Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Setiausaha Majlis Pakatan Harapan Negeri Perak pada 29 Jun 2021 di Batu Gajah Perdana.
Sejak bermulanya pandemik
Covid-19, rakyat negara kita terpaksa melalui pelbagai cabaran dan tekanan hidup. Dalam musim pandemik, sebahagian besar daripada golongan B40 dan M40 telah terkesan.
Ramai juga daripada kategori M40 telah berganjak ke kategori B40. Miskin tegar dari kalangan B40 juga telah meningkat. Inilah kali pertama kita melihat ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang sengsara sehingga tidak lagi mampu menyara kos hidup harian.
Sungguh sedih melihat keadaan mereka yang terpaksa menunggu bantuan bakul makanan sampai ke pintu rumah mereka. Puluhan ribu warganegara telah hilang pekerjaan mereka. Begitu juga, peniaga-peniaga yang telah mengalami kemerosotan pendapatan yang sudah menjunam ke lantai.
Ramai juga yang berasa terseksa kerana terpaksa berpisah jauh dari keluarga. Tambahan pula, rakyat Malaysia terpaksa mengelak langsung sebarang aktiviti sosial atau riadah bagi jangkamasa yang begitu lama.
Ramai juga sudah tidak bertahan lagi kerana hutang di sekeliling pinggang. Mereka ditekan oleh ah long atau institusi-institusi kewangan yang berlesen untuk membayar hutang. Adakalanya terdapat unsur-unsur ugutan yang mengertak mereka.
Selain daripada itu, terdapat juga banyak lagi tekanan lain yang mengakibatkan stress yang melampau. Hari ini, realitinya, kita sering menyaksikan keluhan demi keluhan dari kalangan rakyat Malaysia di tabir media sosial.
Semua ini membuktikan bahawa terdapat kesan atau impak yang amat besar akibat penularan Covid-19 terhadap kedudukan kewangan dan emosi setiap lapisan masyarakat.
Tidak dapat dinafikan ramai juga yang terjejas dari segi kesihatan mental.
Baru- baru ini, satu daripada isu yang menjadi topik hangat yang kerap menjadi pokok perbincangan rakyat ialah mengenai peningkatan jumlah kes bunuh diri di negara kita. Didapati bahawa jumlah kes bunuh diri telah meningkat secara mendadak sejak bermulanya pandemik Covid -19 pada bulan mac tahun lalu.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malahan berlaku di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh, kes bunuh diri di negara Jepun telah melonjak tinggi kebelakangan ini. Kadarnya adalah tertinggi berbanding dengan kumpulan tujuh negara maju(G7). Begitu juga keadaannya di Korea Selatan disebabkan oleh pandemik yang sama.
Di Delhi, India, seorang doktor berusia 36 tahun yang bertugas untuk merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital swasta dilaporkan telah membunuh diri. Begitu juga di Malaysia, hampir setiap hari kita dipaparkan dengan berita bunuh diri di media massa. Sungguh sedih membaca, apatah lagi keluarga mangsa yang terpaksa mengharungi keperitan yang tidak boleh disebut dengan kata-kata.
Oleh yang demikian, kita harus lebih berhati-hati dalam tempoh pandemik Covid-19. Kita tidak boleh leka dan membiarkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk membunuh diri sebagai jalan terakhir.
Mengikut satu lapuran media yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia iaitu dalam tempoh PKP
1.0 mulai 18/3/2020 hingga 30/10/2020 seramai 266 orang telah menbunuh diri di negara kita. Ini adalah satu peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019.
Dalam satu kenyataan Media yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang baru -baru ini, dilaporkan bahawa secara puratanya sepuluh orang telah membunuh diri setiap bulan di Pulau Pinang bagi tempoh 5 bulan pertama tahun ini. Beliau juga mendedahkan bahawa 19 kes cubaan membunuh diri turut dilapurkan di negeri itu pada tempoh yang sama.
Persoalannya sekarang, berapakah jumlah kes yang berlaku di seluruh negara sejak bulan Oktober 2020 sehingga bulan Mei 2021. Kerajaan harus mendedahkan statistik sebenar
kematian akibat bunuh diri dari bulan Mac 2020 sehingga Mei 2021 mengikut setiap negeri. Statistik ini adalah sangat penting untuk menilai keadaan yang sebenar dan tahap keseriusan masalah ini di negara kita.
Angka-angka ini juga akan nemberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa celik dan berhati-berhati mengenai masalah ini. Saya juga ingin tahu samada kerajaan telah menjalankan apa-apa kajian untuk mengenal pasti punca kematian membunuh diri sejak berlakunya penularan Covid-19.
Kerajaan juga harus menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil untuk membendung masalah ini. Usaha yang gigih adalah perlu untuk membantu golongan terkesan akibat Pandemik Covid-19. Kita mempunyai 72 orang Menteri dan Timbalan Menteri yang sepatutnya boleh mengatasi masalah ini. Jika tidak,
terang-terang terbukti bahawa ini adalah satu lagi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional.
Sebagai akhir kata, saya juga ingin menyeru kepada seluruh warga Malaysia supaya sentiasa peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang ada pada ahli keluarga, sahabat, rakan sejawat, jiran dan orang-orang di sekeliling kita. Jika ada sesuatu kesangsian, sila lapurkan kepada pihak-pihak yang boleh menbantu dalam hal ini. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan