Khamis, 19 Ogos 2021

Kerajaan Harus Membenarkan Perniagaan Barang Lusuh Beroperasi

 V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausha Pakatan Harapan Negeri Perak pada 19 Ogos 2021 di Ipoh 

 
Satu daripada industri yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ialah perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula. Ramai dari kalangan peniaga-peniaga sektor ini mengalami kerugian besar kerana pendapatan mereka terjejas kerana penutupan operasi. 
                          V. Sivakumar 


Bukan sahaja mereka telah hilang pendapatan, malah terpaksa menanggung kos tapak premis, gaji pekerja dan lain-lain lagi. Tambahan pula, penutupan sektor ini juga turut menjejaskan pelbagai sektor ekonomi yang lain yang amat bergantung kepada barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula.Perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula bukanlah jenis perniagaan yang boleh menjemput puluhan pelanggan dalam satu masa yang sama. Adalah mudah bagi  perniagaan ini untuk mengawal dan mengikut SOP ketat yang diwajibkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Pekerja-pekerja yang terlibat dalam sesuatu premis perniagaan juga tidaklah begitu ramai. Tetapi, sumbagan sektor ini sebagai satu sektor ekonomi yang penting adalah signifikan dan tidak boleh diabaikan. 

Kerajaan harus meneliti dan mempertimbangkan  untuk memberi kebenaran kepada perniagaan barang-barang lusuh dan barang-barang kitaran semula untuk beroperasi dengan serta merta. Ini akan membantu ribuan peniaga-peniaga untuk mencari nafkah tanpa bergantung kepada mana-mana pihak. 

Tambahan pula, ini juga membolehkan pelanggan-pelanggan mereka memperolehi barangan keperluan mereka dengan mudah dan murah daripada peniaga-peniaga ini. Jika tidak, pelanggan-pelanggan ini terpaksa membeli barang baru dengan harga yang lebih mahal. 

Kerajaan seharusnya prihatin terhadap peniaga-peniaga ini. Jika sekiranya mereka tidak dibenarkan beroperasi, maka ramai dari kalangan pekerja-pekerja mereka akan kehilangan kerja. Bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah tidak memadai untuk peniaga-peniaga ini untuk membayar gaji pekerja-pekerja mereka. Akhirnya   ramai juga yang akan menggulung tikar. 

Kerajaan harus  membantu peniaga-peniaga ini dari segi bayaran ansuran dan faedah pinjaman perniagaan di bank, levi pekerja asing dan cukai pendapatan perniagaan mereka? 

Saya akan membangkitkan isu ini di sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 6 September 2021. 

YB V. Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah 
19 Ogos 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan