Jumaat, 10 September 2021

Art Harun Perlu Nyatakan Pendirian atau Letak Jawatan

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harap Perak, Mantan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak pada 10 September 2021 di Ipoh. 



Dalam sistem demokrasi Malaysia, institusi Parlimen adalah yang paling mulia. Institusi ini tidak boleh dicemari supaya nama baik negara tidak tergugat di dalam dan di arena antarabangsa. 

                      V. Sivakumar 
Ketua cabang legislatif ialah Yang Dipertua Dewan Negara, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga dikenali sebagai Speaker Dewan Negara  dan Speaker Dewan Rakyat. Kedua-dua Yang Dipertua itu dibantu oleh Timbalan-timbalannya dalam urusan pengendalian Parlimen. 

Jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua adalah sangat dihormati bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli Parlimen malah oleh seluruh rakyat Malaysia. Baru-baru ini, satu kontrovesi telah mula menghantui pemikiran rakyat jelata apabila Perdana Menteri  YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mencalonkan Ahli Parlimen Pontian iaitu YB  Datuk Seri Ahmad Mazlan untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pencalonan ini bukan sahaja menimbulkan kontrovesi dari kalangan ahli-ahli politik tetapi menimbulkan kebimbangan dan kemarahan seluruh rakyat Malaysia. Ahmad Mazlan adalah diantara pemimpin-pemimpin “Kluster mahkamah” yang mempunyai tuduhan yang berat. 

Beliau didakwa mengikut seksyen 32 (8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 5 tahun atau denda RM 3 juta atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

Oleh itu, Ahmad Mazlan bukanlah calon yang layak untuk jawatan Timbalan Speaker bagi Dewan Rakyat yang mulia. Perdana Menteri Ismail Sabri telah membuat satu pilihan yang cukup janggal apabila beliau menamakan Ahmad Mazlan bagi mengisi jawatan tersebut.

Pandangan saya ini adalah seiring dengan YB Tan Sri Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara yang secara ikhlas membuat kenyataan bahawa jawatan Yang Dipertua  atau Timbalan Yang Dipertua  tidak boleh ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang dituduh dan  didakwa di mahkamah.

Beliau menegaskan lagi bahawa sesiapa yang dicalonkan untuk jawatan-jawatan itu mestilah bersih dari segi rekod jenayah atau sebarang pendakwaan di mahkamah. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang berpegang kepada prinsip demi menjaga nama baik institusi Parlimen.

Tetapi, saya rasa amat kecewa kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat YB Datuk Azhar Azizan Harun (Art Harun) masih membisu mengenai pencalonan ini. Sehingga detik ini beliau tidak membuka mulut memberi apa-apa komen tentang pencalonan Ahmad Mazlan. 

Suatu ketika dahulu, Art Harun dipercayai sebagai seorang reformis yang disegani. Tetapi hari ini, beliau telah kehilangan keperibadian dan  prinsip perjuangannya. Beliau tidak  berani membuat apa-apa kenyataan  mengenai pencalonan  jawatan Timbalan Yang Dipertua. 

Saya memohon kepada beliau supaya  membuat kenyataan terbuka mengenai pendiriannya seperti mana yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Negara. Jika tidak, adalah wajar untuk beliau meletakkan jawatannya secara terhormat dengan hati terbuka supaya kemuliaan institusi Parlimen tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan