Selasa, 20 Januari 2015

Sambutan Perayaaan Ponggal di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu Gajah




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 15/1/2015 di Taman Saujana, Batu Gajah.


 Perayaan ponggal disambut secara sederhana di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu Gajah. Perayaan menuai yang juga dianggap sebagai Tahun Baru Tamil disambut secara penuh kemeriahan di Tamil Naadu, India pada setiap tahun. 

Di negara kita juga hari Ponggal disambut oleh orang-orang India di bandar mahupun di luar bandar. Pada hakikatnya perayaan Ponggal bukanlah upacara keagamaan walaupun ada unsur-unsur keagamaan diselitkan dalam upacara memasak nasi manis yang dikenali sebagai “Ponggal’.

Oleh kerana perayaan ini bukan satu sambutan keagamaan, maka hari Ponggal sesuai diraikan oleh semua warga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Walaupun pada tahun-tahun lepas Ponggal disambut dengan penuh meriah tetapi pada tahun ini perayaan tersebut diraikan secara agak sederhana.

Ini adalah kerana bencana banjir yang telah melanda di beberapa negeri mengakibatkan ramai diantara sahabat-sahabat kita merana kerana kehilangan harta benda. Kepahitan itu dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, eloklah jika sambutan Ponggal di raikan secara sederhana semata-mata sebagai tanda terima kasih kepada Tuhan, alam semulajadi, petani dan haiwan yang memberi berkat dalam menghasilkan makanan terutamaya penanaman padi. 



Dalam perayaan ini, kita perlu memperingati jasa petani yang sanggup membanting tulang dan mengalirkan keringat ke bumi untuk menghasilkan sumber makanan dengan bantuan haiwan seperti lembu. Disamping itu, alam semulajadi seperti Matahari, tanah, air dan sebagainya juga merupakan kurniaan tuhan untuk membolehkan makanan dihasilkan  bagi memenuhi keperluan manusia sejagat.  Maka adalah wajar untuk semua menjunjung rahmat dan  berterima kasih kepada Tuhan yang maha kuasa pencipta segala alam

Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu Gajah telah menagadakan upacara Ponggal pada jam 5pm bersama penduduk tempatan di Taman Saujana. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakan-rakan dan penduduk tempatan yang menjayakan program ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan