Jumaat, 2 Julai 2021

Jumlah Kes Bunuh Diri Melonjak, Apa Tindakan Kerajaan?

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 29 Jun 2021 di Batu Gajah Perdana. 


Sejak bermulanya pandemik 
Covid-19, rakyat negara kita terpaksa melalui pelbagai cabaran dan tekanan hidup. Dalam musim pandemik, sebahagian besar daripada golongan B40 dan M40 telah terkesan. 
                       V. Sivakumar 

Ramai juga daripada kategori M40 telah berganjak ke kategori B40. Miskin tegar dari kalangan B40 juga telah meningkat. Inilah kali pertama kita melihat ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang sengsara  sehingga tidak lagi mampu menyara kos hidup harian.  

Sungguh sedih melihat keadaan mereka  yang terpaksa menunggu bantuan bakul makanan sampai ke pintu rumah mereka. Puluhan ribu warganegara telah hilang pekerjaan mereka. Begitu juga, peniaga-peniaga yang telah mengalami kemerosotan pendapatan yang sudah menjunam ke lantai. 

Ramai juga yang berasa terseksa kerana terpaksa berpisah jauh dari keluarga. Tambahan pula, rakyat Malaysia terpaksa mengelak langsung sebarang aktiviti sosial atau riadah bagi jangkamasa yang begitu lama. 

Ramai juga sudah tidak bertahan lagi kerana hutang di sekeliling pinggang. Mereka ditekan oleh ah long atau institusi-institusi kewangan yang berlesen untuk membayar hutang. Adakalanya terdapat unsur-unsur ugutan yang mengertak mereka. 

Selain daripada itu, terdapat juga banyak lagi tekanan lain yang mengakibatkan stress yang melampau. Hari ini, realitinya, kita sering  menyaksikan keluhan demi keluhan dari kalangan rakyat Malaysia di tabir media sosial. 

Semua ini membuktikan bahawa terdapat  kesan atau impak yang amat besar akibat penularan Covid-19 terhadap kedudukan kewangan dan emosi setiap lapisan masyarakat. 
Tidak dapat dinafikan ramai juga yang terjejas dari segi kesihatan mental.

Baru- baru ini, satu daripada isu yang menjadi topik hangat yang kerap menjadi pokok perbincangan rakyat ialah mengenai peningkatan jumlah kes bunuh diri di negara kita. Didapati bahawa jumlah kes bunuh diri telah meningkat secara mendadak sejak bermulanya pandemik Covid -19 pada bulan mac tahun lalu. 

Fenomena ini bukan sahaja  berlaku di negara kita, malahan berlaku di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh,  kes bunuh diri di negara Jepun telah melonjak tinggi kebelakangan ini. Kadarnya  adalah tertinggi berbanding dengan kumpulan tujuh negara maju(G7). Begitu juga keadaannya di Korea Selatan disebabkan oleh pandemik yang sama. 

Di Delhi, India, seorang doktor berusia 36 tahun yang bertugas untuk merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital swasta dilaporkan telah membunuh diri. Begitu juga di Malaysia, hampir setiap hari kita dipaparkan dengan berita bunuh diri di media massa. Sungguh sedih membaca, apatah lagi keluarga mangsa yang terpaksa mengharungi keperitan yang tidak boleh disebut dengan kata-kata. 

Oleh yang demikian, kita harus lebih berhati-hati dalam tempoh pandemik Covid-19. Kita tidak boleh leka dan membiarkan lebih  ramai rakyat Malaysia memilih  untuk membunuh diri sebagai jalan terakhir. 

Mengikut satu lapuran media yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia iaitu dalam tempoh PKP
1.0 mulai 18/3/2020 hingga 30/10/2020 seramai 266 orang telah menbunuh diri di negara kita. Ini adalah satu peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019. 

Dalam satu kenyataan Media yang  dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang baru -baru ini, dilaporkan bahawa secara puratanya sepuluh orang telah membunuh diri setiap bulan di Pulau Pinang bagi tempoh 5 bulan pertama tahun ini. Beliau juga mendedahkan bahawa 19 kes cubaan membunuh diri turut dilapurkan di negeri itu pada tempoh yang sama. 

Persoalannya sekarang, berapakah jumlah kes yang berlaku di seluruh negara sejak bulan Oktober 2020 sehingga bulan Mei 2021. Kerajaan harus mendedahkan statistik sebenar 
kematian akibat bunuh diri dari bulan Mac 2020 sehingga Mei 2021 mengikut setiap negeri. Statistik ini adalah sangat penting untuk menilai keadaan yang sebenar dan tahap keseriusan masalah ini di negara kita. 

Angka-angka ini juga akan nemberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa celik dan berhati-berhati mengenai masalah ini. Saya juga ingin tahu samada kerajaan telah menjalankan apa-apa kajian untuk mengenal pasti punca kematian membunuh diri sejak berlakunya penularan Covid-19. 

Kerajaan juga harus menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil untuk membendung masalah ini. Usaha yang gigih adalah perlu untuk membantu golongan terkesan akibat Pandemik Covid-19. Kita mempunyai 72 orang Menteri dan Timbalan Menteri yang sepatutnya boleh mengatasi masalah ini. Jika tidak, 
terang-terang terbukti  bahawa ini adalah satu lagi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional.  

Sebagai akhir kata, saya juga ingin menyeru kepada seluruh warga Malaysia supaya sentiasa peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang ada pada ahli keluarga, sahabat, rakan sejawat, jiran dan orang-orang di sekeliling kita. Jika ada sesuatu kesangsian, sila lapurkan kepada pihak-pihak yang boleh menbantu dalam hal ini. Sekian.

Ahad, 27 Jun 2021

Penduduk Pusing Mengadu Pokok Besar Reput Membahayakan Keselamatan

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 27 Jun 2021 di Kampung Pinang A, Pusing, Batu Gajah 

 

Pada pagi ini, saya dipanggil oleh penduduk Kampung Pinang A, Pusing untuk mengadu tentang bahaya sebatang pokok besar yang reput. Pokok yang reput itu berada di salah sebuah jalan masuk ke Kampung Pinang A. Jalan ini digunakan oleh lebih kurang 15 keluarga yang menetap di situ. 

Penduduk kawasan itu berasa amat risau tentang keselamatan mereka. Mereka risau pokok itu akan tumbang ke atas pengguna atau kenderaan yang melalui jalan tersebut. Dalam pada itu, jikalau pokok itu tumbang, sudah semestinya akan terkena pada kabel elektrik dan kabel telekomunikasi.

Mereka mendakwa ini akan memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi di kawasan tersebut. Ini akan memudaratkan lagi keselamatan di kampung tersebut. Penduduk memohon supaya pokok besar yang reput itu ditebang dengan segera. Mereka berasa amat kesal kerana perkara ini telah pun dibawa kepada perhatian pihak TNB tetapi tidak diendahkan langsung. 

Mereka tidak tahu kenapa pihak berkuasa tidak mempedulikan hal ini walaupun keadaan yang dilapurkan itu membahayakan keselamatan penduduk di kawasan tersebut. Mereka membuat pengaduan  kepada Ahli Parlimen Batu Gajah untuk memanjangkan masalah ini kepada yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah dan Pegawai Daerah Kinta supaya tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah ini.

Sabtu, 26 Jun 2021

Rakyat Tolak PN Jika Tiada Moratorium Automatik



Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 26 Jun 2021 di Kampung Baru Bukit Merah, Ipoh

Kepincangan ekonomi dan penularan covid-19 telah menolak sebahagian besar rakyat Malaysia ke dalam lautan kesengsaraan. Ini adalah disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh mereka. Ramai yang telah hilang pekerjaan atau pendapatan mereka. Secara umumnya perniagaan telah merosot. Hanya segelintir peniaga sahaja dapat bertahan dalam pandemik ini. 

Perintah Kawalan Pergerakan  yang berterusan telah melemahkan ekonomi negara. Walaupun langkah ini adalah perlu, tetapi rakyat telah hilang rezeki untuk menyara diri dan keluarga masing-masing. Keluhan rakyat perlu juga diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan. Kerajaan perlu menyediakan bantuan sara hidup yang memadai bagi setiap warga yang terjejas akibat pandemik ini. 

Secara khusus, golongan B40 dan M40 menghadapi keperitan hidup yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Golongan ini amat bergantung kepada pendapatan bulanan. Komitmen mereka adalah amat tinggi. Sebahagian besar daripada pendapatan mereka itu terpaksa digunakan untuk perbelanjaan menyara hidup. 
                       V. Sivakumar 

Gangguan kepada pendapatan bulanan akan memberi kesan atau impak yang amat teruk kepada kedudukan kewangan mereka. Pengurangan sedikit daripada pendapatan mereka akan memberi kesan yang amat besar. Apatah lagi jika kehilangan sebahagian besar atau keseluruhan pendapatan mereka.

Satu daripada komitmen besar golongan B40 dan M40 adalah untuk membayar ansuran pinjaman bank. Mereka tidak lagi mampu untuk membayar ansuran  bulan seperti biasa. Ini akan menyebabkan bayaran  tertunggak. Pihak bank akan mendesak supaya pembayaran ansuran dibuat dengan segera. Jika tidak, peminjam itu akan disenaraihitamkan. 

Dalam keadaan yang lebih serius, bank juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak membayar ansuran bulanan seperti yang dijanjikan. Rekod seperti ini akan dikekalkan dalam sistem maklumat bank. Akibatnya, peminjam- peminjam ini tidak lagi layak untuk sebarang pinjaman lain di masa hadapan kelak. Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat. 

Oleh yang demikian, kerajaan harus meluluskan moratorium automatik kepada golongan B40 dan M40 dengan segera. Ini akan membantu golongan yang tertekan ini bernafas semula sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan dan keadaan pulih seperti biasa. 

Ruangan masa ini adalah diperlukan supaya mereka boleh nengatur semula sumber pendapatan dan strategi-strategi pemulihan yang lain. Walaupun pelbagai pihak telah mendesak kerajaan untuk mengumumkan moratorium automatik ini, tetapi kerajaan perikatan nasional bersikap tidak peduli dan membiarkan rakyat terus menderita. 

Sikap kerajaan ini seolah- olah hanya membantu pihak bank tetapi enggan melihat kesengsaraan rakyat jelata yang tertekan akibat kos sara hidup yang kian meningkat. Sekali lagi, ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal sebagai sebuah kerajaan yang prihatin.Saya cukup yakin, jika kerajaan tidak mengubah pendirian dalam hal ini sudah semestinya seluruh rakyat Malaysia akan menolak kerajaan Perikatan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

Jumaat, 25 Jun 2021

Berapakah Dana MITRA Yang Turun Setakat Ini?



Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 25 Jun 2021 di Air Kuning, Tapah 

Salah satu daripada usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi  kaum India ialah melalui agensi MITRA. Usaha ini adalah perlu dan digalakkan kerana sebahagian besar daripada masyarakat India adalah tertakluk di dalam kategori B40 dan M40. 
                          V. Sivakumar 

Sepertimana  kita sedia maklum, masyarakat India yang sangat berjasa kepada negara ini telah dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Perikatan Nasional. Masyarakat India jarang sekali mendapat peluang ekonomi dan sentiasa terlepas pandang dalam semua polisi-polisi arus perdana  yang digariskan bagi tujuan kemajuan dan pembangunan ekonomi. 

Walau bagaimanapun, kerajaan telah mengwujudkan MITRA sebagai satu badan pelaksana untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi kaum India. Tetapi, badan ini telah gagal mencapai matlamatnya. Sebelum ini, MITRA  yang dikenali sebagai SEDIC telah ditubuhkan pada tahun 2014. Walaupun 7 tahun telah berlalu, organisasi ini tidak menunjukkan apa-apa prestasi atau tanda positif yang dicapai oleh kaum India di negara ini. 

Kaum India masih berada dalam keadaan yang sama. Malah, rintihan dan rungutan kaum India menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM 100 juta untuk maksud kemajuan dan pembangunan sosio ekonomi kaum India melalui MITRA. 

Malangnya, setiap tahun sebahagian besar daripada peruntukkan tersebut dipulangkan oleh MITRA  kepada Kementerian Kewangan. Pelbagai alasan diberikan untuk berbuat demikian. Tetapi, kaum India berasa  hampa dengan alasan-alasan yang tidak munasabah itu. 

Semua ini menunjukkan  kebodohan dan ketidak prihatinan pemimpin-pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dana ini. Mereka telah berlaku tidak adil kepada masyarakat India yang amat memerlukan dan mengharapkan bantuan ini.

Dalam belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada hujung tahun 2020 juga memperuntukkan jumlah dana yang sama iaitu RM 100 juta kepada MITRA. Saya mohon kepada Menteri Perpaduan Malaysia supaya mendedahkan jumlah peruntukkan yang telah disalurkan kepada masyarakat India setakat bulan Jun 2021. 

Saya juga ingin tahu kaedah atau mekanisma yang telah diguna pakai untuk menentukan penerima-penerima dana MITRA pada tahun ini. Saya sungguh berharap pihak Kementerian juga boleh mempamirkan keseluruhan nama organisasi dan jumlah peruntukkan yang diterima pada tahun ini melalui media massa arus perdana dan media bahasa Tamil.

Rabu, 23 Jun 2021

Sidang Parlimen Tunggu Apa lagi?



Saya rasa amat kecewa dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti persidangan Parlimen yang mana akan turut melibatkan pihak pembangkang. 


Pertama sekali, perlukah perkara ini ditelitikan lagi setelah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung telahpun bertitah supaya persidangan Parlimen diadakan dengan segera. Buat masa ini, jawatankuasa yang dimaksudkan itu tidak lagi relevan. 

Kenyataan media dari Istana itu digubah dengan bahasa yang begitu mudah supaya difahami oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Tetapi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya pura-pura tidak faham maksud yang tersurat dengan begitu jelas sekali. Mereka masih lagi mencari helah untuk berdolak-dalik dalam menyegerakan urusan perlaksanaan persidangan Parlimen. 

Kenapakah Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu takut sekali untuk memanggil Parlimen bersidang? Apakah masalah yang sebenarnya? Covid-19? Tentunya tidak! Covid-19 adalah satu alasan sahaja. Alasan untuk terus kekal sebagai kerajaan walaupun tidak ada mandat daripada rakyat. Ramai yang percaya bahawa Perikatan Nasional amat bimbang akan kehilangan kuasa jika persidangan  Parlimen diadakan. 

Kami Ahli-ahli Parlimen sudahpun divaksin dua kali. Takut apa lagi? Tan Sri Muhyiddin tak percaya kepada vaksin? Takut kluster Parlimen pulak! He he betul ker? Atau takut nanti kena undi tidak percaya? 

Saya yakin sebahagian besar ataupun majoriti dari kalangan Ahli-ahli Parlimen bersedia untuk mengadakan persidangan Parlimen secara fizikal demi rakyat dan negara. 

Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan perkara ini lagi. Rakyat sedang memerhatikan setiap langkah tipu muslihat kerajaan Perikatan Nasional. Rakyat mahu kuasa Parlimen dikembalikan supaya proses ‘semak dan imbang’ dapat berfungsi dengan berkesan. Jika tidak, kuasa eksekutif akan membinasakan negara tanpa sebarang akauntabiliti.

Selasa, 18 Julai 2017

Kaum Indian : 5000 Masih Tunggu Kelulusan KDN Untuk Status Kerakyatan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Pengerusi DAP Perak pada 17/7/2017 di Ipoh.


Mengikut satu jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat oleh Kementerian Dalam Negeri, terdapat hampir 5000 permohonan status kewarganegaraan oleh kaum India yang masih dalam pertimbangan kementerian. Adakah mereka ini akan diberi status kewarganegaraan?


Jika kerajaan benar-benar serius dalam hal ini, sudah pasti masalah ini boleh diselesaikan. Tetapi, ini telah menjadi permainan politik Barisan Nasional sejak berpuluhan tahun.


Selain daripada 5000 orang yang menunggu kelulusan, terdapat ramai lagi yang masih belum membuat permohonan status kewarganegaraan. Ramai diantara mereka tidak ada keyakinan terhadap kerajaan Barisan Nasional.


Mereka mendakwa permohonan status kewarganegaraan adalah sia-sia dan merugikan masa serta wang. Kecurigaan mereka itu ada asasnya kerana pengalaman masa lampau. Ramai juga pernah ditipu oleh orang tengah yang kononnya dapat membantu mendapatkan status kewarganegaraan.


Peliknya, kenapakah 5000 permohonan masih belum diluluskan oleh KDN? Ini membuktikan pihak kerajaan tidak berniat dalam menyelesaikan masalah isu kewarganegaraan yang dihadapi oleh kaum India. Program-program MyDaftar atau MegaDaftar yang dirancang semuanya adalah gimik politik untuk mengkaburi mata masyarakat India.


Hakikatnya, kerajaan tidak ada kemahuan politik (political will) untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan sekali lagi telah memberi janji kosong melalui Indian Blue Print sebagai satu penyelesaian bagi masalah ini. Tetapi, pastinya janji-janji ini tidak akan ditunaikan selepas PRU14.


Pakatan Harapan akan mengambil segala langkah yang positif dan membina untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan masyarakat India jika dapat membentuk kerajaan baru selepas PRU 14 nanti. Pakatan Harapan membolehkan kita melihat nur di hujung terowong. Jika tidak,  masalah ini akan menghantui masyarakat India di negara kita buat selama-lamanya.

Selasa, 4 Julai 2017

15,000 Kanak-kanak Tiada Kerakyatan Di Malaysia

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3 Julai 2017 di Ipoh. 



Pemberian status kewarganegaraan Malaysia kepada seseorang individu merupakan anugerah tertinggi dan hak ekslusif Kerajaan Persekutuan. Perkara ini terkandung dalam Bahagian lII Perlembagaan Persekutuan. Status kewarganegaraan tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya. 

Undang-undang tertinggi itu memastikan keselamatan dan hak rakyat Malaysia terjamin. Tetapi, terdapat 15, 394 orang kanak-kanak di negara kita berstatus bukan warganegara. Apakah nasib kanak-kanak ini? Mereka tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Apakah rancangan kerajaan untuk membantu kanak-kanak ini? Mereka tidak mempunyai status kewarganegaraan di mana-mana negara lain. 

Masalah ini berpunca daripada status kerakyatan ibubapa kanak-kanak tersebut. Sepanjang tahun 2012 hingga 31 Januari 2017, seramai 180, 515 orang kanak-kanak telah dilahirkan di negara ini yang mana salah satu daripada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut adalah berstatus bukan warganegara Malaysia. 

Secara lebih spesifik, anak kepada ibu berstatus bukan warganegara Malaysia tetapi bapa warganegara Malaysia adalah seramai 122,966 orang. Manakala, anak kepada ibu berstatus warganegara Malaysia tetapi bapa bukan warganegara Malaysia adalah seramai 57,549 orang. 

Daripada jumlah 180,515 orang kanak-kanak itu, seramai 165,121 orang adalah berstatus warganegara Malaysia, manakala 15,394 orang yang lain iaitu 8.5% adalah berstatus bukan warganegara. 

Kanak-kanak bukan warganegara ini perlu dibantu supaya mereka tidak menjadi beban kepada negara  pada masa hadapan. Kerajaan perlu mengambil inisiatif dalam menentukan dasar yang lebih proaktif dan produktif untuk membantu golongan ini. Dalam pada itu, Ibubapa pula harus bertanggungjawab mengatur dan menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan supaya keberadaan kanak-kanak tersebut adalah sah di Malaysia.

Jumaat, 19 Mei 2017

Blue Print Hanya Janji Pilihanraya

Kenyataan Media YB V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 18/5/2017 di Taman Medan Pusing, Batu Gajah.


Adakah Indian Blue Print yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kesan undang-undang dalam pelaksannaanya? Indian Blue Print ini sebenarnya satu dokumen yang tidak mempunyai implikasi undang-undang. Ini bermakna, pengabaian pelaksaanaannya tidak boleh dipersoalkan atau diambil tindakan mahkamah.

Setakat ini, Indian Blue Print hanyalah satu dokumen yang mengandungi janji-janji Barisan Nasional yang tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak. Indian Blue Print ini sebenarnya merupakan satu dokumen politik yang dibukukan semata-mata untuk mempengaruhi kaum India menyokong Barisan Nasional dalam PRU14. Niat dokumen ini adalah jelas sekali bertujuan politik dan pilihanraya.

Indian Blue Print dilancarkan pada bulan lalu tanpa keperincian dan perbahasan di Parlimen. Ini bermakna dokumen ini tidak mempunyai apa-apa pengertian kecuali dianggap sebagai manifesto pilihanraya yang dicadangkan oleh pihak MIC melalui Jabatan Perdana Menteri.

Bajet yang diluluskan dalam Parlimen setiap tahun mempunyai kesan undang-undang. Oleh yang demikian, kerajaan yang memerintah adalah bertanggungjawab melaksanakan bajet yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Adalah menjadi satu kesalahan untuk mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Parlimen. Tetapi, Indian Blue Print ini tidak ada impak yang sedemikian kerana ianya tidak melalui proses perundangan.

Saya juga ingin tahu dari manakah datangnya peruntukkan yang besar untuk melaksanakan Indian Blue Print ini? Setahu saya Parlimen Malaysia tidak meluluskan apa-apa peruntukkan untuk Indian Blue Print. Dimanakah peruntukkan itu boleh  dirujuk dalam rancangan 5 tahun yang terbaru iaitu Rancangan Malaysia Ke 11?

Selasa, 16 Mei 2017

Indian Blueprint Adalah Pengakuan BN Bahawa Masyarakat India Ditindas selama 60 Tahun

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 15 Mei 2017 di Batu Gajah.


Akhirnya Barisan Nasional telah mengaku bahawa masyarakat India telah dipinggirkan selama ini. Jelas sekali, sejak merdeka masyarakat India diabaikan di negara ini. Lebih 60 tahun tidak ada apa-apa pelaksanaan program pembangunan sosio ekonomi untuk membantu golongan miskin kaum ini.


Walaupun berkali-kali kerajaan memperkenalkan blue print ataupun perancangan pembangunan ekonomi untuk kaum India, tetapi semuanya tidak dilaksanakan.


MIC hanya pandai menanam tebu ditepi bibir. Setiap kali tiba musim pilihanraya, MIC akan membawa pelbagai janji kosong tanpa segan silu.


Akhirnya, selepas pilihanraya, masyarakat India dicampak bagai kacang melupakan kulit. Inilah modus operandi MIC dan Barisan Nasional menipu kaum India selama ini.


Sekali lagi, strategi yang sama digunapakai oleh MIC dengan melancarkan 'Indian Blueprint'. Masyarakat India dimuslihat lagi untuk mempercayai kerajaan Najib.


Kononnya Najib telah 'buat' banyak untuk kaum India. Apakah sebenarnya yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Najib untuk pembangunan sosio ekonomi kaum India? Hanya slogan 'Nambikai' yang tidak membawa apa-apa erti kata yang konkrit. Slogan tinggal kekal sebagai slogan sahaja.


Indian Blueprint adalah pengakuan Barisan Nasional sendiri bahawa masyarakat India telah ditindas selama 60 tahun. Barisan National baru sedar bahawa masyarakat India terutamanya golongan   B40 harus diletakkan dalam agenda pembangunan sosio ekonomi arus perdana yang komprehensif.

Selasa, 2 Mei 2017

Perayaan Tahunan Kuil Maha Mariamman SMTD Jalan Tanjung Tualang

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 1 Mei 2017 di Tanjung Tualang



Sempena perayaan tahunan Kuil Maha Mariamman SMTD Jalan Tanjung Tualang, saya telah dijemput oleh pihak jawatankuasa kuil untuk menghadiri majlis tersebut. Saya telah menghadiri perayaan itu pada hari Isnin iaitu 1 May 2017 juga merupakan Hari Pekerja. Saya difahamkan kuil ini wujud lebih kurang 90 tahun. 

Walaupun tidak ada penduduk yang tinggal di kawasan persekitaran lagi,tetapi lebih 600 orang telah menghadiri perayaan tersebut. Kebanyakkan daripada mereka adalah dari kalangan penduduk yang menetap di kawasan itu satu masa dahulu. Mereka balik setiap tahun untuk menyambut perayaan tahunan kuil ini. 

Saya difahamkan kuil ini tidak memiliki tanah. Permohonan pernah dibuat tetapi telah ditolak oleh kerajaan atas alasan-alasan tertentu. Pihak jawatankuasa bercadang untuk membuat rayuan kepada Pejabat Tanah. Harap kerajaan akan mempertimbangkan dan meluluskan tanah yang dipohon untuk kuil tersebut.


Saya juga telah menghulurkan sedikit sumbangan untuk perbelanjaan perayaan tahunan kuil itu.