Selasa, 3 November 2015

Rakyat Buat Keputusan Sendiri : GST Meningkat atau GST Sifar

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 November 2016 di Ipoh



Malaysia berada dalam kemelut ekonomi yang cukup serius. Harga minyak telah jatuh melampau iaitu lebih 50% daripada paras US$ 100 setong sebelum ini. Harga komoditi kelapa sawit dan getah juga telah menurun secara mendadak.  Pendapatan negara telah berkurangan. Dijangka ekonomi negara akan menjadi lebik buruk pada tahun hadapan.

Dalam Pembentangan Bajet, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berasa syukur kerana keputusan kerajaan melaksanakan GST untuk mengantikan pendapatan yang hilang daripada petroleum. Beliau berkata, kerajaan telah membuat keputusan yang tepat dalam hal ini.



Saya rasa amat kecewa dengan hujah-hujah beliau kerana kehilangan pendapatan kerajaan daripada hasil petroleum itu digantikan dengan cukai daripada rakyat. Kerajaan berpendapat bahawa GST dapat mengurangkan kesan penurunan harga minyak mentah dunia ke atas hasil Kerajaan Persekutuan. Ini bukanlah satu strategi yang boleh dibanggakan. Tindakan kerajaan mengenakan GST ini membuktikan kelemahan kerajaan dalam mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik.

Pada tahun hadapan dijangka hasil daripada petroleum akan menyusut lagi. Adakah kerajaan akan meningkatkan cukai GST lebih daripada 6% apabila beban kewangan kerajaan bertambah. GST bukanlah satu jalan penyelesaian untuk menampung kehilangan pendapatan kerajaan. Kerajaan telah telah mengambil kaedah pintas untuk menyelesaikan masalah kewangannya tanpa mempedulikan beban sara hidup rakyat.

Kerajaan menjangkakan hasil GST pada tahun 2015 sebanyak RM 27 bilion dan RM39 bilion bagi tahun 2016. Ini bermaksud kerajaan akan memperolehi pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion pada tahun hadapan berbanding dengan tahun 2015.

Pendapatan daripada hasil petroleum adalah baik untuk rakyat dan negara. Tetapi, pendapatan daripada GST hanyalah menguntungkan kerajaan. Rakyat terpaksa menanggung beban kewangan yang seharusnya dipikul oleh kerajaan. Kerajaan secara bijak telah memindahkan beban kewangannya kepada rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional telah hilang kepercayaan rakyat jelata. Selagi cukai GST tidak dimansuhkan oleh kerajaan, perkara ini akan menjadi perbualan yang hangat  di mana-mana sahaja. Saya pasti kerajaan Barisan Nasional akan menhadapi masalah yang cukup berat menghadapi PRU14.  

Rakyat harus membuat keputusan yang bijak demi kesejahteraan Malaysia dalam PRU14. Pakatan Harapan telah menjanjikan GST sifar untuk semua barangan dan perkhidmatan. Perkara ini telah diumumkan dalam Bajet Alternatif  2016, Pakatan Harapan.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan