Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Pengerusi DAP Perak pada 17/7/2017 di Ipoh.
Mengikut satu jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat oleh Kementerian Dalam Negeri, terdapat hampir 5000 permohonan status kewarganegaraan oleh kaum India yang masih dalam pertimbangan kementerian. Adakah mereka ini akan diberi status kewarganegaraan?
Jika kerajaan benar-benar serius dalam hal ini, sudah pasti masalah ini boleh diselesaikan. Tetapi, ini telah menjadi permainan politik Barisan Nasional sejak berpuluhan tahun.
Selain daripada 5000 orang yang menunggu kelulusan, terdapat ramai lagi yang masih belum membuat permohonan status kewarganegaraan. Ramai diantara mereka tidak ada keyakinan terhadap kerajaan Barisan Nasional.
Mereka mendakwa permohonan status kewarganegaraan adalah sia-sia dan merugikan masa serta wang. Kecurigaan mereka itu ada asasnya kerana pengalaman masa lampau. Ramai juga pernah ditipu oleh orang tengah yang kononnya dapat membantu mendapatkan status kewarganegaraan.
Peliknya, kenapakah 5000 permohonan masih belum diluluskan oleh KDN? Ini membuktikan pihak kerajaan tidak berniat dalam menyelesaikan masalah isu kewarganegaraan yang dihadapi oleh kaum India. Program-program MyDaftar atau MegaDaftar yang dirancang semuanya adalah gimik politik untuk mengkaburi mata masyarakat India.
Hakikatnya, kerajaan tidak ada kemahuan politik (political will) untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan sekali lagi telah memberi janji kosong melalui Indian Blue Print sebagai satu penyelesaian bagi masalah ini. Tetapi, pastinya janji-janji ini tidak akan ditunaikan selepas PRU14.
Pakatan Harapan akan mengambil segala langkah yang positif dan membina untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan masyarakat India jika dapat membentuk kerajaan baru selepas PRU 14 nanti. Pakatan Harapan membolehkan kita melihat nur di hujung terowong. Jika tidak, masalah ini akan menghantui masyarakat India di negara kita buat selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan