Ahad, 11 Julai 2021

Segerakan Klinik Swasta Sebagai Pusat Vaksinasi

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 11 Julai 2021 di Kampung Baru Bali, Tronoh.


Adalah amat membimbangkan melihat keadaan penularan Covid-19 beberapa hari kebelakangan ini. Semalam, jumlah kes baru yang dikesan adalah sebanyak  9353 dengan jumlah kematian 87 orang. Hari ini pula, jumlah kes baru adalah sebanyak 9105 dengan jumlah kematian 91 orang. 

Segala usaha ‘lockdown’ dan darurat nampaknya tidak berkesan dalam memerangi wabak ini. Malah, jumlah kes baru dan jumlah kematian terus meningkat. Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang tewas dalam pandemik ini. 

Ramai juga yang percaya bahawa jumlah kes harian yang baru akan mencecah 10,000 orang dalam masa terdekat. Jika ini berlaku, jumlah kes kematian juga akan turut meningkat. Adakah ini bermakna kerajaan telah hilang kawalan sepenuhnya dalam hal ini? 
                          V. Sivakumar 

Sehingga kini, program vaksinasi juga tidak membuktikan apa-apa.  Masih lagi ramai dari kalangan warga emas belum disuntik vaksin Covid-19. Ramai yang menunggu tetapi masih tidak dipanggil lagi. Masalah dengan MySejahtera atau masalah dengan kerajaan yang tidak efisien? Bilakah warga yang lebih muda akan dipanggil untuk disuntik vaksin? 

Sedih! lebih lama kita menunggu, lebih ramai akan meninggalkan kita. Kerajaan harus mempercepatkan lagi program imunisasi dengan mencari kaedah- kaedah lain. Saya mencadangkan supaya setiap klinik swasta dijadikan sebagai pusat vaksinasi dengan secepat mungkin supaya membolehkan lebih ramai orang tempatan diberi vaksinasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan