Khamis, 5 November 2015

Cadangan Membawa Masuk 1.5 Juta Pekerja Bangladesh, Beban Baru Yang Perlu Ditanggung oleh Malaysia.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen  Batu Gajah pada 4 November 2015 di Dewan Rakyat


Adakah negara kita benar-benar mengalami krisis kekurangan pekerja? Negara kita telah dibanjiri pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan negara-negara lain. Memang tidak boleh dinafikan bahawa pekerja-pekerja asing diperlukan untuk pelbagai sektor. Tetapi, kehadiran mereka dalam jumlah yang begitu besar juga boleh menggugat kedudukan sosio-ekonomi negara. 

Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan bahawa 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh akan dibawa masuk ke negara kita secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun.  Beliau mendakwa tindakan ini adalah untuk memenuhi permintaan majikan dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Saya difahamkan kerajaan  telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh dan bercadang untuk memeterai perjanjian pada bulan Julai yang lalu. Sudahkah perjanjian ini ditandatangani?

Saya berpendapat bahawa cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh tidak akan membawa kebaikan untuk negara kita. Jumlah ini cukup besar iaitu hampir ¾  daripada jumlah rakyat negeri Perak. Tindakan ini  bertentangan dengan objektif Rancangan Malaysia Ke11 yang berhasrat untuk mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah di negara ini. Pekerja-pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk itu adalah untuk kerja-kerja ‘kotor, berbahaya dan sukar’.  Mereka ini bukanlah pekerja mahir.

Mengikut Statistik yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia, pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang berdaftar di negara kita pada tahun 2014 telah mencecah 2.1 juta orang, sementara jumlah pendatang asing tanpa izin pula adalah berjumlah 4.6 juta.


Apabila kerajaan membawa masuk 1.5 juta  pekerja Bangladesh, maka jumlah keseluruhan pendatang asing akan mencecah 8.2 juta orang iaitu lebih kurang 27% daripada jumlah penduduk Malaysia. Bukankah bilangan yang besar ini akan membawa keluar khazanah negara dalam jumlah yang cukup lumayan?

Kehadiran pekerja-pekerja asing yang begitu ramai menjejaskan peluang pekerjaan orang-orang tempatan. Majikan memilih pekerja asing kerana kos yang rendah, boleh dikawal dan produktiviti tinggi. Ini akan menjadi rintangan untuk meningkatkan gaji rakyat negara kita. Gaji penduduk tempatan akan kaku selama-lamanya.

Statistik KWSP membuktikan lehih 40% pekerja tempatan berpendapatan kurang daripada RM2000 sebulan. Pendapatan bergabung pasangan suami isteri yang kurang daripada RM3500 pula adalah 65%. Dengan gaji pekerja yang sedemikian, Malaysia akan gagal mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 kerana sasaran gaji individu RM5000 mustahil diperolehi dalam tempoh 5 tahun lagi.

Selain daripada itu keselamatan rakyat tempatan juga akan turut terancam dari segi jenayah dan kesihatan yang boleh menggugat kestabilan sosial negara kita. Mereka juga mendirikan rumahtangga dan mahu menjadi warganegara  Malaysia. Ramai juga akan memulakan perniagaan dan menguruskan kebun sendiri.  Hari ini, pekerja-pekerja asing sudah mempunyai perniagaan mereka sendiri di negara kita.

Cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh menimbulkan persoalan seperti berikut :

1  1)   Adakah Kementerian Sumber Manusia turut bersetuju dengan cadangan    yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, kerana pengumuman ini dibuat oleh  Menteri Dalam Negeri dan bukannya Menteri Sumber Manusia?

    2)   Kenapa boleh wujud permintaan yang begitu banyak untuk pekerja asing di negara kita. Apakah sumber yang dirujuk untuk membuktikan jumlah           permintaan itu? Adakah kajian terperinci telah dibuat mengenai hal ini? Dan   oleh siapa? 

    3)   Apakah kaedah atau cara pengendalian pengambilan pekerja Bangladesh   yang akan diguna pakai oleh kerajaan? Ramai yang berpendapat ianya           kurang telus dan seolah-olah ada udang disebalik batu.


Selain daripada itu, saya ingin tahu berapakah jumlah pekerja Bangladesh yang berada di negara kita pada masa ini? Daripada jumlah ini berapakah yang memasuki negara kita secara tidak sah? Berapakah jumlah PATI yang telah dihantar pulang selepas program 6P dilaksanakan?

Kemasukan pekerja-pekerja Bangladesh, akan merumitkan lagi masalah pengangguran di negara kita. Dianggarkan kadar pengangguran sekarang adalah di antara 2.9-3.2%. Kemasukan pekerja asing secara melambak akan meningkatkan kadar pengangguran mungkin lebih daripada 4 peratus.

Sektor Awam pula tidak mengambil pekerja baru. Banyak kilang-kilang dan syarikat-syarikat akan ‘Menutup kedai’ atau terpaksa melaksanakan Skim Pemisahan Bersama (MSS) dan Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela (VSS). Semua ini akan meningkatkan kadar pengangguran di negara kita. Oleh yang demikian, saya membantah sekeras-kerasnya cadangan kerajaan  untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan