Rabu, 15 Mei 2013

Najib Tuduh Orang Cina Untuk Menutup Kelemahan 1Malaysia



Kenyataan Media V.Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Perak 
di Pulau Pangkor pada 10/5/2013
Najib Tuduh Orang Cina 
Untuk Menutup Kelemahan 1Malaysia
Konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Najib telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tidak menerima 1Malaysia kerana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sendiri tidak mendokong konsep 1Malaysia dengan rela hati. Barisan Nasional menggunakan 1Malaysia untuk mengaburi mata rakyat terutamanya kaum bukan Melayu untuk mendapatkan sokongan mereka. Slogan retorik itu mungkin telah sedikit sebanyak menawan orang luar bandar yang tidak mempunyai pendedahan kepada media alternatif. Golongan ini termakan gula-gula Barisan Nasional seperti BR1M dan sebagainya.
Walau bagaimanapun golongan yang lebih arif terutamanya dari kalangan penduduk bandar dan separa bandar telah menolak Barisan Nasional dan 1Malaysia. Golongan ini lebih peka kepada maklumat dan perkembangan politik negara kita dan antarabangsa. Golongan ini juga mahu melihat satu perubahan di negara ini. Isu-isu remeh seperti perkauman tidak dipedulikan. Mereka mahu melihat satu kerajaan yang bersih dari rasuah dan kronisme. Mereka mahu supaya sistem dua parti direalisasikan di negara ini supaya kuasa monopoli Barisan Nasional dapat dikawal. Ini rata-rata akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Barisan Nasional bukan hanya hilang sokongan pengundi Cina, malah semua kaum telah menolak Barisan Nasional dalam PRU13. Untuk menutup kelemahan Barisan Nasional dan kegagalannya untuk mencapai prestasi yang baik, Najib Tun Razak cuba memutar belitkan isu dengan menuduh kaum Cina. Najib telah membuat percaturan yang salah dengan menyalahkan satu kaum yang sangat berjasa dan berkorban untuk tanahair ini.
Tanpa sokongan orang Melayu dan India sudah tentu Pakatan Rakyat tidak boleh memperolehi jumlah undi yang begitu banyak. Pakatan Rakyat juga telah menang banyak kawasan-kawasan di mana jumlah pengundi Melayu adalah lebih besar daripada pengundi bukan Melayu. Ini adalah satu bukti kukuh bahawa bukan sahaja kaum Cina malah seluruh rakyat Malaysia telah menolak Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13.
Sudah tiba masa untuk Barisan Nasional berhenti permainan politik perkauman. Rakyat sudah muak dan benci dengan politik perkauman yang semakin melampau. Barisan Nasional akan hilang sokongan semua kaum jika tidak berhenti permainan politik kotor ini. Barisan Nasional mahu tuduh kaum cina untuk menutup kekalahannya yang lebih teruk daripada PRU12. Tuduhan seperti ini dapat mengambarkan isi hati pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sebenarnya menanam tebu dibibir dengan melaungkan slogan 1Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan