Rabu, 23 Jun 2021

Sidang Parlimen Tunggu Apa lagi?



Saya rasa amat kecewa dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meneliti persidangan Parlimen yang mana akan turut melibatkan pihak pembangkang. 


Pertama sekali, perlukah perkara ini ditelitikan lagi setelah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung telahpun bertitah supaya persidangan Parlimen diadakan dengan segera. Buat masa ini, jawatankuasa yang dimaksudkan itu tidak lagi relevan. 

Kenyataan media dari Istana itu digubah dengan bahasa yang begitu mudah supaya difahami oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Tetapi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya pura-pura tidak faham maksud yang tersurat dengan begitu jelas sekali. Mereka masih lagi mencari helah untuk berdolak-dalik dalam menyegerakan urusan perlaksanaan persidangan Parlimen. 

Kenapakah Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu takut sekali untuk memanggil Parlimen bersidang? Apakah masalah yang sebenarnya? Covid-19? Tentunya tidak! Covid-19 adalah satu alasan sahaja. Alasan untuk terus kekal sebagai kerajaan walaupun tidak ada mandat daripada rakyat. Ramai yang percaya bahawa Perikatan Nasional amat bimbang akan kehilangan kuasa jika persidangan  Parlimen diadakan. 

Kami Ahli-ahli Parlimen sudahpun divaksin dua kali. Takut apa lagi? Tan Sri Muhyiddin tak percaya kepada vaksin? Takut kluster Parlimen pulak! He he betul ker? Atau takut nanti kena undi tidak percaya? 

Saya yakin sebahagian besar ataupun majoriti dari kalangan Ahli-ahli Parlimen bersedia untuk mengadakan persidangan Parlimen secara fizikal demi rakyat dan negara. 

Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan perkara ini lagi. Rakyat sedang memerhatikan setiap langkah tipu muslihat kerajaan Perikatan Nasional. Rakyat mahu kuasa Parlimen dikembalikan supaya proses ‘semak dan imbang’ dapat berfungsi dengan berkesan. Jika tidak, kuasa eksekutif akan membinasakan negara tanpa sebarang akauntabiliti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan