Selasa, 20 Januari 2015
Purata 18 Kes Kemalangan Bas Dalam Setahun, Apakah Langkah-langkah Kerajaan Untuk Menangani Kemalangan Maut Yang Melibatkan Bas ?
Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 8 Januari 2015 di Ipoh
Pada tahun 2014, Malaysia telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Misteri MH370 dan letupan MH17 telah menjadi kenangan pahit yang tidak mudah dilupai oleh seluruh rakyat negara kita. Kehilangan nyawa penumpang-penumpang kapalterbang ini menjadi isu terbesar dan menangkap perhatian seluruh dunia.
Tetapi, kita perlu sedar bahawa ratusan malah ribuan nyawa juga terkorban di jalanraya setiap tahun di negara kita. Perkara ini tidak menjadi isu utama atau tajuk perbualan hangat dikalangan kita. Pihak media melaporkan kemalangan jalanraya hampir setiap hari, tetapi perkara ini tidak dipedulikan langsung oleh kebanyakkan daripada kita. Nyawa orang-orang yang mati di jalanraya juga sama nilainya dengan nyawa orang-orang yang mati dalam malapetaka kapalterbang.Setiap hari berlaku kemalangan jalanraya di negara kita dan puluhan orang mengalami kecederaan parah dan menemui ajal. Lebih-lebih lagi, pada musim perayaan, kemalangan dan kematian di jalanraya sudah menjadi lumrah. Setiap kali kita menyambut perayaan, ada juga keluarga yang terpaksa menitis air mata kerana kehilangan ibubapa, anak, dan sanak saudara akibat kemalangan maut.
Walaupun terdapat usaha-usaha diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya terutamanya pada musim perayaan tetapi masalah ini masih tidak dapat ditangani dengan baik. Antara sebab-sebab kemalangan meningkat ketika musim perayaan ialah :-
i) Pertambahan bilangan kenderaan secara mendadak di jalanraya
ii) Kesesakan lalulintas yang amat teruk
iii) Kepenatan dan kelesuan pemandu
iv) Pemandu yang tidak kompetan dan tidak bertanggungjawab
Kemalangan yang melibatkan bas juga kerap berlaku dalam musim perayaan. Kalau kita melihat kepada statistik yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan, sebanyak 140 kes kemalangan yang melibatkan bas telah berlaku sejak tahun 2007 iaitu dalam tempoh 8 tahun. Secara purata 18 kes kemalangan yang melibatkan bas berlaku setiap tahun di negara kita. Ini adalah satu angka yang sangat memeranjatkan dan mengerunkan.
Kita masih berada di hulu tahun 2015, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan harus mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk memastikan tidak ada lagi kes kemalangan jalanraya yang melibatkan bas pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang. Kita tidak mahu melihat nyawa rakyat kita terkorban di jalanraya kerana kesilapan dan kecuaian pihak ketiga atau kerana kelemahan kerajaan menanganinya.
Kementerian Pengangkutan harus mengambil usaha-usaha untuk memastikan had kelajuan dikawal selia dengan cukup sempurna supaya pemandu-pemandu bas tidak mudah terlepas daripada melakukan kesalahan itu. Kebanyakkan kes-kes kemalangan yang melibatkan bas adalah akibat daripada hilang kawalan kerana memandu dengan laju.
Selain daripada itu, memandu dalam keadaan mengantuk dan lesu serta memandu secara bahaya dan tahap kompetensi yang lemah adalah antara faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Kementerian Pengangkutan harus mengariskan rancangan-rancangan khas dan pelan-pelan strategik tertentu untuk memastikan supaya kemalangan tidak berlaku kerana kecuaian pemandu-pemandu bas ini.
Tambahan pula, penyelenggaran kenderaan yang lemah, tahap pengurusan dan amalan keselamatan yang rendah, binaan bas yang tidak menepati piawaian keselamatan antarabangsa dan sebagainya juga menjadi penyebab kemalangan bas yang kerap berlaku di negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan melalui semua agensi-agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di jalanraya harus mengambil iktibar mencari jalan terbaik supaya tahun 2015 bebas daripada insiden kemalangan yang melibatkan bas.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan