Jumaat, 25 Jun 2021

Berapakah Dana MITRA Yang Turun Setakat Ini?



Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 25 Jun 2021 di Air Kuning, Tapah 

Salah satu daripada usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi  kaum India ialah melalui agensi MITRA. Usaha ini adalah perlu dan digalakkan kerana sebahagian besar daripada masyarakat India adalah tertakluk di dalam kategori B40 dan M40. 
                          V. Sivakumar 

Sepertimana  kita sedia maklum, masyarakat India yang sangat berjasa kepada negara ini telah dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Perikatan Nasional. Masyarakat India jarang sekali mendapat peluang ekonomi dan sentiasa terlepas pandang dalam semua polisi-polisi arus perdana  yang digariskan bagi tujuan kemajuan dan pembangunan ekonomi. 

Walau bagaimanapun, kerajaan telah mengwujudkan MITRA sebagai satu badan pelaksana untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi kaum India. Tetapi, badan ini telah gagal mencapai matlamatnya. Sebelum ini, MITRA  yang dikenali sebagai SEDIC telah ditubuhkan pada tahun 2014. Walaupun 7 tahun telah berlalu, organisasi ini tidak menunjukkan apa-apa prestasi atau tanda positif yang dicapai oleh kaum India di negara ini. 

Kaum India masih berada dalam keadaan yang sama. Malah, rintihan dan rungutan kaum India menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM 100 juta untuk maksud kemajuan dan pembangunan sosio ekonomi kaum India melalui MITRA. 

Malangnya, setiap tahun sebahagian besar daripada peruntukkan tersebut dipulangkan oleh MITRA  kepada Kementerian Kewangan. Pelbagai alasan diberikan untuk berbuat demikian. Tetapi, kaum India berasa  hampa dengan alasan-alasan yang tidak munasabah itu. 

Semua ini menunjukkan  kebodohan dan ketidak prihatinan pemimpin-pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dana ini. Mereka telah berlaku tidak adil kepada masyarakat India yang amat memerlukan dan mengharapkan bantuan ini.

Dalam belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada hujung tahun 2020 juga memperuntukkan jumlah dana yang sama iaitu RM 100 juta kepada MITRA. Saya mohon kepada Menteri Perpaduan Malaysia supaya mendedahkan jumlah peruntukkan yang telah disalurkan kepada masyarakat India setakat bulan Jun 2021. 

Saya juga ingin tahu kaedah atau mekanisma yang telah diguna pakai untuk menentukan penerima-penerima dana MITRA pada tahun ini. Saya sungguh berharap pihak Kementerian juga boleh mempamirkan keseluruhan nama organisasi dan jumlah peruntukkan yang diterima pada tahun ini melalui media massa arus perdana dan media bahasa Tamil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan