Isnin, 2 November 2015

Ucapan Pengerusi DAP Selangor 2015

Saudara-saudari sekalian,

Selamat pagi, salam sejahtera, salam bersih dan salam Ubah!

1. Mengikut Perdana Menteri Britain, Harold Wilson pada tahun 60-an, “a week is a long time in politics”. Memang tepat, katanya.

2. Sejak konvensyen DAP Selangor pada bulan Disember tahun lalu, begitu banyak perkara yang menggemparkan telah berlaku. Walaupun hanya 11 bulan, tetapi rasanya macam sudah terlepas 5 tahun.

3. Di sebelah Barisan Nasional, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat. Sebab apa? Sebab Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak menerima “donation” sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.

4. Ketua Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pula direhatkan. Kenapa? Kerana kononnya beliau telah mengambil langkah untuk memfailkan tuduhan rasuah dan pecah amanah terhadap Dato’ Seri Najib Razak.

5. Pada masa yang sama, pergolakan di sebelah sini pun cukup besar. Mana kita tahu, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas pilihanraya 2008 terkubur pada bulan Jun tahun ini.  Pakatan Rakyat tidak lagi berkesan sebab Presiden PAS, berulang-kali mungkir janjinya kepada Majlis Pimpinan Tertinggi dan langsung tidak menghormati Dasar Bersama Pakatan Rakyat. 

6. Akhirnya, Muktamar PAS pada bulan Jun yang meluluskan sebulat suara usul untuk memutuskan semua hubungan politik dengan DAP.  Kesan keputusan tersebut ialah Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan politik 3-parti PKR, PAS dan DAP tidak lagi wujud.

7. PAS pula berpecah dua dan pemimpin-pemimpin progresif dan pro-Pakatan telah menubuhkan parti baru, Parti Amanah Nasional.

8. Seterusnya, terlahirlah gabungan politik baru, Pakatan Harapan antara DAP, PKR dan Amanah.  Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin gabungan baru hari ini untuk meyakinkan semula rakyat terhadap Pakatan Harapan.

9. Inilah yang merupakan tema Konvensyen kita hari ini, Pakatan Harapan – Harapan Baru.

10. Kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Pakatan Harapan cukup sengit.  Kita dipertikaikan macam-macam.

11.   Ada yang sebut tanpa PAS, Pakatan Harapan tak mungkin dapat undi Melayu.  Ada yang kata Amanah terlampau lemah, tidak berupaya untuk menarik sokongan kaum Melayu.  Kritikan mereka dikukuhkan lagi dengan kaji selidik yang jelas menunjukkan bahawa ramai tak kenal lagi Parti Amanah.  Ada lagi pula yang mengutuk penubuhan Pakatan Harapan sebagai terlalu gopoh.

12. Kita tidak menafikan bahawa memang Amanah buat masa ini baru saja dilahirkan, tak sampai 2 bulan dan pengaruhnya jelas belum setanding dengan PAS.  Akan tetapi, yang kita lihat bukannya sekarang.  Yang kita pertimbangkan ialah potensi Amanah untuk melebihi PAS dua tahun kemudian terutamanya di kawasan Pantai Barat Semenanjung dan Johor.  Kawasan-kawasan inilah yang akan menjadi medan tempur utama yang akan menentukan sama ada kerajaan BN dapat ditumbang.

13.   Buat masa ini pun, PAS telah memenangi beberapa kerusi parlimen dan DUN di Perak, Selangor dan Johor bukannya kerana PAS mempunyai sokongan yang kukuh di kawasan-kawasan tersebut.  PAS telah berjaya mendapat kemenangan kerana undinya adalah untuk Pakatan, dan bukannya PAS secara spesifik.  Dulu sebelum Pakatan ditubuhkan, walaupun PAS bertanding dalam paling banyak kerusi di Johor, undinya di kawasan Melayu tidak melebihi 15% pun, malah sudah menjadi perkara biasa untuk mereka hilang deposit.

14. Apatah lagi, pemimpin-pemimpin PAS yang paling berjasa menarik sokongan pelbagai bangsa untuk Pakatan pada masa itu adalah pemimpin-pemimpin yang telah dicicir oleh PAS dan sekarang menerajui Amanah.

15. DAP Selangor dan DAP Kebangsaan mempunyai penuh keyakinan kepada tokoh-tokoh Melayu yang mengambil keputusan yang begitu berani menubuhkan sebuah parti baru yang berpandu kepada prinsip agama Islam yang progresif, sederhana dan inklusif. 

16.   Abang Mat Sabu, Sdr Salehuddin Ayob, Dr Hatta Ramli dan Dr Mujahid Rawa di peringkat kebangsaan;  Sdr Khalid Samad, Dr Siti Mariah, Sdr Hanipa Maidin, Dr Dzulkefli Ahmad di Selangor; kesemua mereka merupakan tokoh-tokoh politik yang cukup berintegriti menentang kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kerajaan Barisan Nasional.

17. Jangan sekali kita lupa, PAS Selangor tidak pernah sekalipun memberi sokongan kepada ahli-ahli Exco PKR dan DAP apabila kita dipecat daripada kerajaan negeri.  Saya masih ingat kata-kata pedih Sdr Teng Chang Khim, “this is the first time in my life I’ve been sacked”.

18. Adakah pemimpin-pemimpin PAS Pusat dan PAS Selangor memberikan sokongan kepada rakan-rakan seperjuangan mereka dalam DAP dan PKR? Ada tak?

19. Bukan itu sahaja, bila Pakatan Rakyat nak mencalonkan Presiden parti komponen PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar, siapa yang bantah? PAS yang bantah!  Boleh bantah terhadap Presiden parti komponen!


20. Nasib baik Pakatan pada masa itu, terdapat dua orang wira yang kekal integriti dan semangat keadilan.  Kita di Selangor tidak akan lupa pada pengorbanan dan jasa besar Sdr Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang dan Sdr Hasnul Baharudin, ADUN Morib kerana menyelamatkan kerajaan Pakatan di negeri Selangor daripada diambil-alih oleh kerajaan perpaduan PAS dan UMNO.

21.  These are the leaders all Malaysians can trust because they believe in honesty, are honourable and possesses the spirit of comradeship. These are rare qualities which must be treasured in world dominated by the politics of self-interest today.

22. Dengan nilai-nilai murni pemimpin-pemimpin Amanah, saya penuh kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka akan berjaya melebihi sokongan rakyat yang diberi kepada PAS sebelum ini dalam jangkamasa 2-3 tahun.

23. Saya nak tanya kepada wakil-wakil yang hadir hari ini, adakah kita nak pilih bersepakat dengan sebuah parti yang berintegriti walaupun kecil buat masa ini, ataupun dengan sebuah parti yang lebih “established” tapi yang boleh tikam belakang bila-bila masa?  Saudara-saudari sekalian, nak pilih Amanah atau nak pilih PAS?

24. Saudara-saudari sekalian, inilah yang menjadi masalah.  What should we do in Selangor?

25.   Adalah benar bahawa rakyat telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri PKR, DAP dan PAS pada pilihanraya yang lalu.  Walaupun DAP telah membangkitkan penubuhan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Selangor, cadangan ini telah ditolak oleh Dato’ Menteri Besar Selangor.

26.   Jika Dato’ Menteri Besar enggan mengubahkan gabungan politik di Selangor, DAP pun tidak nak mencetuskan pergolakan politik di Selangor sekali lagi.  Oleh sebab itu, DAP terus berada dalam sebuah kerajaan gabungan ad-hoc dan DAP akan menjalankan peranan supaya dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang disokong oleh rakyat semasa pilihanraya dahulu akan dikotakan.

27. Akan tetapi, gabungan ini tidak akan kekal selama-lamanya.  Masa depan kita adalah bersama Pakatan Harapan.  Apatah lagi PAS telah berulang-kali menegaskan bahawa mereka telah memutuskan segala kerjasama politik dengan DAP dan akan meletak calon-calon PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang dipegang oleh DAP.

28. Oleh sebab itu, adalah menjadi keutamaan kepada DAP Selangor untuk mengambil langkah  mengukuhkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum ke-14.  Dalam pilihanraya yang lalu, PAS bertanding dalam 22 buah kerusi Dewan Undangan Negeri dan menang 15 di negeri Selangor.  Saya telah mengarahkan jentera-jentera DAP untuk bermula persiapan untuk bertanding di 8 kerusi PAS iaitu Seri Serdang, Dusun Tua, Taman Templer, Tanjong Sepat, Chempaka, Lembah Jaya, Paya Jaras dan Meru.

29. Sdr Edry Faizal telah dilantik sebagai Penyelaras bagi Pusat Komuniti dan Khidmat DAP bagi DUN Taman Templer yang akan dilancarkan dua minggu lagi.  Majlis Makan Mengumpul Dana DUN Taman Templer telah ditetapkan pada 17hb Disember. Aktiviti-aktiviti parti DAP dan Pakatan Harapan tengah diaturkan untuk semua kawasan-kawasan tersebut.

30. Sama ada DAP akhirnya akan bertanding ke-lapan-lapan kerusi tersebut tidak penting buat masa ini.  Falsafah DAP ialah, kita buat kerja dulu.  Pakatan Harapan will conduct our seat negotiations later at an appropriate time.  Kalau Amanah yang bertanding mana-mana kerusi, segala jentera DAP akan memberikan backing yang penuh kepada Amanah.  Sama sekali kita percaya, dalam mana-mana kerusi yang DAP bertanding, PKR dan Amanah juga akan memberikan sokongkan tidak berbelah bahagi kepada kita.

31. DAP tidak akan bertindak tikam belakang seperti PAS yang meletakkan calon di kerusi Kota Damansara, milik PKR yang menghadiahkan kemenangan kepada UMNO.

32.  Tujuan DAP terus terang.  Kita ingin supaya ke-lapan-lapan kerusi di mana DAP mempunyai sedikit-sebanyak pengaruh akan dimenangi oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang akan datang.  Bersama dengan kawasan DUN yang sedang dipegang oleh DAP, PKR dan Amanah, Pakatan Harapan akan berjaya menubuhkan kerajaan yang baru di Selangor dengan majoriti yang stabil.

Saudara-saudari sekalian,

33. Buat masa ini, walaupun Pakatan Harapan belum menjadi kerajaan di negeri Selangor, saya sebagai Pengerusi DAP Selangor amat bangga kerana ADUN-ADUN DAP merupakan wakil rakyat yang paling cemerlang dalam DUN Selangor.  Mereka menjalankan tugas-tugas mereka sebagai penggubal undang-undang dengan penuh bertanggungjawab, dedikasi dan komitmen.

34.   Walaupun mereka merupakan penyokong kerajaan, mereka tidak menjadi pembodek barisan pimpinan kerajaan.  Apa yang baik dipuji dan apa yang perlu ditambahbaikkan disoal dan dikritik secara membina.

35.   Sejak 2014, antara Sdr Lau Weng San, ADUN Kg Tunku, Sdr Ng Sze Han, ADUN Kinrara, Sdr Rajiv Rishyakaran, ADUN Bkt Gasing dan Sdri Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama, mereka telah menyediakan 26 laporan Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Pilihan Khas berkepentingan kepada rakyat Selangor, termasuklah isu Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun dan Anak Syarikat Negeri, Pembasmian Kemiskinan dan Sumber Air.

36.  Laporan-laporan ini telah memberi kesan untuk influence dasar-dasar kerajaan.  Misalnya, laporan-laporan mengenai Pengurusan Air dan Pembekalan Sumber Air Mentah yang disediakan oleh Sdri Yeo Bee Yin telah menyumbang kepada keputusan Dato’ Menteri Besar untuk memperuntukkan RM778 juta untuk membina dan menaiktaraf 3 loji rawatan air bagi tujuan membekal air bermula 2017.

37.   Satu lagi perkara hangat yang juga dikemukakan oleh ADUN-ADUN DAP ialah isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang merupakan anak syarikat yang baru di bawah Menteri Besar Incorporated.  Isu DEIG dibangkit bukan kerana DEIG berskandal berbilion-bilion seperti yang didakwa buta oleh Menteri-Menteri BN. 

38. Isu DEIG dikemukakan supaya kerajaan negeri akan mewujudkan struktur pentadbiran yang berhemah – good governance structures – dalam syarikat tersebut untuk mengelak berlakunya skandal seperti 1MDB pada masa depan.  Dato’ Menteri Besar Selangor telah menerima baik cadangan-cadangan yang dibangkitkan dan berjanji supaya struktur pentadbiran dan pengurusan DEIG akan diperketatkan sebelum sebarang operasi syarikat bermula.

39.   SELCAT – Select Committee on Competency, Accountability and Transparency yang ditubuhkan oleh Speaker DUN penggal yang lalu, Sdr Teng Chang Khim merupakan satu inovasi demokrasi berparlimen yang memperkasakan kuasa dan suara badan perundangan.  Speaker penggal ini, Sdri Hannah Yeoh terus menjalankan peranan SELCAT untuk memantau badan eksekutif. 

40. Misalnya, walaupun undang-undang kebebasan maklumat – Freedom of Information Act – telah diluluskan oleh Dewan, perlaksanaannya amat lemah dan tidak berkesan.  Siasatan dan laporan SELCAT telah menyebabkan badan eksekutif untuk mengambil langkah-langkah khusus untuk menyempurnakan perlaksanaan FOI.

41. Apatah lagi, semua mesyuarat SELCAT adalah terbuka kepada orang ramai.  Pegawai-pegawai kerajaan yang hadir ke sesi soal-siasat bukan sahaja diteliti oleh ahli-ahli SELCAT, tetapi juga dinilai oleh pihak awam.  Sifat terbuka DUN Selangor jauh berbeza dengan budaya tertutup Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam Parlimen.

42. PAC bukan sahaja tidak menuju ke arah keterbukaan seperti yang diamalkan di semua parlimen negara maju seluruh dunia, malah Timbalan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya semua ahli PAC diwajibkan untuk mengambil sumpah kerahsiaan.

43.  Kita juga boleh bandingkan reformasi badan perundangan yang ditaja oleh Sdri Hannah pada Disember tahun lalu di mana Peraturan Mesyuarat dipinda supaya Ketua Pembangkan akan secara automatik dilantik sebagai Pengerusi PAC.  Dewan mengiktirafkan jawatan Ketua Pembangkang dengan elaun tetap, kereta rasmi dan ruang pejabat yang siap dengan seorang setiausaha.

44.   Tapi apa yang menjadi bahan jenaka seluruh dunia, Ketua Pembangkang UMNO meletak jawatannya kerana enggan menerima jawatan Pengerusi PAC!  Kerajaan negeri Selangor memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mengetuai badan pemantau kewangan kerajaan tetapi ADUN-ADUN UMNO lari jauh-jauh daripada tanggungjawab mereka kepada rakyat.

45. Akan tetapi, walaupun jawatan Pengerusi PAC belum diisi sehingga hari ini, mesyuarat PAC negeri tidak dibekukan kerana Sdr Ng Suee Lim menjalankan tugasnya dengan baik sebagai “acting chairman”. 

46. Manakala di Parlimen Malaysia, apabila jawatan Pengerusi dikosongkan akibat beliau dinaik pangkat menjadi Timbalan Menteri, Yang Dipertua Dewan Rakyat membekukan segala siasatan PAC Parlimen.  Apabila Sdr Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan YDP sama ada ia memberi kesan “sabotaj” kepada siasatan ke atas 1MDB, beliau pula dikenakan hukuman digantung 6 bulan.

47. We can see for ourselves the massive difference between the parliament run by an oppressive BN versus one run by Pakatan which prioritises transparency, accountability and upholding our democratic institutions.

48. Inilah sumbangan ADUN DAP kepada rakyat negeri Selangor.  We can provide the necessary check and balance to our own Government where the opposition representatives from BN fails to perform their responsibilities.

49. Akan tetapi, kita masih mempunyai ruang penambahbaikan dalam kerajaan negeri Selangor.  Walaupun pilihanraya kerajaan tempatan merupakan antara janji-janji manifesto pilihanraya yang lalu, rakyat Selangor masih belum dapat melihat sebarang kemajuan dalam perkara ini.

50. Pemilihan ahli majlis melalui sistem demokrasi yang diperakui seluruh dunia adalah penting untuk mertabatkan kebertanggungjawaban Pihak Berkuasa Tempatan dalam negeri Selangor.  Seorang ahli majlis yang dipilih oleh rakyat tempatan akan bertanggungjawab kepada pengundi-pengundi mereka.  Manakala seorang ahli majlis yang dipilih oleh parti mengikut jawatannya dalam parti akan memberikan keutamaan kepada parti dan bukan penduduk.

51. Kesannya cukup serius apabila kehendak dan permintaan penduduk, peniaga tempatan, ahli majlis kawasan, ADUN dan Ahli Parlimen untuk memindahkan satu bazaar Deepavali ke satu tapak yang jauh lebih baik dan sesuai tidak dihiraukan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hanya kerana satu memorandum bantahan daripada ahli majlis PKR, seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Bandar.  Adakah ahli majlis PKR ini membantah pemindahan bazaar atas sebab menyokong seorang pemimpin akar-umbi PKR yang menguasa gerai-gerai Deepavali tersebut?

52. Sikap kronisme sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam kerajaan kita di Selangor dan kita dari DAP Selangor hanya boleh berharap supaya pimpinan tertinggi PKR Selangor akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak ini kerana mereka telah mencemar nama baik parti Keadilan.

53. Kita di DAP tegas and percaya, pemilihan demokratik ahli majlis akan dapat menghapuskan legasi kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada zaman Barisan Nasional.

54.  I am proud to say that the DAP demonstrates zero tolerance for anyone found guilty of such cronyistic and corrupt practices.  In fact, the DAP did not hesitate to suspend and sack such local councillors in the past because we cannot let such poison corrupt the entire party.

55. Kita berharap supaya semua ahli majlis DAP akan terus memperjuangkan sikap menentang rasuah, kronisme dan salahguna kuasa untuk memperolehi kontrak untuk memperkayakan diri sendiri.

56.  Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk memuji bajet yang baru diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dua hari yang lalu.  Kerajaan negeri Selangor akan mengecualikan cukai pintu untuk rumah kampung dan pansapuri kos rendah.  Lesen penjaja juga akan diberi secara percuma kepada pihak yang layak.  Langkah-langkah ini akan menyebabkan kehilangan pendapatan sebanyak RM42 juta tetapi akan membantu 220,000 rumah dan 68,000 penjaja di negeri Selangor.

57.   Bajet bersifat defisit juga merupakan langkah yang tepat dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia menghala ke arah krisis akibat kejatuhan ringgit, kenaikan cukai GST yang menyebabkan pengucupan permintaan konsumer dan kehilang keyakinan kepada kerajaan BN berikutan skandal 1MDB dan “donation” RM2.6 bilion. 

58. Defisit ini dapat ditanggung dengan lebihan yang telah dijimat oleh kerajaan Selangor pada tahun-tahun yang lalu.  Ini jauh berbeza dengan kerajaan pusat yang akan mengalam defisit bajet 18 tahun berturutan tak kira sama ada ekonomi baik atau buruk.

59.   What we hope however is for the Menteri Besar to stick to the principle he announced soon after his appointment, that is, “the business of the Government is not to be in business”. 

60. Saya amat bimbang jika kerajaan negeri Selangor memberikan “unfair competitive advantages” to the state GLCs at the expense of the private sector, particularly but not limited to property development.  Ini hanya akan melemahkan daya saing negeri Selangor dan tidak akan membawa pulangan yang paling optima kepada kerajaan.

61.  Sebaliknya, peranan kerajaan adalah untuk mertabatkan pihak swasta dengan dasar-dasar yang mesra perniagaan supaya sektor swasta dapat menerajui ekonomi negeri.

Saudara-saudari sekalian,

62.   Cita-cita rakyat negeri Selangor adalah bukan sahaja untuk menewaskan Barisan Nasional di Selangor.  Rakyat Selangor tak sabar lagi untuk menumbangkan kerajaan BN di Putrajaya. 

63.  Tapi untuk mencapai matlamat tersebut DAP Selangor tidak boleh menumpukan perhatian dan aktiviti-aktiviti kita di Selangor sahaja.  Untuk mencapai perubahan yang dikehendaki oleh rakyat Selangor dan seluruh Malaysia, perubahan perlu dicetuskan di Sabah dan Sarawak.

64.  Dalam perkara ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada DAP Selangor kerana kita merupakan negeri yang paling aktif menjalankan kerja-kerja kempen dan mengumpul dana untuk membantu saudara-saudari kita di Sabah dan Sarawak.  DAP Subang Jaya dan PLC DAP Klang telah berjaya menganjurkan dua majlis makan mengumpul dana untuk Impian Sabah dan Sarawak.  DAP Semenyih dan Balakong bawah pimpinan Sdr Eddie Ng dan Sdr Dr Ong Kian Ming telah berjaya mengumpul dana untuk pilihanraya kawasan Sri Aman di Sarawak.

65. Ini tidak termasuk lagi video harijadi yang saya buat pada bulan Ogos yang berjaya mengumpul sejumlah RM1.7 juta untuk dana Impian.

66.   Saya berharap kesemua wakil rakyat dan pimpinan akar-umbi DAP Selangor akan terus mengusahakan kempen untuk membantu kerja-kerja di Sarawak menjelang pilihanraya negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.  Jika kita berjaya menebus simpanan tetap kawasan-kawasan perkampungan di Sarawak dalam pilihanraya ini, ia akan mencetuskan satu lagi gelombang tsunami politik yang akhirnya akan menamatkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018.

67.  Sebagai Pengerusi DAP Selangor 2 tahun kebelakangan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang cukup baik dan mempamerkan perpaduan parti yang sungguh erat kepada orang ramai.  Jawatankuasa DAP Selangor telah menguruskan semua perkara dengan cara yang paling terbuka.  Misalnya, semua wakil rakyat DAP yang tiada dalam jawatankuasa dijemput untuk hadir ke semua mesyuarat. 

68. Saya mempunyai keyakinan terhadap wakil-wakil hari untuk untuk memilih semula sebuah jawatankuasa yang baru yang akan meneruskan amalan terbuka tersebut dan mengekalkan pencapaian DAP Selangor setakat ini.  DAP Selangor mempunyai 20 wakil rakyat dan kali ini kita ada 36 calon yang bertanding untuk memenuhi 15 ahli jawatankuasa.  Bukan semua akan dapat masuk.  Yang berjaya dipilih, saya harap akan mengusahakan kemenangan Pakatan Harapan di Selangor pada pilihanraya ke-14 dan yang tewas akan tidak berputus asa dan terus menyumbang secara ikhlas demi parti dan negara.

69.  At the same time, I will not let up in my efforts to uncover corruption, embezzlement and abuse of power by Barisan Nasional, particularly with regards to the mother of the mother of the mother of all scandals, 1MDB.

70. Dato’ Seri Najib Razak tried to stop me when he filed a defamation suit against me in March this year over a speech I made on 1MDB.  The matter is still in the courts but it didn’t stop me.  The Police tried to investigate me under Section 124B of the Penal Code – “activities detrimental to Parlimentary Democracy” which carries up to a 20-year jail sentence.  I did not stop.  The Government then banned me from travelling overseas in August.  I’m still banned, but it didn’t stop me. 

71.  Then the Sarawak Government kicked me out of the state in September.  The BN Ministers are all trying to get me expelled from the Public Accounts Committee.  Even the 1MDB President, Arul Kanda tried to do the same to avoid answering difficult questions over 1MDB.  They all failed to stop me because I believe that the truth will prevail.

72.  Instead, I am now looking forward to facing off with Arul Kanda on live television to apply more pressure on 1MDB to answer the rakyat.

73. Saya tidak akan berhenti sehingga segala kebenaran mengenai skandal 1MDB dibongkar dan semua yang terlibat dalam skandal tersebut dibawa ke mahkamah dan dibuang ke dalam penjara. 

74.  Oleh kerana usaha pelbagai pihak seluruh dunia, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sekarang terlibat dengan skandal berkaitan, skandal yang cukup memalukan Malaysia, skandal derma RM2.6 bilion.  Sekarang, bukan sahaja saya tidak akan berhenti mengejar kebenaran, semua rakyat Malaysia tidak akan berhenti mencari jawapan. 

75.  Sudah dekat 4 bulan sejak skandal “donation” RM2.6 bilion dibongkar oleh Wall Street Journal tapi  Dato’ Seri Najib tidak berani mengeluarkan saman fitnah terhadap Wall Street Journal.  Pada masa yang sama, beliau masih belum menjelaskan punca “donation” RM2.6 bilion itu.  Kita dah tanya di Parlimen, Dato’ Seri Najib tak nak jawab.  Rakyat semua nak tahu.  Nak tahu tak?

76.  Kalau nak tahu kena tanya kuat-kuat.  Angkat kad yang ada atas kerusi anda dan tunjuk tinggi tinggi.  Saya ingin menjemput Sdr Setiausaha Agung, Sdr Setiausaha Organisasi Kebangsaan dan ahli-ahli jawatankuasa negeri Selangor untuk turun pentas bersama wakil-wakil kita untuk bertanya kepada Najib, “Mana dia RM2.6 bilion?”

77. Jurugambar-jurugambar bolehlah naik pentas untuk mengambil gambar.

78.  I believe that the 1MDB and the RM2.6 bilion scandal will be the nail in the coffin for Barisan Nasional.  Pakatan Harapan dalam jangkamasa 2.5 tahun yang akan datang hanya akan menjadi lebih kuat, lebih kukuh.  Pakatan Harapan merupakan Harapan Baru, Harapan Rakyat dan Harapan Masa Depan Anak Cucu Kita.

Sekian,  selamat berjuang dan terima kasih.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan