Selasa, 7 Mei 2013

DAKWAT KEKAL YANG TIDAK KEKAL


Kenyataan Media V.Sivakumar, 
Timbalan Pengerusi DAP 
pada 6 Mei 2013 di Ipoh
DAKWAT KEKAL YANG TIDAK KEKAL
Seluruh rakyat Malaysia telah ditipu oleh SPR dengan penggunaan dakwat kekal yang 'tidak kekal'. SPR telah membuat seluruh rakyat negara ini percaya seolah-olah badan itu bebas dan telus. Tetapi, terbukti sekarang bahawa SPR adalah alat Barisan Nasional untuk tumbangkan Pakatan Rakyat dalam PRU13. Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap SPR yang sepatutnya mempunyai tahap integriti yang paling tinggi. 
Dakwat kekal disapu pada jari telunjuk kiri sebelum diberi kertas undi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan seseorang itu daripada mengundi dua kali. Dakwat yang disapu sepatutnya kekal untuk beberapa hari. Walau bagaimanapun, SPR telah menipu rakyat Malaysia dengan dakwat yang mudah dicuci selepas mengundi. 
Saya melihat sendiri demonstrasi yang dibuat oleh seorang pengundi di luar Sek Keb Pusing, Batu Gajah. Beliau telah menggunakan sabun biasa dan petrol untuk mencuci dakwat kekal yang disapu sebaik sahaja beberapa pengundi keluar dari saluran mengundi. Memang dakwat itu dapat dihilangkan tanpa meninggalkan apa-apa kesan dakwat pada jari. 
Ini bukan hanya berlaku di satu tempat, malah aduan diterima di seluruh Malaysia bahawa dakwat yang disapu itu tidak kekal. Ini adalah salah satu daripada rancangan tipu muslihat Barisan Nasional untuk menang secara kotor dalam pilihanraya ini. 
SPR bukan sahaja menipu parti-parti politik pembangkang tetapi pengundi-pengundi yang menaruh kepercayaan terhadap SPR. Ini adalah satu bukti yang jelas bahawa SPR dikongkong oleh Barisan Nasional dan tidak telus dalam menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat negara ini. 
Pengerusi SPR Malaysia harus meletak jawatannya dengan serta-merta kerana gagal mengendalikan satu pilihanraya yang bersih. Kredibiliti dan integriti SPR telah tercemar kerana pilihanraya yang dikendalikan adalah berat sebelah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan