Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 26 Jun 2021 di Kampung Baru Bukit Merah, Ipoh.
Kepincangan ekonomi dan penularan covid-19 telah menolak sebahagian besar rakyat Malaysia ke dalam lautan kesengsaraan. Ini adalah disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh mereka. Ramai yang telah hilang pekerjaan atau pendapatan mereka. Secara umumnya perniagaan telah merosot. Hanya segelintir peniaga sahaja dapat bertahan dalam pandemik ini.
Perintah Kawalan Pergerakan yang berterusan telah melemahkan ekonomi negara. Walaupun langkah ini adalah perlu, tetapi rakyat telah hilang rezeki untuk menyara diri dan keluarga masing-masing. Keluhan rakyat perlu juga diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan. Kerajaan perlu menyediakan bantuan sara hidup yang memadai bagi setiap warga yang terjejas akibat pandemik ini.
Secara khusus, golongan B40 dan M40 menghadapi keperitan hidup yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Golongan ini amat bergantung kepada pendapatan bulanan. Komitmen mereka adalah amat tinggi. Sebahagian besar daripada pendapatan mereka itu terpaksa digunakan untuk perbelanjaan menyara hidup.
Gangguan kepada pendapatan bulanan akan memberi kesan atau impak yang amat teruk kepada kedudukan kewangan mereka. Pengurangan sedikit daripada pendapatan mereka akan memberi kesan yang amat besar. Apatah lagi jika kehilangan sebahagian besar atau keseluruhan pendapatan mereka.
Satu daripada komitmen besar golongan B40 dan M40 adalah untuk membayar ansuran pinjaman bank. Mereka tidak lagi mampu untuk membayar ansuran bulan seperti biasa. Ini akan menyebabkan bayaran tertunggak. Pihak bank akan mendesak supaya pembayaran ansuran dibuat dengan segera. Jika tidak, peminjam itu akan disenaraihitamkan.
Dalam keadaan yang lebih serius, bank juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak membayar ansuran bulanan seperti yang dijanjikan. Rekod seperti ini akan dikekalkan dalam sistem maklumat bank. Akibatnya, peminjam- peminjam ini tidak lagi layak untuk sebarang pinjaman lain di masa hadapan kelak. Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat.
Oleh yang demikian, kerajaan harus meluluskan moratorium automatik kepada golongan B40 dan M40 dengan segera. Ini akan membantu golongan yang tertekan ini bernafas semula sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan dan keadaan pulih seperti biasa.
Ruangan masa ini adalah diperlukan supaya mereka boleh nengatur semula sumber pendapatan dan strategi-strategi pemulihan yang lain. Walaupun pelbagai pihak telah mendesak kerajaan untuk mengumumkan moratorium automatik ini, tetapi kerajaan perikatan nasional bersikap tidak peduli dan membiarkan rakyat terus menderita.
Sikap kerajaan ini seolah- olah hanya membantu pihak bank tetapi enggan melihat kesengsaraan rakyat jelata yang tertekan akibat kos sara hidup yang kian meningkat. Sekali lagi, ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal sebagai sebuah kerajaan yang prihatin.Saya cukup yakin, jika kerajaan tidak mengubah pendirian dalam hal ini sudah semestinya seluruh rakyat Malaysia akan menolak kerajaan Perikatan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan