Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Perak pada 3 Julai 2021
Dalam menempuh krisis Corona Virus, rakyat harus mementingkan solidariti. Rakyat harus bersatu tanpa nengira agama, bangsa dan ideologi bagi memerangi ancaman Covid-19. Ramai dari kalangan rakyat Malaysia amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan ini telah melumpuhkan ekonomi rumahtangga. Dalam keadaan kekangan kewangan ini, ramai yang sudah mula berputus asa. Mereka tidak tahu bagaimana hendak menanggung perbelanjaan keluarga dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat.
Golongan ini sangat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya kerajaan. Mereka memerlukan bantuan dari segi makanan dan barang-barang keperluan asas yang lain. Bantuan itu diperlukan dengan segera.
Jika kerajaan lambat membantu, maka adalah menjadi tanggung jawab sosial orangramai untuk menghulurkan bantuan segera. Warganegara yang lebih berkemampuan mahu membantu yang kurang bernasib baik. Sifat keprihatinan ini perlu digalakkan untuk mengutuhkan lagi semangat perpaduan sesama kita.
Selain daripada itu, banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sanggup mengorak ke depan untuk membantu mereka yang terkesan. Pertubuhan-pertubuhan ini tidak mempunyai niat politik.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah kita akan mengenal pasti orang-orang yang benar-benar dalam keadaan kesusahan? Satu daripada kaedahnya ialah dengan mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sebagai satu tanda isyarat.
Idea memasang bendera putih adalah sesuatu yang murni. Ia bertujuan semata-mata untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Kita tidak boleh membiarkan walaupun seorang penduduk Malaysia
mati kelaparan. Usaha ‘bendera putih’ ini harus dipuji.
Saya tidak melihat apa-apa implikasi negatif dengan strategi kibarkan bendera putih. Ini adalah satu panduan untuk kita mengenal pasti orang- orang yang berada dalam kesusahan. Dengan serta merta pelbagai bantuan dapat disalurkan kepada mereka. Bukankah sifat keperimanusiaan seperti ini perlu disuburkan lagi?
Saya berpendapat bahawa semangat membantu antara satu sama lain dalam situasi kecemasan adalah satu bentuk patriotisme yang harus digalakkan. Saya rasa pelik apabila ada manusia-manusia yang menentang pengibaran bendera putih ini dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.
Satu daripada karektor janggal ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mengiktiraf pengunaan bendera putih sebagai cara untuk mendapat bantuan makanan. Beliau mendakwa bendera putih ini adalah propaganda politik.
Ini menujukkan kecetakkan pemikirannya.
Jelas sekali, orang-orang seperti ini takut kepada bayang-bayang sendiri. Mereka mentakrifkan bendera putih itu secara simboliknya menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal.
Hakikatnya, “ada bendera putih atau tidak ada bendera putih, kerajaan Perikatan Nasional sememangnya telah pun gagal.” Kita tidak perlu ‘bendera putih’ untuk menunjukkan kegagalan kerajaan sekarang.
Bendera putih hanyalah untuk menyelesaikan himpitan hidup mereka yang berada dalam kesusahan. Nyawa setiap rakyat harus dihargai. Marilah kita bersama-sama membantu antara satu sama lain dalam menghadapi segala kesulitan dan malapetaka yang sedang dilanda. Teruskan Perjuangan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan