Selasa, 20 Januari 2015

164 Anggota Perkhidmatan Awam Dari Kalangan Kaum India Dibuang Kerja Dari 2010 Hingga 2013




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 20/1/2015 di Batu Gajah
Masalah mendapat pekerjaan dalam sektor awam adalah amat sukar untuk kaum India. Walaupun ramai diantara anak-anak muda berbangsa India sangat berminat untuk bekerja di dalam sektor awam, tetapi cita-cita mereka tidak mudah untuk tercapai.

Kebanyakkan permohonan yang dibuat oleh anak-anak muda berbangsa India ditolak. Harapan untuk mendapat pekerjaan dalam sektor awam masih tebal dikalangan mereka. Apabila turun padang berjumpa rakyat khususnya kaum India, inilah satu daripada masalah yang sering dibangkitkan oleh mereka. Anak-nak mereka yang berminat tidak mendapat tawaran dalam sektor awam. Ramai juga yang sudah berputus asa walaupun telah berusaha memohon beberapa kali.

Kerajaan Barisan Nasional tidak prihatin terhadap masalah ini. Walaupun janji diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional dan pemimpin-pemimpin MIC, tetapi semuanya janji kosong pilihanraya. 'Nambikai' yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah hilang sama sekali. Mungkin beliau sendiri telah lupa erti perkataan itu. Masyarakat India masih menunggu dengan harapan untuk melihat lampu di hujung jalan.

Mengikut statistik yang diberikan dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat, seramai 164 penjawat awam berbangsa India iaitu sebanyak 3.8% daraipada jumlah keseluruhan telah dibuang kerja dari 2010 hingga 2013. Ini melibatkan kesalahan pelanggaran tatkelakuan, tidak hadir bertugas, kes-kes mahkamah dan kesalahan dadah. Walaupun jumlah ini adalah agak kecil iaitu hanya 3.8% daripada jumlah keseluruhan tetapi angka itu memang terlalu besar untuk masyarakat India yang sukar mendapat peluang bekerja di sektor awam.

Oleh yang demikian, pekerja-pekerja sektor awam dari kalangan kaum India harus lebih berhati-hati dan bertanggungjawab untuk memastikan mereka tidak dibuang kerja secara sia-sia. Peluang yang hilang itu mungkin tidak lagi akan digantikan dengan anggota kaum India yang lain. Laksanakan tanggungjawab dengan baik dan penuh dedikasi. Pada masa yang sama, ahli-ahli politik terutamanya dari Pakatan Rakyat dan NGO harus terus berjuang untuk menambahkan bilangan pekerja sektor awam dikalangan kaum India pada masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan