Isnin, 27 Mei 2013

Cabar Palanivel Buktikan 1500 Kerusi Matrikulasi Untuk Anak India


Kenyataan Media YB V.Sivakumar 
Ahli Parlimen Batu Gajah & 
Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh 
pada 26 Mei 2013


Cabar Palanivel Buktikan 1500 Kerusi Matrikulasi
Untuk Anak India



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India di seluruh negara bagi tahun 2012. Adakah beliau telah menunaikan janji tersebut? Setakat ini tidak ada apa-apa bukti yang ditunjukkan oleh kerajaan berhubung dengan perkara ini. Tetapi sering kali pemimpin-pemimpin BN menyebut tentang pemberian 1500 tempat matrikulasi ini dalam ucapan-ucapan dan melalui media massa. Kenyataan-kenyataan yang dibuat itu tidak disahkah kerana kesahihannya masih boleh dipertikaikan. 

Ramai yang berpendapat bahawa pemberian 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India itu adalah satu janji kosong yang dibuat semata-mata untuk mempengaruhi masyarakat India kerana PRU13. Samada 1500 orang pelajar India telah mendapat manfaat ini atau pun tidak, masih merupakan satu tanda tanya dalam hati masyarakat India. Tidak ada guna hanya membuat pengumuman tetapi tidak membuktikan samada janji itu ditunaikan atau pun tidak. Oleh yang demikian, kerajaan harus bersikap tanggungjawab untuk membuktikan bahawa 1500 orang pelajar India telah ditawarkan kerusi matrikulasi pada tahun 2012. 

Kerajaan tidak sepatutnya memberi apa-apa alasan untuk melarikan diri daripada janji ini. Adalah wajar untuk kerajaan menunjukkan semua bukti bahawa tidak berlaku penipuan dalam hal ini. 

Presiden MIC G. Palanivel juga beberapa kali menyebut perkara ini dalam media massa. Beliau meyakinkan orang-orang India bahawa Perdana Menteri telah menunaikan janji memberi 1500 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India. Oleh kerana itu, beliau meminta kaum India memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN dalam pilihanraya yang lepas. Mungkin juga ramai di kalangan kaum India telah menyokong BN kerana isu ini. 

Kalau apa yang dikatakan olen G. Palanivel itu betul, beliau harus membuktikannya supaya masyarakat India tidak tertipu lagi. Saya mencabar Presiden MIC G. Palanivel untuk mendedahkan senarai keseluruhan 1500 tempat matrikulasi yang diberikan kepada pelajar-pelajar India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan