Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Perak pada 2 Julai 2021 di Batu Gajah
Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga kepada ekonomi rumah tangga.
Ramai yang telah kehilangan pekerjaan. Ramai juga yang telah mengalami pengurangan pendapatan. Semua ini memberi kesan kepada pendapatan isi rumah sebahagian besar rakyat negara kita.
Adalah amat menyedihkan untuk mengetahui perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO) yang menyatakan
100,000 orang telah hilang pekerjaan pada tahun 2020. Saya tidak mempunyai maklumat tentang jumlah pekerja yang telah hilang periuk nasi mereka pada tahun ini. Walau bagaimanapun, saya yakin jumlahnya adalah besar disebabkan penutupan banyak kilang, hotel dan sektor-sektor lain pada tahun ini.
Pada tahun 2019, kadar kemiskinan negara adalah 5.6%. Manakala, pada tahun 2020 kadarnya telah meningkat kepada 8.4%. Saya cukup bimbang kadar kemiskinan akan melonjak lebih tinggi pada tahun ini.
Berhubung dengan maklumat yang diterbitkan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, lebih ramai golongan berpendapatan sederhana telah berganjak menjadi golongan berpendapatan rendah. Saya amat khuatir setelah mengetahui lebih daripada 600,000 isi rumah M40 telah tersungkur ke dalam kategori B40.
Ini bermakna golongan M40 telah berkurangan dari segi jumlahnya. Justeru, kita melihat golongan B40 telah bertambah akibat pandemik yang berpanjangan ini.
Implikasinya, B40 perlu ditakrif semula sebagai B60 dan M40 pula ditakrif semula sebagai M20.
Ini akan melebarkan tapak piramid kategori penduduk mengikut pendapatan di negara kita. Selain daripada itu, dalam kategori golongan pendapatan rendah juga akan berlaku perubahan iaitu ganjakan daripada miskin kepada miskin tegar. Dalam kata lain, jumlah penduduk miskin tegar akan terus meningkat di bawah PKP. Keadaan akan menjadi lebih parah jika kerajaan tidak membantu golongan ini dengan serta merta.
Sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan pada tahun lepas, segala langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mengawal penularan Covid-19 telah merencatkan lagi ekonomi negara. Semakin hari, semakin ramai rakyat menderita. Darurat dan ‘lockdown’ yang dilaksanakan setakat ini tidak menunjukkan apa-apa kesan baik pulih.
Sebaliknya keadaan bertambah tenat apabila kita melihat jumlah kematian harian adalah dalam lingkungan 70 hingga 100 orang setiap hari. Terbukti, Kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menyelesaikan masalah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan