Sabtu, 5 April 2014

‘BENARKAH BN PRIHATIN TERHADAP KAUM INDIA DI MALAYSIA? BUKTIKANNYA DENGAN MEMBINA SEKOLAH MENENGAH TAMIL DI PULAU PINANG!’







Pendidikan adalah penting bagi anak-anak di Malaysia. Sedemikian, setiap individu harus memberi tumpuan yang serius bukan sahaja terhadap tahap pendidikan di negara kita tetapi juga menghormati jenis pendidikan yang diberikan dan dilaksanakan oleh sistem pendidikan kita.

Dalam pada itu juga, kehendak pelajar-pelajar juga harus amat dipandang tinggi dan kita harus mengambil inisiatif untuk memenuhi impian-impian pelajar.

Tetapi, senario ini hanya akan terdapat di negeri atau Negara yang mengasihi dan mempunyai impian dan harapan tinggi di atas anak-anak watan.

Baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk menawarkan sebidang tanah untuk pembinaan sebuah sekolah Menengah Tamil di negeri itu. Usaha ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional. Jika Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan ini, maka inilah sekolah menengah Tamil yang pertama di Negara kita.

Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar menghormati dan menjamin kewujudan sekolah-sekolah vernakular, permohonan ini harus diluluskan dengan kadar segera.
Pendidik dan NGO-NGO Pulau Pinang telah membuat kempen tandatangan yang mendapat sambutan hangat dari kalangan kaum India.

Pada masa ini memang sedia wujud Sekolah Menengah Cina, tetapi tidak ada satu pun Sekolah Menengah Tamil di Negara ini.

Langkah-langkah untuk mewujudkan Sekolah Menengah Tamil harus dicontohi oleh negeri-negeri lain yang berada di bawah Kerajaan Barisan Nasional jika mahu memenangi hati masyarakat India bukan sekadar memasak ‘ponggal’ dan memberi hamper pada musim perayaan.


Negeri Pulau Pinang mempunyai 28 buah Sekolah Rendah Tamil tetapi tiada Sekolah Menengah sebagai langkah kesinambungan untuk anak-anak dari Sekolah Rendah Tamil untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Sekolah Menengah berasaskan bahasa ibunda.

Saya rasa kesal dengan Presiden MIC yang tidak mahu memberi pandangan atau menyuarakan pendapat mengenai isu Sekolah Menengah Tamil ini.

Rakyat sedang memerhatikan gelagat pemimpin-pemimpin politik terutamanya daripada MIC yang kononnya memperjuangkan hak orang India di Negara ini.

Saya juga rasa kecewa dengan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga daripada parti MIC yang juga senyap dalam hal ini.




V. Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan