Sabtu, 4 Jun 2011

Apa PR Boleh Buat Di Perak?


KENYATAAN MEDIA PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK
Pakatan Rakyat Negeri Perak mengumumkan bahawa kerajaan Negeri baru yang bakal dibentuk sekiranya memperolehi mandat dari Rakyat akan memberi kadar premium tanah nominal serendah RM10 ringgit untuk tapak tanah yang diluluskan kepada institusi pendidikan sumbangan wang orang awam yang merangkumi semua aliran bahasa dengan secara adil dan saksama.

Pakatan Rakyat Negeri Perak mengumumkan dasar penting ini sempena sidang akhbar khas di Parlimen hari ini yang turut dihadiri oleh Bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Mohammad Nizar Bin Jamaluddin, Pengerusi PKR Perak, Dr Manuty dan Setiausaha Negeri DAP Perak, Nga Kor Ming menyatakan pendirian bersama PR dalam isu ini yang hangat diperkatakan oleh rakyat di Perak.

Pakatan Rakyat bersetuju bahawa pendidikan adalah teras pembangunan Negara dan semua aliran sekolah patut diberi layanan yang adil dan penghormatan sebagai buaian yang mencungkil bakat dan mendidik generasi muda pemimpin masa depan Negara.

Dalam aspek ini, ketika Pakatan Rakyat memimpin kerajaan Negeri Perak pada 2008, kerajaan Negeri pada waktu itu telah bersetuju secara prinsip meluluskan tanah kepada institusi pendidikan iaitu tanah seluas 2,023 hektar kepada Sekolah Agama Rakyat(SAR) Negeri Perak, 1,012 Hektar untuk Sekolah SUWA dan 607 hektar untuk Sekolah Tamil dalam Negeri tersebut supaya dijadikan modal dan tabung untuk membantu pembangunan institusi pendidikan tersebut.

Bagaimanapun, setelah rampasan kuasa berlaku pada 2009, Kerajaan Negeri BN walaupun mengikut jejak langkah Pakatan Rakyat, tanah yang diluluskan kepada sekolah sumbangan orang awam(SUWA) dikenakan premium tanah bernilai berjuta-juta ringgit. Umpamanya, sekolah SUWA dikehendaki membayar premium tanah sebanyak RM2,240,000.00 dengan setiap sekolah terpaksa menanggung kos premium tanah RM248,888.00., satu beban yang cukup berat untuk lembaga pengelola sekolah tersebut.

Atas dasar BN tersebut, pihak lembaga pengelola sekolah terpaksa mengutip derma dan merayu bantuan dari pelbagai pihak khususnya masyarakat umum.

Menyedari masalah kewangan yang bakal dihadapi oleh sekolah-sekolah Agama Rakyat, SUWA dan Sekolah Tamil dimana jumlah premium tanah masih belum mengambil kira kos pembangunan tanah yang menelan belanja kos jutaan ringgit, Pakatan Rakyat Perak telah memutuskan sebulat suara bahawa : Seandainya Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri Perak semula pada PRU ke 13, kerajaan PR akan mengenakan premium secara nominal RM10 sehektar dalam rancangan dan usaha membantu sekolah-sekolah tersebut mencapai objektif membangun sekolah dari pulangan modal tanah berkenaan. Maka dengan dasar ini, sekolah tersebut di atas boleh menjimatkan jutaan ringgit premium tanah dan mereka hanya perlu membayar RM20,230 untuk Sekolah Agama Rakyat, RM10,120 untuk Sekolah SUWA dan RM6,070 untuk Sekolah Tamil sahaja.

Sekian, terima kasih.
PAKATAN RAKYAT NEGERI PERAK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan