Isnin, 2 Ogos 2021

Perikatan Nasional Melakukan Jenayah Menghalang Wakil Rakyat

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 2 Ogos 2021 di Kuala Lumpur. 


Hari ini, kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan satu kesalahan jenayah apabila memperalatkan Polis Diraja Malaysia untuk menghalang Ahli-ahli Parlimen melaksanakan tugas  atau tanggung jawab yang diamanahkan. Kesalahan ini dilakukan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 

Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat mempunyai hak untuk pergi ke Parlimen bila-bila masa bagi melaksanakan apa-apa tugas yang difikirkan perlu. Kanun Keseksaan memberi jaminan bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimen daripada melangsungkan kewajipan. 
                       V. Sivakumar 

Pada pagi ini, sebilangan besar Ahli-ahli Parlimen termasuk diri saya sendiri telah berniat untuk pergi ke bangunan Parlimen atas urusan tertentu. Tetapi,  jalan-jalan utama yang menghala ke bangunan Parlimen semuanya ditutup oleh Polis Diraja Malaysia di atas arahan kerajaan. Ratusan pegawai polis ditempatkan di merata tempat semata-mata untuk menghalang kami daripada memasuki bangunan Parlimen. 

Oleh yang demikian,  kami Ahli-ahli Parlimen tidak dapat memasuki bangunan Parlimen untuk menjalankan kerja-kerja rasmi. Justeru, kami terpaksa berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Tindakan kerajaan bukan sahaja memalukan kami sebagai Ahli Parlimen tetapi merupakan satu penghinaan kepada Dewan Yang Mulia. 

Setelah berhimpun seketika, kami bercadang untuk berjalan kaki ke bangunan Parlimen Malaysia. Setelah kami mengorak beberapa  langkah, pihak Polis Diraja Malaysia telah cuba menghalang pergerakan kami. Kami bertegas untuk terus maju kehadapan menuju ke destinasi. Tetapi,  pihak Polis terus menghalang kami dengan sikap lebih mengertak. 

Akhirnya, pihak polis telah cuba menggunakan  tenaga FRU sebagai usaha menakutkan Ahli-ahli Parlimen daripada terus menuju ke hadapan. Kami tidak berasa gentar dengan tindakan mereka itu. Tetapi, kami terpaksa berundur kerana agenda yang lebih penting iaitu menyelamatkan rakyat dan negara dan bukannya bertempuh dengan pihak polis seperti yang diharapkan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang berniat jahat. 

Apa yang sebenarnya berlaku hari ini? Terbukti bahawa satu kesalahan jenayah telah dilakukan oleh kerajaan. Pihak polis telah menghalang wakil rakyat menjalankan tugas. Terdapat juga unsur-unsur mengertak atau menakutkan wakil rakyat dengan menggunakan FRU. Kedua-dua tindakan ini adalah bersifat menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 

Rakyat dapat menilai sendiri betapa zalimnya Kerajaan Perikatan Nasional yang dahulunya menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’. Hari ini, kerajaan yang sama telah cuba untuk mempertahankan kuasa dengan mengadai prinsip- prinsip demokrasi berparlimen. Satu lagi titik hitam terpahat dalam sejarah negara kita apabila kuasa eksekutif mahu melangkaui kuasa legislatif yang menjadi suara rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan