Kenyataan Media V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah pada 15 Ogos 2021 di Ipoh
Berita perletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tersebar luas dan menjadi buah mulut seluruh rakyat Malaysia. Dipercayai beliau akan menyerahkan surat perletakkan jawatan di Istana Negara esok.
Apakah ini akan menamatkan kemelut politik dan krisis perlembagaan yang dihadapi oleh negara kita? Tentunya tidak. Selepas perletakkan jawatan Perdana Menteri oleh Muhyiddin Yassin, satu lagi episod baru akan bermula. Siapakah yang bakal mengetuai negara kita? Siapakah yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri yang ke 9?
Masing-masing menyatakan pendapat atau teori yang berbeza-beza. Pelbagai analisa dikemukakan oleh pakar-pakar Sains Politik. Tetapi, pada hakikatnya, mengikut Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti dari kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Tuanku Yang Dipertuan Agong.
Oleh yang demikian, siapakah yang akan berjaya memperolehi sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat? Persoalan ini adalah amat sukar untuk dijawab pada ketika ini. Pihak Perikatan Nasional mempunyai strateginya untuk menamakan calon Perdana Menteri. Begitu juga, pimpinan Pakatan Harapan mempunyai perancangannya tersendiri untuk menamakan calon Perdana Menteri. Siapakah yang akan berjaya dipilih menjadi Perdana Menteri akan diketahui umum dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pada pandangan saya, rakyat tidak akan menerima mana-mana pemimpin dari kerajaan Perikatan Nasional untuk mengetuai negara kita. Perdana Menteri dan Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional telah gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19. Setiap hari jumlah kes baru telah mencecah melebihi 20,000.00. Kematian akibat Covid-19 juga telah meningkat lebih daripada 200 kes setiap hari.
Dalam pada itu, ekonomi negara juga telah lumpuh. Banyak kilang-kilang telah menutup operasinya. Inflasi semakin meningkat. Kos sara hidup telah melampau. Pengangguran juga telah melebihi 750,000 orang. Pelaburan asing telah terbantut. Malah, ramai dari kalangan pelabur-pelabur asing telah menarik pelaburan mereka dari Malaysia. Selain daripada itu, rakyat juga sengsara akibat kehilangan pendapatan bagi jangka masa yang panjang. Semua ini adalah kerana kegagalan kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara dengan dasar-dasar yang betul dan efektif.
Jadi, adalah tidak wajar untuk memilih mana-mana pemimpin dari kalangan Perikatan Nasional untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke9. Perikatan Nasional harus berundur dan memberi jalan kepada pimpinan baru untuk mengambil alih kuasa pentadbiran negara ini.
Kegagalan ini bukannya kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja. Malah, tanggungjawab ini harus dipikul secara kolektif oleh keseluruhan kabinet Perikatan Nasional. Oleh yang demikian, penggantian Tan Sri Muhyiddin Yassin dengam muka baru dari kalangan Perikatan Nasional adalah tidak rasional. Ini akan memudaratkan lagi keadaan sekarang. Kemelut politik negara akan terus memburuk dan meruntuhkan kestabilan negara.
Saya juga berpendapat bahawa peluang harus diberi kepada calon Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mempunyai potensi dan kreditbiliti yang mantap untuk memimpin negara kita sebagai Perdana Menteri yang ke9. Kita tidak boleh menafikan kewibawaannya ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan satu ketika dulu.
Saya cukup yakin bahawa beliau boleh mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan untuk memerangi penularan Covid-19. Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai karisma untuk memimpin negara dengan polisi-polisi ekonomi yang lebih mantap. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk wakil-wakil rakyat untuk mengenepikan segala agenda peribadi dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri yang Ke-9. Ini harus dilakukan demi menyelamatkan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhanya.
Semoga pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa semula negara kita ke landasan yang betul dengan halatuju yang lebih progresif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan