalan-jalan utama yang menghala ke bangunan Parlimen semuanya ditutup oleh Polis Diraja Malaysia di atas arahan kerajaan. Ratusan pegawai polis ditempatkan di merata tempat semata-mata untuk menghalang kami daripada memasuki bangunan Parlimen. 

Oleh yang demikian,  kami Ahli-ahli Parlimen tidak dapat memasuki bangunan Parlimen untuk menjalankan kerja-kerja rasmi. Justeru, kami terpaksa berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Tindakan kerajaan bukan sahaja memalukan kami sebagai Ahli Parlimen tetapi merupakan satu penghinaan kepada Dewan Yang Mulia. 

Setelah berhimpun seketika, kami bercadang untuk berjalan kaki ke bangunan Parlimen Malaysia. Setelah kami mengorak beberapa  langkah, pihak Polis Diraja Malaysia telah cuba menghalang pergerakan kami. Kami bertegas untuk terus maju kehadapan menuju ke destinasi. Tetapi,  pihak Polis terus menghalang kami dengan sikap lebih mengertak. 

Akhirnya, pihak polis telah cuba menggunakan  tenaga FRU sebagai usaha menakutkan Ahli-ahli Parlimen daripada terus menuju ke hadapan. Kami tidak berasa gentar dengan tindakan mereka itu. Tetapi, kami terpaksa berundur kerana agenda yang lebih penting iaitu menyelamatkan rakyat dan negara dan bukannya bertempuh dengan pihak polis seperti yang diharapkan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang berniat jahat. 

Apa yang sebenarnya berlaku hari ini? Terbukti bahawa satu kesalahan jenayah telah dilakukan oleh kerajaan. Pihak polis telah menghalang wakil rakyat menjalankan tugas. Terdapat juga unsur-unsur mengertak atau menakutkan wakil rakyat dengan menggunakan FRU. Kedua-dua tindakan ini adalah bersifat menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 

Rakyat dapat menilai sendiri betapa zalimnya Kerajaan Perikatan Nasional yang dahulunya menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’. Hari ini, kerajaan yang sama telah cuba untuk mempertahankan kuasa dengan mengadai prinsip- prinsip demokrasi berparlimen. Satu lagi titik hitam terpahat dalam sejarah negara kita apabila kuasa eksekutif mahu melangkaui kuasa legislatif yang menjadi suara rakyat.

Isnin, 26 Julai 2021

Dewan Rakyat Bukan Dewan Sandiwara

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 26 Julai 2021. 

Saya sebagai Ahli Dewan Rakyat berasa cukup kecewa dengan sidang Parlimen hari ini. Persidangan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia adalah bukan lain daripada sesi taklimat semata-mata. 

Parlimen yang bersidang tidak  membuat apa-apa keputusan. Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat. Disamping itu, beberapa orang Ahli Parlimen diberi ruangan untuk memberi pendapat mereka. Tetapi, perkara yang dibangkitkan itu tidak diusulkan untuk pengundian. 
                         V. Sivakumar 
    
Ini bermakna, persidangan yang berlangsung pada hari ini hanyalah sekadar perbincangan yang tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak. 

Proses pengundian adalah perlu untuk memutuskan penyelesaian bagi sesuatu masalah yang dibangkitkan di Dewan Rakyat. Suara majoriti adalah penting dalam memuktamadkan sesuatu keputusan. Jika tidak, persidangan yang diadakan itu merugikan masa, tenaga dan dana secara sia-sia sahaja. Ini bukanlah fungsi Parlimen. 

Saya pasti sidang Parlimen bagi  4 hari seterusnya juga akan dikendalikan dengan cara yang sama. Adakah persidangan seperti ini yang diharapkan oleh rakyat? 

Kerajaan Perikatan Nasional sekali lagi telah menipu rakyat dengan sandiwara politik dengan memperalatkan Dewan Yang Mulia. Persidangan tanpa perbahasan dan usul pengundian 
adalah tidak bermakna. Jelas sekali, kerajaan dengan gigih mahu mengelak daripada proses pengundian diadakan di Dewan Rakyat. 

Setakat ini,  semua pelan-pelan pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional telah gagal. Darurat yang diisythiharkan pada bukan Januari tahun ini juga telah gagal. Realitinya, dalam tempoh masa pelan-pelan ini dilaksanakan penularan Covid-19 terus meningkat. 

Daripada ratusan kes, kini jumlah kes jangkitan baru sudah mencecah 5 angka. Semalam kes baru adalah sebanyak 17,045 iaitu jumlah yang paling tinggi direkodkan setakat ini. 
Bukankah ini bermakna segala pelan-pelan kerajaan telah gagal? 

Apakah perlunya untuk Ahli-ahli Parlimen untuk terus mendengar Pelan Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh Perdana Menteri? Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa pelan yang dicadangkan itu akan gagal. Kerajaan telah hilang kredibiliti. Rakyat sudah tidak yakin dengan rancangan-rancangan kerajaan yang merugikan rakyat dan negara. 

Ramai yang percaya bahawa penularan kes Covid-19 akan terus meningkat sehingga mencapai 25,000 kes sehari. Kerajaan Perikatan Nasional gagal mengawal keadaan setelah membelajakan lebih daripada 350 bilion setakat ini. Hakikatnya, kes baru Covid-19 dan jumlah kematian telah meningkat secara mendadak. 

Hari ini, Perdana Menteri dan kabinetnya mempersendakan Dewan Yang Mulia dan dalam usaha untuk mengkaburi mata rakyat dengan mengadakan persidangan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi Parlimen. Kali ini, kerajaan Perikatan Nasional cuba menggunakan ‘pintu belakang’ Parlimen untuk terus berkuasa. Kedaulatan Parlimen juga telah dicemari dengan motif politik. 

Kerajaan Perikatan Nasional adalah punca kesengsaraan rakyat. Kerajaan ini gagal menangani penularan Covid-19 secara efektif. Rakyat harus menolak kerajaan ini.

Ahad, 11 Julai 2021

Segerakan Klinik Swasta Sebagai Pusat Vaksinasi

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 11 Julai 2021 di Kampung Baru Bali, Tronoh.


Adalah amat membimbangkan melihat keadaan penularan Covid-19 beberapa hari kebelakangan ini. Semalam, jumlah kes baru yang dikesan adalah sebanyak  9353 dengan jumlah kematian 87 orang. Hari ini pula, jumlah kes baru adalah sebanyak 9105 dengan jumlah kematian 91 orang. 

Segala usaha ‘lockdown’ dan darurat nampaknya tidak berkesan dalam memerangi wabak ini. Malah, jumlah kes baru dan jumlah kematian terus meningkat. Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang tewas dalam pandemik ini. 

Ramai juga yang percaya bahawa jumlah kes harian yang baru akan mencecah 10,000 orang dalam masa terdekat. Jika ini berlaku, jumlah kes kematian juga akan turut meningkat. Adakah ini bermakna kerajaan telah hilang kawalan sepenuhnya dalam hal ini? 
                          V. Sivakumar 

Sehingga kini, program vaksinasi juga tidak membuktikan apa-apa.  Masih lagi ramai dari kalangan warga emas belum disuntik vaksin Covid-19. Ramai yang menunggu tetapi masih tidak dipanggil lagi. Masalah dengan MySejahtera atau masalah dengan kerajaan yang tidak efisien? Bilakah warga yang lebih muda akan dipanggil untuk disuntik vaksin? 

Sedih! lebih lama kita menunggu, lebih ramai akan meninggalkan kita. Kerajaan harus mempercepatkan lagi program imunisasi dengan mencari kaedah- kaedah lain. Saya mencadangkan supaya setiap klinik swasta dijadikan sebagai pusat vaksinasi dengan secepat mungkin supaya membolehkan lebih ramai orang tempatan diberi vaksinasi.

Ahad, 4 Julai 2021

Bendera Putih Bukan Politik, Tetapi Kemanusiaan

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Perak pada 3 Julai 2021

Dalam menempuh krisis Corona Virus, rakyat harus mementingkan solidariti.  Rakyat harus bersatu tanpa nengira agama, bangsa dan ideologi bagi memerangi ancaman Covid-19. Ramai dari kalangan rakyat Malaysia amat terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan ini telah melumpuhkan ekonomi rumahtangga. Dalam keadaan kekangan kewangan ini, ramai  yang sudah mula berputus asa. Mereka tidak tahu bagaimana hendak menanggung perbelanjaan keluarga dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat.

Golongan ini sangat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya kerajaan. Mereka memerlukan bantuan dari segi makanan dan barang-barang keperluan asas yang lain. Bantuan itu diperlukan dengan segera. 

Jika kerajaan lambat membantu, maka adalah menjadi tanggung jawab sosial orangramai untuk menghulurkan bantuan segera. Warganegara yang lebih berkemampuan mahu membantu yang kurang bernasib baik. Sifat keprihatinan ini perlu digalakkan untuk mengutuhkan lagi semangat perpaduan sesama kita. 

Selain daripada itu, banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sanggup mengorak ke depan untuk membantu mereka yang terkesan. Pertubuhan-pertubuhan ini tidak mempunyai niat politik. 

Persoalannya sekarang,  bagaimanakah kita akan mengenal pasti orang-orang yang benar-benar dalam keadaan kesusahan? Satu daripada kaedahnya ialah dengan mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sebagai satu tanda isyarat. 

Idea memasang bendera putih adalah sesuatu yang murni. Ia bertujuan semata-mata untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Kita tidak boleh membiarkan walaupun seorang penduduk Malaysia 
mati kelaparan. Usaha ‘bendera putih’ ini harus dipuji. 
                       V. Sivakumar 

Saya tidak melihat apa-apa implikasi negatif dengan strategi kibarkan bendera putih. Ini adalah satu panduan untuk kita mengenal pasti orang- orang  yang berada dalam kesusahan. Dengan serta merta pelbagai bantuan dapat disalurkan kepada mereka. Bukankah sifat keperimanusiaan seperti ini perlu disuburkan lagi? 

Saya berpendapat bahawa semangat membantu antara satu sama lain dalam situasi kecemasan adalah satu bentuk patriotisme yang harus digalakkan. Saya rasa pelik apabila ada manusia-manusia yang menentang pengibaran bendera putih ini dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. 

Satu daripada karektor janggal ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mengiktiraf pengunaan bendera putih sebagai cara untuk mendapat bantuan makanan. Beliau mendakwa bendera putih ini adalah propaganda politik.
Ini menujukkan kecetakkan pemikirannya. 

Jelas sekali, orang-orang seperti  ini takut kepada bayang-bayang sendiri. Mereka mentakrifkan bendera putih itu secara simboliknya menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal. 

Hakikatnya, “ada bendera putih atau tidak ada bendera putih, kerajaan Perikatan Nasional sememangnya telah pun gagal.” Kita tidak perlu ‘bendera putih’ untuk menunjukkan kegagalan kerajaan sekarang. 

Bendera putih hanyalah untuk menyelesaikan himpitan hidup mereka yang berada dalam kesusahan. Nyawa setiap rakyat harus dihargai. Marilah kita bersama-sama membantu antara satu sama lain dalam menghadapi segala kesulitan dan malapetaka yang sedang dilanda. Teruskan Perjuangan!

Sabtu, 3 Julai 2021

Kadar Kemiskinan Meningkat, Bilangan M40 Tersungkur

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Perak pada 2 Julai 2021 di Batu Gajah 

Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga  kepada ekonomi rumah tangga. 
                        V. Sivakumar 

Ramai yang telah kehilangan pekerjaan. Ramai juga yang telah mengalami pengurangan pendapatan. Semua ini memberi kesan kepada pendapatan isi rumah sebahagian besar rakyat negara kita. 

Adalah amat menyedihkan untuk mengetahui perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO) yang menyatakan
100,000 orang telah hilang pekerjaan pada tahun 2020. Saya tidak mempunyai maklumat tentang jumlah pekerja yang telah hilang periuk nasi mereka pada tahun ini. Walau bagaimanapun, saya yakin jumlahnya adalah besar disebabkan penutupan banyak kilang, hotel dan sektor-sektor lain pada tahun ini. 

Pada tahun 2019, kadar kemiskinan negara adalah 5.6%. Manakala, pada tahun 2020 kadarnya telah meningkat kepada 8.4%. Saya cukup bimbang kadar kemiskinan akan melonjak lebih tinggi pada tahun ini. 

Berhubung dengan maklumat yang diterbitkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, lebih ramai golongan berpendapatan sederhana telah berganjak menjadi golongan berpendapatan rendah. Saya amat khuatir setelah mengetahui lebih daripada 600,000 isi rumah M40 telah tersungkur ke dalam kategori B40. 

Ini bermakna golongan M40 telah berkurangan dari segi jumlahnya.  Justeru, kita melihat golongan B40 telah bertambah akibat pandemik yang berpanjangan ini. 
Implikasinya, B40 perlu ditakrif semula sebagai B60 dan M40 pula ditakrif semula sebagai M20.

Ini akan melebarkan tapak piramid kategori penduduk mengikut pendapatan di negara kita. Selain daripada itu, dalam kategori golongan pendapatan rendah juga akan berlaku perubahan iaitu ganjakan daripada miskin kepada miskin tegar. Dalam kata lain, jumlah penduduk miskin tegar akan terus meningkat di bawah PKP. Keadaan akan menjadi lebih parah jika kerajaan tidak  membantu golongan ini dengan serta merta. 

Sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan pada tahun lepas, segala langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mengawal penularan Covid-19 telah merencatkan lagi ekonomi negara. Semakin  hari, semakin ramai rakyat menderita. Darurat dan ‘lockdown’ yang  dilaksanakan setakat ini tidak menunjukkan apa-apa kesan baik pulih. 

Sebaliknya  keadaan bertambah tenat apabila kita melihat jumlah kematian harian adalah dalam lingkungan 70 hingga 100 orang setiap hari. Terbukti, Kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menyelesaikan masalah ini.

Jumaat, 2 Julai 2021

Purata 3 Orang Bunuh Diri Setiap Hari

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak. Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 1 Julai 2021 di Batu Gajah 

Adalah sungguh mengejutkan untuk mengetahui kes bunuh diri di negara kita semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Hampir setiap hari kita mendengar ada saja orang yang membunuh diri.

Gambar-gambar dan video-video membunuh diri disebarkan di laman media sosial. Fenomena ini menjadi topik hangat perbualan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.  Masalah ini melibatkan orang-orang yang mengalami tekanan hidup yang melampau. 

Punca kes- kes bunuh diri ini adalah berbeza-beza. Walau bagaimanapun, peningkatan kes bunuh diri sejak awal tahun 2020 sehingga sekarang adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19. Rakyat amat terkesan akibat daripada penularan corona virus yang telah menggangu pekerjaan atau perniagaan mereka.

Pendapatan isu rumah telah berkurangan disebabkan oleh pandemik ini. Di tambah pula dengan tekanan- tekanan lain yang mengakibatkan stress yang melampau. Ini mendorong seseorang yang lemah dari segi emosi memilih untuk membunuh diri sebagai jalan terakhir.
                   V. Sivakumar 

Setakat ini, kerajaan Perikatan Nasional telah gagal mengawal keadaan. Walaupun data-data menunjukkan peningkatan yang agak drastik, tetapi tidak ada usaha yang konkrit. Jarang sekali kita mendengar  Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional mengulas tentang isu ini. 

Setiap hari lebih kurang 80 hingga 100 orang meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19. Ditambah pula dengan purata 3 kematian setiap hari disebabkan oleh membunuh diri. Mengikut satu lapuran, sebanyak 468 kes bunuh diri telah direkodkan bagi tempoh 5 bulan pertama iaitu daripada bulan Januari sehingga Mei 2021. Di negeri Selangor sahaja sebanyak 117 kes direkodkan bagi tempoh masa yang sama.

Statistik -statistik yang mengerunkan ini  perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Langkah-langkah yang lebih efektif perlu dilaksanakan dengan segera untuk membendung masalah ini.
Komuniti juga perlu sentiasa berwaspada terhadap orang-orang disekeliling kita yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan stress.

Bantuan segera harus diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Jika tidak kes bunuh diri akan terus meningkat dan menjadi satu lagi masalah sosial dikalangan rakyat Malaysia.