Rabu, 12 Mac 2014

Guru Menghina Hindu, Kerajaan Jangan Senyap


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 12 Mac 2014 di Dewan Rakyat


YB. V. Sivakumar
YB V.Sivakumar telah mencelah perbahasan  YB Dato' Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz, Ahli Parlimen Tanah Merah yang berhujah tentang penyalah gunaan media sosial yang boleh mencetuskan kontroversi perkauman. Penyalah gunaan media sosial oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Seorang guru sekolah menengah berumur 35 tahun dari sebuah sekolah di Segambut telah mengeluarkan satu kenyataan berunsur hasutan yang amat sensitif menghina penganut-penganut agama Hindu sewaktu sambutan Hari Thaipusam tahun 2014. Mohd Hidayat yang menggunakan nama samaran Man Namblast telah menghina masyarakat Hindu dengan membuat kenyataan 'puluhan ribu Syaitan berarak menaiki tangga Batu Caves' di laman Facebook.

Kenyataan beliau adalah amat sensitif dan telah melukakan hati penganut-penganut agama Hindu di seluruh negara. Isu  hangat ini telah makan ruangan berita utama di beberapa media Tamil ketika itu.  Perkara itu juga telah mengungkitkan kemarahan pelbagai pihak termasuk orang-orang bukan beragama Hindu.  Lebih kurang 180 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap beliau.

Guru tersebut telah direman selama 4 hari untuk  disoal siasat oleh IPD Gombak. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Adakah kertas siasatan telah disiapkan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia? Apakah tindakan yang akan diambil terhadap guru yang tidak bertanggungjawab ini?

YB V.Sivakumar bertanyakan kepada YB Tanah Merah samada beliau bersetuju supaya tindakan tegas perlu diambil terhadap guru tersebut. Kerajaan harus bersikap keras  dalam mengambil tindakan terhadap man-mana pihak yang menghina mana-mana agama di negara ini.  Kerajaan tidak boleh pilih kasih dalam menangani isu-isu yang sensitif seperti ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan