Sabtu, 3 November 2012

SAMBUTAN DEEPAVALI DI KINTA VALLEY


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3/11/2012 di Ladang Kinta Valley.


SAMBUTAN DEEPAVALI DI KINTA VALLEY

PKR Cabang Kampar telah menganjurkan jamuan makan di Ladang Kinta Valley sempena sambutan Hari Deepavali. Jamuan ini dihadiri lebih kurang 300 orang dari warga tempatan yang terdiri daripada semua kaum. Program ini dilaksanakan atas usaha saudara Baldip Singh. Selain daripada pemimpin-pemimpin tempatan, program jamuan makan ini juga turut dihadiri oleh YB V.Sivakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tronoh. Pihak penganjur membuat penghormatan kepada YB V.Sivakumar dan Sdr Baldip Singh.

Dalam ucapan YB V.Sivakumar, beliau menyentuh tentang pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan selama 11 bulan di Perak. Beliau juga menunjukkan bukti-bukti bahawa PR adalah kerajaan yang lebih prihatin kepada rakyat.

Selain daripada itu, YB V.Sivakumar juga memberi penjelasan yang terperinci mengenai isu Batu Caves yang begitu hangat dipermainkan dalam media massa baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional yang bertanggungjawab meluluskan projek membina bangunan 29 tingkat itu  di Batu Caves. Kerajaan Pakatan Rakyat telah membuktikan dengan semua dokumen-dokumen kerajaan yang relevan bahawa projek itu diluluskan oleh Barisan Nasional dengan restu MIC. Beliau merumuskan bahawa tindakan MIC menuduh Pakatan Rakyat dalam hal ini bagaikan ‘meludah ke langit’.

YB V.Sivakumar juga menceritakan tentang kejayaan Pakatan Rakyat meluluskan ‘Rajagopuram’ (Bangunan Gerbang) untuk Kuil Sri Subramaniar (Kallumalai) Ipoh. MIC gagal mendapatkan kelulusan untuk projek tersebut untuk bertahun-tahun lama. Tetapi, Pakatan Rakyat  telah meluluskan projek itu dalam beberapa bulan sahaja. Projek itu  sudah dimulakan dan dalam pembinaan sekarang.

YB V.Sivakumar mendapat sambutan hangat apabila beliau berhujah mengenai polisi-polisi yang bakal dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat apabila menang Putrajaya dalam PRU 13 nanti. Antaranya ialah mengenai penurunan harga petrol, penghapusan tol di Lebuhraya Utara Selatan, pemberian RM1000 setiap tahun untuk warga emas, penurunan harga kereta dan pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan