Kenyataan Media YB V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 18/5/2017 di Taman Medan Pusing, Batu Gajah.
Adakah Indian Blue Print yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kesan undang-undang dalam pelaksannaanya? Indian Blue Print ini sebenarnya satu dokumen yang tidak mempunyai implikasi undang-undang. Ini bermakna, pengabaian pelaksaanaannya tidak boleh dipersoalkan atau diambil tindakan mahkamah.
Setakat ini, Indian Blue Print hanyalah satu dokumen yang mengandungi janji-janji Barisan Nasional yang tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak. Indian Blue Print ini sebenarnya merupakan satu dokumen politik yang dibukukan semata-mata untuk mempengaruhi kaum India menyokong Barisan Nasional dalam PRU14. Niat dokumen ini adalah jelas sekali bertujuan politik dan pilihanraya.
Indian Blue Print dilancarkan pada bulan lalu tanpa keperincian dan perbahasan di Parlimen. Ini bermakna dokumen ini tidak mempunyai apa-apa pengertian kecuali dianggap sebagai manifesto pilihanraya yang dicadangkan oleh pihak MIC melalui Jabatan Perdana Menteri.
Bajet yang diluluskan dalam Parlimen setiap tahun mempunyai kesan undang-undang. Oleh yang demikian, kerajaan yang memerintah adalah bertanggungjawab melaksanakan bajet yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Adalah menjadi satu kesalahan untuk mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Parlimen. Tetapi, Indian Blue Print ini tidak ada impak yang sedemikian kerana ianya tidak melalui proses perundangan.
Saya juga ingin tahu dari manakah datangnya peruntukkan yang besar untuk melaksanakan Indian Blue Print ini? Setahu saya Parlimen Malaysia tidak meluluskan apa-apa peruntukkan untuk Indian Blue Print. Dimanakah peruntukkan itu boleh dirujuk dalam rancangan 5 tahun yang terbaru iaitu Rancangan Malaysia Ke 11?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan