Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3 January 2015 di Lahat, Ipoh.
Setelah pelbagai penipuan dan janji kosong oleh pemimpin-pemimpin MIC dan Kerajaan Negeri Perak, akhirnya YB Kamalanathan Timbalan Menteri Pendidikan telah menjawab soalan yang dibangkitkan oleh saya mengenai isu pembinaan bangunan baru untuk SJKT Gunung Rapat.
Pada bulan Jun 2014, saya telah membangkitkan isu SJKT Gunung Rapat dalam ucapan penagguhan Dewan Rakyat. Saya telah meminta Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan untuk memberitahu keadaan yang sebenar mengenai status sekolah berkenaan.
Pemimpin-pemimpin MIC negeri Perak memberi janji kosong dan sentiasa berdolah dalik apabila isu bangunan baru sekolah tersebut dibangkitkan oleh oleh saya. Kerajaan Negeri Perak juga tidak memberi gambaran sebenar berkaitan dengan sekolah tersebut ketika saya membawa perkara ini di Dewan Undangan Negeri Perak sewaktu saya masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri. Saya rasa berputus asa dan kecewa dengan jawapan-jawapan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin MIC dan kerajaan Perak.
Tapak baru untuk SJKT Gunung Rapat telah diluluskan oleh kerajaan Negeri Perak pada tahun 2010 setelah didesak dan dipaksa oleh wakil-wakil rakyat pembangkang ketika itu. Kelulusan tapak tanah diberi oleh kerajaan Negeri Perak tanpa kerelaannya. Tetapi, oleh kerana desakan dan tekanan yang hebat kerajaan terpaksa bertunduk untuk meluluskan tapak baru di kawasan Ampang, Ipoh.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menjanjikan peruntukkan RM2.5 juta untuk pembinaan sekolah itu pada tahun 2010. Beliau telah membuat pengumuman tersebut ketika menghadiri program Kebudayaan Deepavali di Little India Ipoh.
Selepas pengumuman itu, tidak ada apa-apa yang berlaku sehingga sekarang. Saya masih merasakan seolah-olah ada udang disebalik batu dalam isu pembinaan sekolah tersebut. Kenapa kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin MIC Perak tidak mengambil berat tentang isu yang serius ini?
Saya tidak nampak apa-apa minat yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak Tersebut. Adakah kerajaan Negeri Perak berminat jahat untuk merampas kembali tanah yang strategik itu untuk kegunaan komersial dan menggantikan tanah lain untuk sekolah Tamil tersebut?
Apabila saya membangkitkan isu ini dalam ucapan penangguhan Dewan Rakyat, YB Kamalanathan telah berkata bahawa Kementerian Pendidikan masih belum mendapat kelulusan peruntukan tambahan daripada Unit Perancangan Ekonomi. Beliau berjanji bahawa kerja-kerja pembinaan bangunan baru sekolah itu akan bermula pada tahun 2015 jika tidak ada apa-apa halangan atau masalah lain.
Saya ingin menanyakan kepada YB Kamalanathan apakah status permohonan peruntukan tambahan daripada Unit Perancangan Ekonomi? Adakah peruntukan tambahan itu telah diluluskan atau masih dalam pertimbangan? Saya juga ingin mengetahui apakah struktur bangunan baru yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan bagi sekolah tersebut. Bilakan dijangka kerja-kerja pembinaan akan dimulakan?
YB.V. Sivakumar |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan