Khamis, 2 Jun 2011

Masalah Kekurangan Tempat Letak Kereta Di Pekan Batu Gajah



(Kenyataan Media)
01JUN2011 - PEKAN BATU GAJAH

Satu lawatan kerja telah dibuat oleh V.Sivakumar, ADUN Tronoh bersama-sama dengan bekas Ahli-ahli Majlis Batu Gajah dan beberapa orang pengerusi cawangan DAP di DUN Tronoh di Pekan Batu Gajah pada 31 Mei 2011. Satu daripada aduan yang kerap diterima ialah mengenai masalah kekurangan tapak letak kereta di Pekan Batu Gajah.

Masalah ini seringkali menimbulkan masalah kesesakan dan mengganggu perjalanan lalu-lintas di Pekan Batu Gajah. Orang ramai mengadu bahawa mereka terpaksa ‘berputar-putar’ mengelilingi pekan Batu Gajah untuk mendapat tempat bagi meletak kenderaan mereka. Kadang-kadang mereka rasa bosan untuk keluar untuk membelih-belah atau membuat urusan lain di Pekan Batu Gajah disebabkan masalah tempat letak kereta ini.

Ini juga menimbulkan masalah lanjut apabila mereka meletak kenderaan mereka di tempat-tempat lain yang tidak dibenarkan. Mereka seringkali mendapat saman daripada penguatkauasa Majlis Daerah Batu Gajah atau Polis Trafik. Perkara ini amat menyusahkan mereka, malah menjadi satu masalah yang besar di kalangan pengguna kenderaan di Pekan Batu Gajah.

Peniaga-peniaga di Pekan Batu Gajah juga merungut bahawa masalah kekurangan tapak letak kereta ini menjejaskan perniagaan mereka. Mereka selalu menerima aduan daripada pelanggan-pelanggan berhubung dengan masalah yang dibangkitkan. Mereka risau jika perkara ini berterusan, mereka akan kehilangan lebih banyak pelanggan pada masa akan datang. Ini akan meruntuhkan lagi ekonomi Pekan Batu Gajah.

Kerajaan seharusnya prihatin tentang masalah yang dihadapi oleh orang ramai di Pekan Batu Gajah. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah seharusnya memainkan peranan yang lebih efektif dalam menyelesaikan masalah ini. Jangan biarkan masalah ini sehingga menjadi besar dan tidak dapat dipulihkan lagi.

Satu daripada cadangan untuk menyelesaikan masalah ini ialah untuk menjadikan Tapak Local Agenda 21 di Pekan Batu Gajah sebagai tapak tempat letak kereta. “Seperti mana yang saya sedia maklum, tapak Local Agenda 21 ini diluluskan oleh Majlis Daerah Batu Gajah untuk dijadikan sebagai tapak letak kereta pada asalnya. Malah, kerja-kerja pembinaan tapak letak kereta itu telah pun siap dibina. Garisan petak letak kereta juga selesai dibuat. Tetapi, kemudian tapak itu telah diubah dan dijadikan Laman Local Agenda 21.” Orang ramai tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Laman Local Agenda 21 ini. Ruangan yang besar itu dibiarkan kosong tanpa sebarang nilai ekonomi kepada mana-mana pihak.

Saya menyeru supaya Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Dato Razali Othman memberi penilaian semula terhadap tapak itu. Adalah lebih wajah untuk menjadikan tapak itu sebagai tempat letak kereta daripada hanya digunakan 3 atau 4 kali setahun untuk program-program tertentu. Jika tapak itu hendak digunakan untuk sesuatu program, maka pada masa itu tapak itu bolehlah ditutup untuk maksud lain. Maka adalah lebih praktikal untuk menjadikan tapak itu sebagai tempat letak kereta pada hari-hari yang biasa.

Tambahan pula, pihak Majlis Daerah Batu Gajah juga boleh mengenakan satu bayaran minima kepada kenderaan yang menggunakan tapak tersebut. Sebagai contoh RM1 setiap kali masuk. Ini juga akan membawa satu pulangan kepada Majlis Daerah Batu Gajah.

Ruangan ini boleh memuatkan lebih kurang 60 kenderaan dalam satu masa. Jika tapak itu dibuka untuk tapak letak kereta, maka sebahagian besar daripada masalah berhubung dengan isu ini akan terselesai. “Saya tidak faham kenapa pihak Majlis masih berdegil dan tidak mahu memberi ruangan ini untuk keselesaan orang ramai sedangkan mereka melaung-laungkan slogan ‘Rakyat didahulukan'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan